SOALAN 2 (26 MAC 2015 BERSAMAAN 5 JAMADIL AKHIR 1436H)
Assalamu'alaikum ustaz.. Saya ada kemusykilan. Ada ustazah saya yang mengajar subjek di Pusat Latihan Dakwah mengatakan malaikat yg membedah dada nabi tidak di nyatakan malaikat apa dan bukan air zam zam yang di gunakan utk membasuh hati Rasulullah SAW tapi air salju yang di gunakan. Minta pencerahan ustaz!
JAWAPAN
Terima kasih atas pertanyaan daripada pihak puan. Dalam persoalan ini, terdapat dua isu:
Pertama: Nama malaikat
Dalam isu ini para ulama’ telah khilaf berkenaan dengan berapa kali Rasulullah SAW dibedah dadanya. Ibn Hajar al- Asqalani berkata: “Sebahagian mereka ingkar berlakunya pembelahan dada pada malam Isra’. Mereka berkata hanya berlaku ketika kecil di perkampungan Bani Sa’d. Hal ini tidaklah diingkari kerana terdapat beberapa riwayat dan thabit pebedahan dada juga ketika dibangkitkan menjadi Rasul sebagai riwayat Abu Nuaim dalam al-Dala’il. Ringkasnya saya nyatakan begini:
- Kali pertama ketika kecil dalam usia 4 tahun. Datang Jibril dan merebahkannya serta membedah dadanya. Ini seperti riwayat Muslim dalam Sahihnya daripada Anas bin Malik.
- Ketika dibangkitakan menjadi Rasul seperti riwayat Abu Nuaim dalam al-Dala’il.
- Ketika Isra’ dan Mi’raj dan ini thabit dalam Sahih Bukhari dan Muslim dan lain lagi seperti riwayat Anas bin Malik daripada Malik bin Sa’sa’ah dan lain.
Berdasarkan beberapa riwayat di atas menunjukkan bahawa Jibril yang melaksanakan tugas pembedahan.
Kedua: Air Yang Digunakan Adalah Air Salji
Mengikut sebahagian riwayat tidak menyebut apakah air yang digunakan. Tetapi dalam riwayat yang lain menyebut dengan menggunakan air zam-zam. Justeru, saya cenderung kepada pendapat bahawa dibasuh dengan menggunakan air zamzam kerana riwayat air zamzam adalah ithbat dan kaedah menyebut ithbat itu didahulukan dari penafian.
Sila rujuk kepada kitab yang muktabar seperti Fathul Bari, al-Sahih min Siratinnabi al-A’zam, al-Tabaqat oleh Ibn Sa’d, Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi dan lain-lain. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita semua dalam mencari fakta yang sahih lagi benar, amin.