Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #431 : HUKUM ISTERI MENCERAIKAN DIRI SENDIRI

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 431 (4 NOVEMBER 2016 M / 4 SAFAR 1438H)

 

SOALAN:

Apakah hukum isteri menceraikan diri sendiri?

 

JAWAPAN :

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Wa`alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih kepada saudara yang bertanya.

Perselisihan di dalam rumah tangga merupakan perkara yang menjadi asam garam dalam kehidupan. Namun setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan cara yang terbaik. Penceraian adalah perkara yang tidak digalakkan di dalam Islam.

Nabi ﷺ bersabda:

أبْغض الْحَلال إِلَى الله الطَّلاق
Mafhumnya: “Perkara yang paling dibenci Allah Taala adalah Talak”

(HR Abu Dawud dan Ibnu Majjah)

Penceraian merupakan pilihan terakhir sekiranya usaha untuk membaik pulih hubungan suami isteri menemui jalan buntu. Itu pun sekiranya mempunyai sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara’.

Terlebih dahulu rukun talaq ada 5 perkara iaitu:

1) Sighah ( lafaz )
2) Isteri (orang yang dijatuhkan ke atasnya talaq )
3) Wilayah ( ditujukan talak pada tempatnya )
4) Qasad (diqasad lafaz talak pada makna )
5) Suami ( orang yang menjatuhkan talak )

Hukum asal kuasa talak adalah di tangan suami. Namun, di dalam Islam dibenarkan suami menyerahkan kuasa talak kepada isteri dengan syarat diizinkan oleh suami (suami membenarkan perkataan talak isterinya) dan berlaku pada ketika itu juga.

Imam as-Syirazi di dalam kitab al-Muhazzab (2 /81) ada menyebut:

يجوز للزوج أن يفوض الزوجة بالطلاقة أو أن يوكل غيرها بذلك, واذا فوض الطلاق اليها, فالمنصوص أن لها أن تطلق نفسها ما لم يتفرقا عن مجلس أو يحدث ما يقطع ذلك
Ertinya: “Harus bagi suami menyerahkan kuasa talak kepada isteri atau mewakilkan kuasa talak kepada orang lain. Apabila diserahkan kuasa talak kepada isteri maka dibolehkan isteri menceraikan dirinya sendiri dengan syarat selama mana mereka berdua tidak berpisah dari majlis talak dan berkata perkara yang boleh menjatuhkan talak hanya dengan perkara disepakati oleh mereka berdua”.

Namun berdosa hukumnya sekiranya seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa ada sebab-sebab yang munasabah yang dibenarkan oleh syara’.

Nabi ﷺ bersabda:

أيُّما امرأةٍ سألت زوجَها طلاقاً فِي غَير مَا بَأْسٍ؛ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ
Mafhumnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada alasan (sebab-sebab yang munasabah oleh syara’ ), maka haram ke atasnya ( isteri ) bau syurga”.

(HR Abu Dawud dan Tirmizi )

Kesimpulannya, dibolehkan seorang isteri meminta cerai daripada suami sekiranya terdapat sebab yang sah oleh syara’ dan memiliki alasan yang kuat. Sekiranya tiada, maka haram dan berdosa seorang isteri meminta talak kepada suaminya. Begitu juga hukumnya bagi pihak suami haram dan berdosa sekiranya menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah. Namun perlu diingat bahawa talak merupakan jalan yang terakhir dipilih bukannya jalan keluar yang terawal. Dinasihatkan setiap perkara yang berlaku perlu perbincangan terlebih dahulu dan berusaha mencari orang tengah untuk menyelesaikan konflik rumah tangga yang berlaku. Setiap perkahwinan mempunyai konflik dan cabaran, namun sejauh mana seseorang itu menghadapinya hendaklah berpandukan kepada hukum syara’.

والله أعلم وأحكم