Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

hukum perniagaan waranti

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 142 (04 JANUARI 2016 / BERSAMAAN 23 RABIULAWAL 1437H)

 

SOALAN

Assalamualaikum Ustaz,

saya nak minta pendapat sedikit. Apakah hukum perniagaan menjual waranti untuk motosikal dari sudut Islam?

Terima kasih.

 

JAWAPAN:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

 

Dibenarkan menjual barang bersama dengan waranti servis baik pulih dalam tempoh tertentu atau disebut standard warranty. Ini termasuk dalam bab al-Wa`d atau bab mensyaratkan manfaat bagi pembeli. Kedua-duanya adalah harus. Sila rujuk al-Hawafiz al-Tijariyyah karangan Dr. Khalid al-Muslih, hlm. 246.Dibenarkan juga menambah harga barang yang disebabkan pertambahan tempoh waranti  atau disebut extended warranty.

Tetapi jika membeli kad jaminan atau extended warranty yang berasingan daripada barang seperti seseorang membeli barang tanpa waranti lalu membeli waranti, atau membeli satu barang yang sudah tamat warantinya kemudian membeli waranti baru, Ini adalah tidak harus kerana mengandungi ketidakpastian atau gharar dan perjudian. Ini kerana dia membeli atau membayar suatu yang bersifat mungkin dan tidak tentu; sama ada dia memperoleh manfaat daripada servis baikpulih tersebut atau mungkin tidak dapat. Ini adalah sifat qimar, satu bentuk judi yang diharamkan. Asasnya seperti insuran konvensional. Justeru, jika dilakukan atas konsep takaful, maka dibenarkan.

Syeikh Abdullah bin Jibrin Rahimahullah pernah ditanya: “Apakah hukum meninggikan harga untuk menambah tempoh waranti? Beliau menjawab: “Tidak mengapa jika ada persetujuan. Adapun membeli kad khusus untuk jaminan, maka ia tidak harus. Wallahualam”. 

 

Hukum harus bagi waranti standard adalah kerana ia mengikut tabi’ bagi kontrak jual beli. Kaedah menyebut :

يغتفر في التابع ما لا يغتفر في المتبوع

Maksudnya: “Dimaafkan hukum benda yang mengikut, apa yang tidak dimaafkan pada yang diikut”

 

Maka ditetapkan bahawa waranti yang mengandungi unsur gharar dimaafkan dalam waranti standard tetapi ditegah dalam pembelian waranti secara asing.

Wallahuaʿlam