Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #472: HUKUM MENYIMPAN BARANG KEBAL, PUSAKA ATAU MISTIK

Soalan: Assalamualaikum Datuk. Apakah hukum menyimpan barang-barang kebal, pusaka atau mistik?

Jawapan:

Kepercayaan bahawa satu-satu barang itu mampu memberi kekebalan adalah kepercayaan yang khurafat dan menyeleweng daripada akidah Islam. Tidak ada cincin, keris, tangkal atau apa sahaja yang mampu memberi kekebalan kepada pemakainya melainkan ianya mendapat bantuan daripada jin dan syaitan. Apatah lagi jika ia diperasapkan pada malam-malam tertentu atas kepercayaan bahawa ianya berpenunggu. Maka, barangan kebal haram untuk dijual beli juga disimpan. Kaedah ini diambil daripada hadith Nabi SAW:

وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya sekiranya Allah mengharamkan sesuatu, Dia haramkan juga hasil jual belinya.”
(Riwayat Ibn Hibban, no. 4938) Isnadnya sahih menurut Syeikh Syu’aib al-Arnaout.

Jika menyimpan barang-barang seperti itu, mempercayai kekuasaannya dan kekeramatannya serta dalam masa yang sama, meyakini kesemuanya datang daripada Allah, kami khuatiri pemiliknya termasuk dalam golongan fasik. Sekiranya ia cuma barang yang dipusakai tanpa dipercayai bahawa ianya berpenunggu, ada keramat dan kuasa, tujuan menyimpannya hanya sekadar hobi, maka ia dibolehkan. Hal ini dihuraikan oleh Ibn Hajar al-Haithami dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/278.