SOALAN 8 (24 APRIL 2015 BERSAMAAN 5 REJAB 1436H)
Assalamualaikum, ustaz. Saya ingin bertanya soalan.
- Bolehkah solat jamak antara solat Jumaat dengan solat Asar?
- Kenapa ketika baca Qunut bersama imam, ada yang imam baca dan ada yang kita kena baca sendiri . Terima kasih ustaz. Barakallahufikum
JAWAPAN
Berkenaan dengan isu solat jamak, antara Jumaat dengan Asar, para ulama telah khilaf kepada dua pendapat.
- Pertama, harus. Inilah pendapat ulama Syafie dan ditashihkan oleh Imam al-Suyuti dan dii’timadkan oleh al-Zarkasyi. Begitu juga telah diberi fatwa dengannya oleh Syeikh al-Ramli. Dalil mereka berdasarkan kepada qiyas solat Jumaat dengan Zohor.
- Kedua, tidak harus. Inilah pendapat yang masyhur di kalangan Hanbali dan satu wajah di sisi ulama Syafie. Mereka berhujah jamak Asar kepada Jumaat tidak diharuskan kepada syarak kerana ibadah pada asalnya dibina atas tawaqquf tanpa boleh diqiyaskannya.
Saya cenderung kepada pendapat yang pertama iaitu diharuskan menjamakkan solat Jumaat dengan Asar kerana hujahan tersebut cukup kuat disamping adanya maslahat.
Berkenaan isu yang kedua pula, ini yang pentingnya kita mengaminkan apa yang imam doa. Tetapi pada setengah perkataan ditengah doa qunut bukan menunjukkan amin sebaliknya menceritakan tentang kekuasaan Tuhan. Atas sebab itulah kita juga membacanya. Semoga kita semua dirahmati Allah dan diberi petnjuk untuk melaksanakan segala titah perintah-Nya.