Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #483: DEFINISI HAMISYH AL-JIDDIYYAH

Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan Hamisyh al-Jiddiyah?

Takrif
Hamisyh Jiddiyah adalah sejumlah wang yang dibayar kepada sama ada penjual aset bagi menunjukkan kesungguhan untuk membeli aset tersebut samada melalui bank atau terus darinya sendiri. Ia digelar sebagai ‘security deposit' dan bersifat seperti booking fee atau commitment fee.

Modus Operandi
Lazimnya ia dilakukan sebelum memeterai sebarang kontrak jual beli, dalam kata lainnya, ia adalah di luar aqad utama jual beli. Namun jika selepas itu kontrak berjaya dimetari, jumlah bayaran dari hamish jiddiyah ini akan dikira sebagai sebahagian daripada harga keseluruhan aset.

Jika pihak pelanggan membatalkan hasrat pembelian, para Ulama Shariah menyebut bahawa penjual hanya berhak untuk mengambil dari jumlah hamish jiddiyah yang dibayar bertepatan dengan kerugian sebenar yang ditanggung. Manakala jumlah yang berbaki mesti diserahkan semula kepada pelanggan.

Pandangan Ulama Silam & Kontemporari
Terdapat beberapa pandangan yang telah dikemukakan oleh sarjana Islam berkenaan isu ini antaranya:

  • Menurut Ibn Qayyim, pelaksanaan Hamish al-Jiddiyah ini adalah berdasarkan kenyataan di bawah ini

قال رجل لكرّيه: أرحل ركابك فان لم أرحل معك في يوم كذا، فلك مئة درهم، فلم يخرج، فقال شريح:
من شَرَطَ على نفسه طائعاً غير مكره فهو عليه
Maksudnya: Berkata seorang pemuda kepada penyewa kenderaan: Aku akan menaiki tunganganmu, maka jika aku tidak menaikinya bersama-samamu pada hari tersebut, maka bagimu 100 dirham. Maka dia telah tidak mengeluarkannya. Oleh itu, Syuraih berkata: Sesiapa yang membuat syarat ke atas dirinya untuk taat tanpa sebarang paksaan, maka hendaklah melaksanakan syarat tersebut.

  • Menurut keputusan Accounting and Auditing Organization For Islamic Financial Institutions (AAOFI) (3/5/2): Dalam konteks pelaksanaan janji untuk berjual-beli, maka diharuskan bagi sesebuah institusi mengambil sejumlah wang yang dinamakan sebagai Hamishy al-Jiddiyah. Pelanggan membayarnya berdasarkan tuntutan daripada institusi kewangan selaras dengan kemampuan kewangan pelanggan. Ia bertujuan bagi keselesaan pada institusi tersebut akibat kerugian yang muncul daripada tindakan pelanggan membatalkan pembelian. Pelaksanaannya adalah dengan memotong sebahagian daripada duit yang telah didahulukan oleh pelanggan dalam jual-beli tersebut.
  • Berdasarkan kepada keputusan Nadwah al-Barakah Li al-Iqtisad al-Islami kali Ke-31 telah memutuskan bahawa dalam kontrak jual-beli, sebahagian wang yang dibayar awal oleh pembeli boleh diambil oleh bank (penjual) bagi menampung kerugian yang ditanggung olehnya akibat pembeli menarik diri daripada pembelian tersebut.

Kerugian sebenar itu, contohnya seperti penjual telah menyediakan kontrak jual beli melalui khidmat firma guaman yang melibatkan kos, pelanggan telah menggunakan khidmat professional valuer yang melibatkan kos dan lain-lain. Maka di ketika pelanggan membatalkan hasratnya, penjual berhak mengambil semua jumlah kos yang telah dikeluarkan dari jumlah Hamish Jiddiyah.

Dalam urusan perbankan Islam, ia diamalkan dalam produk ‘Murabahah Tiga Pihak‘ dan juga beberapa produk lain separti ijarah muntahiyah bi al-tamlik dan musyarakah mutanaqisah. Di mana pelanggan akan memberikan sejumlah wang kepada bank bagi menunjukkan kesungguhan pelanggan dalam meneruskan proses pembiayaan dengan bank. Ia perlu kerana jika pihak pelanggan membatalkan proses sedangkan pihak bank telah membeli asset yang dikehendaki, pihak bank akan mengalami risiko besar.

Kesimpulan
Setelah meneliti pandangan ulama terhadap isu ini, Hamish al-Jiddiyah dilihat salah sebahagian daripada bentuk ganti rugi yang dikenakan kepada pembeli atas kegagalannya membuat pembelian sehinggakan mendatangkan kerugian pada pihak penjual. Namun begitu, ganti rugi yang dikenakan hendaklah bertepatan dengan kadar kerugian sebenar yang ditanggung bukannya anggaran kasar dan juga tanggapan sehingga memberikan mudarat kepada pihak yang lain. Justeru, ditekankan di sini tentang peri pentingnya para penjual agar sentiasa berpegang kepada sifat amanah dalam menjalankan aktiviti urus niaga agar muamalah yang dilakukan mendapat keredhaan Allah SWT.