Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #4 : HUKUM PEMALSUAN SIJIL UNTUK MENDAPATKAN PEKERJAAN

SOALAN 4 (17 APRIL 2015 BERSAMAAN 27 JAMADIL AKHIR 1436H)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, ustaz. Saya ingin bertanya soalan. Saya telah menggunakan sijil tipu dan menipu pengalaman kerja untuk mendapatkan pekerjaan. Apakah hukumnya ustaz? Bagaimana dengan rezeki yang saya dapat?

 

JAWAPAN

Semoga Allah mengampunkan kita semua. Saudara yang saya kasihi, perbuatan menipu adalah haram hukumnya berdasarkan hadith Nabi ﷺ:

من غشنا فليس منا

 Mafhumnya: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan kami.” (Riwayat Muslim)

 

Melihat kepada sebab hadith ini dikatakan bahawa Rasulullah SAW melalui tempat seorang peniaga makanan di mana makanan yang baik diletakkan di hadapan sedangkan yang rosak diletakkan di dalamnya. Lantas Nabi memasukkan tangannya sehingga sampai kepada makanan atau bijirin yang rosak. Maka Rasulullah SAW bertanya, “Apa ini wahai tuan makanan?” Jawabnya: “Ia terkena hujan, ya Rasulullah.” Rasulullah SAW bertanya

“Apakah tidak kamu menjadikannya diatas supaya orang ramai boleh melihat?” dan Nabi menyebutkan hadith sebagaimana di atas.

 

Tetapi oleh kerana perkara ini telah berlaku dan tuan telah menginsafi apa yang berlaku disamping dapat menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya, maka kepercayaan tugas yang diamanahkan kepada tuan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Cumanya untuk meraih hal berkaitan jawatan maka penipuan dilakukan. Saya syorkan beberapa perkara.

  • Bertaubat kepada Allah SWT dan beristighfar kepada-Nya. Antara syarat taubat :
  • Meninggalkan dosa dengan sukarela
  • Bertaubat dari dosa yang dilakukan
  • Berazam tidak mahu melakukan semula
  • Meminta halal dan kemaafan daripada makhluk jika sesama mereka
  • Banyakkan zikrullah
  • Sedekah sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi
  • Sentiasa meningkatkan kepakaran supaya kelayakan dan kebolehan menjalankan tugas melebihi orang yang mempunyai sijil yang baik.
  • Jangan ulangi perbuatan ini dan banyakkan muhasabah diri.

Akhir kalam, jadilah kita orang yang jujur dan beramanah kerana inilah tuntutan Islam disamping sentiasa memohon keampunan daripada-Nya.Semoga Allah memberi kepada kita akhlak yang baik dan terpuji. Amin.