Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #394 : BENARKAH SAYYIDAH FATIMAH AL-ZAHRA' R.ANHA TIDAK PERNAH DIDATANGI HAID?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 394 (25 SEPTEMBER 2016 M / 23 ZULHIJJAH 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum. Benarkah ada yang mengisahkan, Saidatina Fatimah itu tidak didatangi haid dan nifas?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Sememangnya cerita bahawa Saidatina Fatimah binti Rasulillah SAW tidak didatangi haid, bahkan nifas, terdapat dalam kitab-kitab sejarah yang ditulis oleh para ulama.
Dalam Faidh al-Qadir (4/421), Imam al-Manawi (w. 1031H) menyebut: "Dalam (kitab) al-Fatawa al-Zahiriyyah yang ditulis oleh ulama mazhab Hanafi menyebut, “Sesungguhnya Fatimah tidak pernah didatangi haid sama sekali, ketika bersalin pun beliau terus bersuci dari nifasnya setelah sesaat agar tiada terlewat solat baginya, oleh itu beliau dianugerahkan laqab al-Zahra’."

Syeikh al-Muhib at-Tabari dalam (kitab) al-Dzakha’ir al-`Uqba fi Manaqib Dzawil Qurba menyebut dua hadis bahawa beliau adalah bidadari daripada jenis manusia, suci dan menyucikan, tidak pernah berhaid, tidak pernah seseorang melihat padanya kekotoran darah haid, dan tidak juga darah wiladah (sewaktu kelahiran).”
Sekalipun begitu, hadis-hadis di atas tidak terlepas daripada kritikan ulama. Berkata al-Manawi juga dalam Itthaf al-Sa’il (1/90): "Tetapi hadis yang disebutkan itu diriwayatkan oleh al-Hakim dan Ibn Asakir daripada Ummi Salim, isteri kepada Abi Talhah, yang mana kedua-duanya ialah hadis maudhu’ seperti mana yang dijazamkan (dipastikan) oleh Imam Ibn al-Jauzi, dan ramai yang bersetuju dengan penilaian tersebut, antaranya Imam al-Jalal al-Suyuti bersama dengan penekanan terhadap kedaifan itu.”

Lihat juga al-Maudhu’at oleh Imam Ibn al-Jauzi (1/422)
Adapun gelaran al-Zahra’ itu adalah pujian semata-mata yang dipopularkan oleh ulama semisalnya Imam Ibn Hibban, Imam Khatib al-Baghdadi, dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani. Sebahagian ulama menyatakan ia berasal daripada gelaran kepada Rasulullah SAW sendiri. Kata adjektif azhar merujuk kepada lelaki, manakala zahra’ merujuk kepada perempuan. Daripada Anas bin Malik RA:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَزْهَرَ اللَّوْنِ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW itu kulitnya azhar al-laun.”

Hadis riwayat Imam Bukhari (3547) dan Imam Muslim (2330)
Imam al-Nawawi dalam Syarah-nya menyebut:

(أَزْهَر اللَّوْن) هُوَ الْأَبْيَض الْمُسْتَنِير, وَهِيَ أَحْسَن الْأَلْوَان
Ertinya: “Azhar al-laun maksudnya warna cerah yang bersinar, yakni warna kulit terbaik.”

Manakala Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Syarah-nya pula memaknainya:

أي أبيض مشرب بحمرة
Maksudnya: "Warna putih kemerah-merahan."

Wallahua’lam.