AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 404 (14 OKTOBER 2016 M / 13 MUHARRAM 1438 H)
SOALAN:
Assalamualaikum. Adakah wajib solat jumaat bagi orang bermusafir pada hari Jumaat?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Terdapat dua pendapat dalam isu adakah wajib solat Jumaat bagi orang yang bermusafir dalam hari Jumaat.
Pendapat pertama:
Menurut pendapat yang muktamad di dalam Mazhab al-Syafi'e, sekiranya permusafiran pada hari Jumaat dilakukan sebelum fajar, maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat. Namun, sekiranya dia bermusafir dan permusafirannya itu melebihi 4 hari tidak termasuk hari masuk dan keluar ke tempat tersebut, maka dia perlu menunaikan Solat Jumaat kerana dia sudah berniat sebagai bermukim. Justeru, jikalau permusafirannya kurang dari 4 hari tidak termasuk hari masuk dan keluar dari tempat tersebut maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat.
Inilah pendapat jadid (baru) Imam al-Syafie, pendapat azhar menurut ahli Iraq, dan jumhur ulama. Rujuk al-Mu’tamad (1/496).
Pendapat kedua:
Di sana terdapat juga pendapat lain di dalam mazhab Syafie seperti mana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab Raudhah al-Talibin (2/38). Mereka berpendapat gugur kewajipan solat Jumaat jika bertolak musafir selepas fajar dan sebelum tergelincir matahari. Inilah pendapat qadim (lama) Imam al-Syafie, Syeikh Harmalah, dan dinukilkan juga oleh al-Syirasi di dalam al-Muhazzab dengan qias harusnya menjual harta zakat sebelum sampai haulnya. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/498-499).
Kami cenderung kepada pendapat yang kedua ini dengan keterangan berikut. Suasana mutakhir ini banyak perjalanan bergantung kepada jadual bas, kereta api dan kapal terbang yang berlepas selepas fajar. Jika kenderaan bertolak pada jam 11.00 pagi contohnya, adalah menyukarkan bagi seseorang untuk keluar daripada kampungnya sebelum fajar dan perlu menunggu lama. Namun, hendaklah musafir itu atas tujuan yang mubah/harus, bukan makruh ataupun haram.
Wallahu a'lam.