AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 223 (24 MAC 2016 M / 15 JAMADILAKHIR 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum wbt ustaz nak tanya,
Orang sakit macam mana nak mandi hadas besar kalau tak boleh kena air kerana takut sejuk dan memudarat, dan kalau tak bleh bangun macam mana (terlantar) bolehkah untuk dilap-lap sahaja. Terima kasih.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Kami berpendapat bahawa beliau boleh melaksanakan tayammum sebagai pengganti bagi wuduk dan mandi.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
أَنَّ رَجُلًا أَجْنَبَ فِي شِتَاءٍ، فَسَأَلَ وَأُمِرَ بِالْغُسْلِ فَاغْتَسَلَ فَمَاتَ، فَذُكِرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا لَهُمْ قَتَلُوهُ قَتَلَهُمُ اللَّهُ» ثَلَاثًا «قَدْ جَعَلَ اللَّهُ الصَّعِيدَ - أَوِ التَّيَمُّمَ - طَهُورًا
Maksudnya: Terdapat seorang lelaki berjunub pada musim sejuk. Dia bertanya (kepada orang ramai) maka dia disuruh untuk mandi, maka dia mandi lalu mati. Lalu disebut perkara itu kepada Nabi SAW maka Baginda berkata: Apa mereka sudah lakukan? Mereka telah membunuhnya, maka Allah akan membunuh mereka!. Baginda mengulanginya tiga kali. Baginda berkata: Allah telah menjadikan debu tanah untuk tayammum sebagai bahan untuk bersuci.
Hadis riwayat al-Hakim (585).
Daripada Amr bin al-`As, beliau berkata:
احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ فِي غَزْوَةِ ذَاتِ السُّلَاسِلِ فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلِكَ فَتَيَمَّمْتُ، ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابِي الصُّبْحَ فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «يَا عَمْرُو صَلَّيْتَ بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُبٌ؟» فَأَخْبَرْتُهُ بِالَّذِي مَنَعَنِي مِنَ الِاغْتِسَالِ وَقُلْتُ إِنِّي سَمِعْتُ اللَّهَ يَقُولُ: {وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا} [النساء: 29] فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا
Maksudnya: Aku telah bermimpi basah pada suatu malam yang sejuk dalam Peperangan Dzat al-Sulasil maka aku takut kalau aku mandi aku akan binasa lalu aku bertayammum, kemudian aku bersolat Subuh bersama teman-temanku. Mereka memberitahu perkara itu kepada Nabi SAW maka Baginda bertanya: Wahai Amr! Apakah engkau solat bersama teman-temanmu sedangkan engkau masih berjunub?. Lantas aku memberitahu Baginda apa yang menghalang aku daripada mandi dan aku beritahu yang aku mendengan Allah berfirman: Dan janganlah kalian membunuh diri kalian, sesungguhnya Allah tersangat kasih akan diri kamu (Surah al-Nisa, ayat 29). Maka Rasulullah SAW pun tertawa dan Baginda tidak berkata apa-apa.
(Hadis riwayat Abu Daud (334
Wallahua`lam.