Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AZANLAH WALAUPUN BERSENDIRIAN

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 232 (30 MAC 2016 M / 21 JAMADILAKHIR 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum, SS Datuk Dr...apakah wajib kita melaungkan azan di surau meskipun hanya saya seorang sahaja di dalam surau ketika itu.

 

JAWAPAN:

Waalakumussalam wbt,

Azan itu bukanlah wajib tetapi syiar kepada agama Islam. Dalam mazhab Syafie, hukum azan ialah sunat bagi seseorang, sama ada musafir atau mukim, bagi solat yang sudah luput, atau ingin diqadakan, atau bagi orang yang bersolat bersendirian atau berjemaah.

Kelebihannya banyak seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW:

الْمُؤَذِّنُونَ أَطْوَلُ النَّاسِ أَعْنَاقًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Para muazzin paling panjang tengkuk mereka para hari kiamat (kerana ramainya yang menjadi saksi kebaikan mereka).

Hadis riwayat Imam Muslim (387) dalam Sahih-nya

Sabda Baginda lagi:

فَارْفَعْ صَوْتَكَ بِالنِّدَاءِ، فَإِنَّهُ: لاَ يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ المُؤَذِّنِ، جِنٌّ وَلاَ إِنْسٌ وَلاَ شَيْءٌ، إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ القِيَامَةِ

Maksudnya: Maka tinggikanlah suaramu ketika azan kerana sesungguhnya suara azan ketika dikumandangkan muazzin tidaklah didengar golongan jin, mahupun manusia atau apa pun, melainkan mereka menjadi saksi baginya di Hari Kiamat.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (609) dalam Sahih-nya

Sabda Rasulullah SAW:

لَا يَسْمَعُهُ جِنٌّ، وَلَا إِنْسٌ، وَلَا شَجَرٌ، وَلَا حَجَرٌ، إِلَّا شَهِدَ لَهُ

Maksudnya: Kerana tidak mendengar jin, manusia, mahupun batu, melainkan mereka menjadi saksi baginya.

Hadis riwayat Imam Ibnu Majah (723) dalam Sunan-Nya

Justeru amat perlu dialunkan azan meskipun hanya seorang. Jika ada orang yang bersama dengannya untuk solat berjemaah, dia sudah mendapat ganjaran yang besar berbanding solat bersendirian. Sabda Rasulullah daripada riwayat Ibn Umar R.anhuma:

صَلاَةُ الجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً (في رواية: بِخَمْسٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً)

Maksudnya: Solat berjemaah itu mengatasi kelehihan solat bersendirian sebanyak 27 darjat (dalam riwayat lain: 25 darjat)

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (644 & 645)

Wallahua`lam.