Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

HUKUM MAIN KUTU moden

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 131 (18 DISEMBER 2015 / BERSAMAAN 7 RABIULAWAL 1437H)

SOALAN

Assalamualaikum Tuan Mufti.

Mohon bantuan mengenai hukum kutu moden yang semakin banyak dipromosikan dalam Facebook.

Terima kasih.

 

JAWAPAN:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Pada asalnya bermain kutu ialah dibenarkan selagi mana jauh daripada riba, kezaliman dan unsur-unsur yang haram. Sahabat saya Prof Dr. Azman Mohd Noor di dalam tulisan belia berkata: Bermain kutu adalah amalan sebahagian masyarakat Islam khasnya wanita di Timur Tengah (dipanggul “Jumu’iyyah), Afrika (di Nigeria ia dipanggil “adashi”dan Malaysia khasnya di Pantai Timur. Isu Syariah ialah mensyaratkan hutang dibalas dengan hutang iaitu “aqridni uqriduka”, yang bereti: “Bagi hutang kepada saya, saya akan bagi hutang pada kamu”. Kebanyak an Fuqaha tidak membenarkan hutang bersyarat sebegini kerana ada unsur mengambil manfaat dari hutang.

Perlu juga dipertimbangkan, manfaat daripada hutang yang diharamkan ialah manfaat yang dikhususkan kepada pemberi hutang (lender). Adapun manfaat kepada peminjam, ia diharuskan. Dalam kontek kutu, semua ahli akan memperolehi manfaat dan tidak disyaratkan siapa yang dapat dahulu

Mazhab Maliki pula membenarkan mewaqafkan duit secara bertempoh melalui dana waqaf yang menyediakan khidmat pinjaman hutang kepada ahli/sesiapa yang memerlukan. Dalam konteks kutu, seolah olah duit simpanan bulanan dikumpul kemudian diberi pinjam kepada ahli secara bergilir.

Berdasarkan pandangan Mazhab Maliki yang membenarkan berhutang dari waqaf, dan konsep kerjasama, persepakatan dan persetujuan di antara ahli peserta kutu, (bukannya hubungan antara dua pihak) tanpa melibatkan bayaran riba, atau apa apa skim pelaburan, saya berpandangan bahawa ia adalah harus. Tetapi, konteks undang-undang perlu dipertimbangkan.”

Sahabat saya Dr. Zaharuddin Abd Rahman antara lain menyebut: Setakat info yang diberikan dan juga menurut pengetahuan saya berkenaan skim 'kutu' ini, secara dasarnya saya lihat urus aturan 'kutu' ini adalah harus. (Namun keharusan ini telah dibataskan oleh akta wang kutu di atas tadi).

Ini adalah kerana sebenarnya wang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara 'in advance' disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan. Pembayaran 'In advance' ini dari sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah dari semua ahli kumpulan.

Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya.

Namun demi memastikannya halal, perlulah memastikan semua ahli kumpulan boleh dipercayai, dikenali dan membuat aqad bertulis bagi protect kemaslahatan semua. Tanpanya, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar.

Bayangkan zaman hari ini, orang yang nampak baik pun liat nak bayar hutang.

Kesimpulannya, skim 'kutu' antara sesama rakan yang dipercayai dalam jumlah yang terhad dan munasabah serta bertulis adalah harus disebabkan ia hanyalah aktiviti pinjam meminjam.”

 

Aktiviti saling memberi pinjam dengan nilai dan jumlah yang sama adalah harus. Antara hujjah saya adalah seperti berikut:- 

Pertama: Keharusan kaedah:-

أسلفني وأسلفك

Maksudnya: "Kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku juga akan meminjamkan kepadamu kelak"

(Mawahibul Jalil, Al-Hattab, 4/395)

Menurut mazhab Maliki, konsep ini dianggap makruh apabila ia memberikan manfaat kepada yang pemberi hutang lalu ia haram, tetapi jika manfaat diperolehi oleh peminjam ia adalah harus.

Namun dalam bab ini kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama rata. Justeru ia sewajarnya diharuskan. Inilah yang diperolehi dari skim 'kutu' ini.

 

Kedua: Tidak termasuk dalam bentuk faedah yang dilarang.

Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa tindakan ini adalah harus di sisi Syariah atas sebab ia tidak termasuk dalam pinjaman dengan faedah yang dilarang oleh Shariah. Jumlah dan tempoh pinjaman juga adalah serupa. Ini menjadikannya tiada sebarang lebihan manfaat yang boleh menjadikannya haram.

Manakala syarat untuk memberi pinjam semula tadi, jikapun ia dianggap sebagai satu manfaat namun ia adalah manfaat yang sama kepada dua-dua pihak dan bukan hanya satu pihak yang boleh membawa penindasan. Ia juga boleh dilihat dalam isu ‘Suftajah'. Demikian menurut pendapat Ibn Qudamah, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim. Malah diperjelaskan lagi oleh Prof. Dr Nazih Hammad (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 230).

 

Ketiga: Riba diharamkan disebabkan kerana zalim yang berlaku ke atas satu pihak.

Namun di dalam hal ni tiada sebarang kezaliman berlaku kerana kedua-duanya mendapat jumlah, dan tempoh yang sama, cuma di waktu yang berbeza sahaja.

Ibn Qayyim berkata:-

والشارع نهي عن الربا لما فيه من الظلم

Maksudnya: "Syariah melarang riba disebabkan kerana kezaliman yang terdapat padanya" ('I'lam al-Muwaqqi'en, 1/386)

 

Adapun persepakatan dalam pinjaman berbalas dengan jumlah dan tempoh sama ini tiada terkandung di dalamnya sebarang zalim kepada mana-mana pihak. (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 231)

 

Namun begitu bahawa undang-undang negara kita memperuntukkan dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang kutu 1971 (http://www.ssm.com.my/acts/fscommand/ak0028.htm) bahawa perniagaan wang kutu adalah salah di sisi undang-undang. Menurut Akta 28 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, ia ditafsirkan sebagai:

"Kumpulan wang kutu" ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine.”

Wallahuaʿlam