SOALAN 18 (28 APRIL 2015 BERSAMAAN 9 REJAB 1436H)
Ana mohon pencerahan tentang zakat keuntungan jualan rumah kediaman. Dulu kami tinggal di sekitar Kajang dan sekarang telah berpindah ke Kelantan. Ada keuntungan rumah kami jual untuk menyelesaikan hutang-hutang dan modal untuk membina rumah baru di kampung. Soalannya:
- Adakah dikenakan zakat sebaik sahaja selesai jual beli atau selepas haul setahun dari keuntungan tersebut?
- Keuntungan tersebut adakah dikira harta sepencarian suami isteri.
- Saya sendiri masih mempunyai hutang-hutang pendidikan dan perniagaan yang belum langsai. Bolehkah zakat melangsaikannya. Jazakallah
JAWAPAN
Untuk persoalan ini, seperti berikut:
Jawapan pertama. Jika sekiranya zakat perniagaan dimana anda mempunyai banyak rumah dan sentiasa menjualnya maka dikira sebagai zakat perniagaan iaitu selepas cukup setahun.
Jawapan kedua. Istilah harta sepencarian lebih kepada budi bicara dan uruf dan jika sekiranya isteri juga terbabit secara langsung maka sudah barangpasti dinamakan harta sepencarian. Masalah ini saya syorkan dirujuk kepada mahkamah syariah.
Jawapan ketiga. Saya lebih cenderung kepada berlaku pemisahan antara kita berzakat dan kita melangsaikan hutang supaya ia lebih baik dan keluar daripada khilaf serta tidak dilihat sebagai menggunakan wang zakat peribadi untuk dibayar hutang peribadi.