Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Rambut Wanita Bukan Aurat?

Kredit

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 120 (14 DISEMBER 2015 / BERSAMAAN 2 RABIULAWAL 1437H)

SOALAN:

Assalamualaikum, Telah tersebar di dalam Facebook satu posting yang meragukan oleh pengguna yang bernama Siti Mariam seperti berikut: "Rambut perempuan bukan aurat kalau ikut Quran tiada satu perkataan pun mengatakan rambut itu perlu ditutup. Tapi, ostat degil jugak kata kena ikut hadis. Aku tanya la dia," kalau rambut aurat,kepala botak kira ok tak payah pakai tudung la kan?" Kata ostat, "tak boleh jugak, sebab kepala kena tutup". "Habis aurat tu rambut ke kepala? " Ostat tak jawab...pastu aku tanya lagi, "Kalau pakai rambut palsu macamana pulak?" Ostat kata "tak boleh, sebab menyerupai rambut". Aku tanya "habih kenapa tak boleh menyerupai rambut?" Ostat kata "sebab ia menarik perhatian lelaki." "Habis, pakai tudung Fareeda, tudung Siti, tudung bawal, tudung manik2, pakai baju, pakai kain bercorak2, berwarna warni dan berfesyen2 tu tak menarik perhatian lelaki ke?" Macam nak kena telan aje mata dia jegir kat aku. Itu belum aku kata, kalau berjalan dalam guni pun, kalau lelaki tau itu perempuan, kau ingat lelaki tak tertarik nak tengok? Tambah2 lagi kalau semua perempuan berguni..mesti lagi nak tengok dan 'curious' sebab pompuan dah jadi species yang susah dilihat..makin gila biul la jantan!Kohkoh"

Mohon penjelasan oleh Tuan Mufti. Terima kasih. 

JAWAPAN:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Sebenarnya memang ada perintah menutup kepala di dalam al-Quran. Firman Allah dalam surah an-Nur, 24:31:

 

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

 

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan dadanya dengan khumur

 

Apakah maksud khumur?

Khumur, kata jamak bagi khimar, bererti kain yang dipakai di atas kepala wanita. Masyarakat Jahiliyyah sebelum turunnya ayat 31 surah an-Nur di atas, mereka juga memakai khimar tetapi melabuhkannya ke belakang sehingga menampak aurat seperti leher, anting-anting, dan lurah buah dada.

Apabila turun ayat 31 surah an-Nur, Allah memerintahkan memerintahkan wanita-wanita yang beriman untuk melabuhkan khimar mereka ke hadapan sehingga menutupi perhiasa-perhiasan, yakni aurat mereka. Maka hujjah Siti Mariam itu tidak tepat kerana tidak memahami terminologi al-Quran berdasarkan kefahaman masyarakat sewaktu al-Quran diturunkan. Isu ini mengingatkan kami kepada peristiwa mencabut hijab di Dataran Tahrir oleh Hoda Shaarawi pada tahun 1923. Hal ini wajar dibendung agar tidak terus mengundang kekeliruan dalam masyarakat.

Wallahua`lam.