Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

ILHAM: APAKAH ITU ILHAM?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 219 (22 MAC 2016 M / 13 JAMADILAKHIR 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum wbt,

Saya ingin kepastian, sekiranya saya beriktikad, setiap yg diilhamkan-Nya kpd makhluk ciptaanNya itu punya kadar yg ditetapkan-Nya dan diri ini yang diciptakan-Nya diberi pilihan oleh-Nya pada makna merancang sedangkan yang menentukan apa yg berlaku itu ketentuanNya pada makna "dengan izin-Nya", adakah iktikad saya ini menyalahi makna syariat?

Mohon pencerahan.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Berkenaan dengan ilham, kita perlu tahu apa sebenarnya ilham. Mungkin suatu ilham itu baik, dan mungkin juga suatu ilham itu tidak baik, dan mungkin suatu lintasan hati itu bukan ilham pun. Firman Allah Taala:

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
Maksudnya: Serta (Allah) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.

(Surah al-Syams, 91:8)

Berkata Imam Abu Jaafar al-Tabari: “Maka Allah menjelaskan kepada jiwa itu apa yang patut dibuat dan apa yang diwaspadakan daripada jenis perbuatan baik, atau keburukan atau ketaatan, atau kemaksiatan.”

Firman Allah SWT:
وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ
Maksudnya: Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?

(Surah al-Balad, 90:10)

Imam Ibn Katsir menyebut: Ibn Mas`ud mengertikan al-Najdain sebagai kebaikan dan kejahatan. Inilah yang diriwayatkan daripada Ali, Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, Abi Wa’il, Abi Soleh, Muhammad bin Ka`ab, al-Dhahhak, dan Ata` al-Khurasani.”

Ini bererti bahawa sekadar sangkaan suatu itu sebagai ilham sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu dikembalikan dan ditilik sangkaan ilham itu berdasarkan asas Syariah; al-Quran dan al-Sunnah. Ilham yang bertepatan dengan kehendak kedua-dua asas inilah yang diterima dan boleh diamalkan.

Wallahua`lam.