AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 271 (16 MEI 2016 M / 8 SYAABAN 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum ust/admin..
Saya bekerja di pasaraya. kadang2 ada orang datang tanya di mana kedai jual arak. Jadi soalan nya adakah saya berdosa jika saya beritahu mereka di mana kedai arak?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Dua perkara yang Islam amat menititikberatkan pengharaman dan menghurainya dengan terperinci, iaitu:
1. Arak
2. Riba
Bagi pegharaman riba, daripada Abdullah bin Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ اللهُ آكِلَ الرِّبَا، وَمُوكِلَهُ، وَشَاهِدَيْهِ، وَكَاتِبَهُ
Maknanya: Allah SWT melaknat pemakan riba, pemberi makan riba, kedua-dua orang saksinya dan penulisnya.
Hadis riwayat Imam Ahmad (3809) dalam Musnad.
Manakala berkenaan arak, Anas bin Malik RA berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.
Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (1295) dalam Sunan.
Justeru, pengharaman riba dan arak tidak terhad kepada meminumnya sahaja, tetapi kepada aktiviti-akviti yang berhubung dengannya juga. Ini juga sesuai dengan hadis-hadis lain yang memperingatkan tentang bahaya tolong menolong dalam melakukan maksiat.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ، كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Maksudnya: Barangsiapa yang menyeru kepada hidayah, maka baginya pahala seperti pahala-pahala sesiapa yang mengikutinya, tidak dikurangkan suatu pun daripada pahala-pahala mereka, dan barangsiapa yang menyeru kepada kesesatan, maka ke atasnya dosa seperti dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada dosa-dosa mereka.
Hadis riwayat Imam Muslim (2674) dalam Sahih.
Selain itu, sabda Rasulullah SAW juga:
وَمَنْ سَنَّ في الإسْلامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ ، مِنْ غَيرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أوْزَارِهمْ شَيءٌ
Maksdnya: Dan barangsiapa yang memulakan suatu pekerjaan yang jahat di dalam Islam maka ke atasnya dosanya dan dosa mereka yang beramal dengannya selepasnya, tanpa dikurangkan daripa dosa mereka sedikit pun.
Hadis riwayat Imam Muslim (1017) dalam Sahih.
Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ الدَّالَّ عَلَى الخَيْرِ كَفَاعِلِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang menunjuk kepada perkara kebaikan, pahalanya seperti orang yang melakukannya.
Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (2670) dalam Sunan.
Maka secara mafhum mukhalafahnya, orang yang menunjuk kepada perkara keburukan, dosanya sama seperti orang yang melakukannya.
Walaupun begitu, kesamaan antara pemula dan pengikut itu hanyalah pada asal hakikat dosa, bukan daripda segi tingkatannya. Seperti perkataan Syeikh Mula Ali al-Qari dalam al-Mirqah Sharh al-Misykah dalam menghuraikan hadis riba di atas: “Mereka sama dari sudut mendapat dosa tetapi berbeza daripada segi tingkatannya. “
Justeru, dalam kes penanya ini, kami mencadangkan agar penanya menjawab dengan baik, mahupun dengan berhelah, kepada pelanggan untuk merujuk kepada pekerja lain yang bukan Islam agar dapat dipelihara diri daripada terlibat dengan perbuataan arak ini.
Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan untuk terus bertaqwa.
Wallahua’lam.
Imej diperoleh dari Imagefinder