Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #467 : HUKUM MENGUMPULKAN ISTERI-ISTERI DALAM SATU BILIK DENGAN REDA KEDUANYA

 

SOALAN:

Assalamualaikum,

Apakah hukum mengumpulkan dua isteri dalam satu bilik dengan keredaan keduanya?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Soalan ini memiliki tiga maksud.

 

Maksud pertama

Jika yang dimaksudkan oleh penanya ialah maksud harfiah yakni adakah dibenarkan dalam Islam untuk mengumpulkan dua orang isteri daripada satu suami dalam satu bilik kerana terdapat hajat seperti berehat dan makan minum, maka itu dibenarkan. Ini kerana tiada dalil daripada Syarak yang menghalangi hal sedemikian.

 

Maksud Kedua

Adapun jika yang dimaksudkan ialah mengumpulkan isteri-isteri dalam satu bilik sebagai nafkah tempat tinggal bagi keduanya, maka hal ini kami berpendapat dimakruhkan bagi suami kerana bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAW yang menyediakan rumah atau bilik yang berbeza bagi isteri-isterinya.

Berkata Ibn Qudamah dalam al-Mughni (7/300-301):

“Tidak boleh bagi seorang lelaki untuk mengumpulkan dua orang isterinya dalam satu (ruang) tempat tinggal yang sama melainkan dengan keredaan keduanya, sama ada ruang itu kecil atau besar, kerana akan menyebabkan mudarat keatas kedua mereka. Mungkin akan berlaku kebencian dan cemburu, pertemuan keduanya akan membawa kepada pertelingkahan dan pergaduhan. (Begitu juga) salah seorang daripada mereka mendengar dengusan (seksual) salah seorangnya didatangi suami, atau juga melihat mereka sedang bersama.”

 

Maksud Ketiga

Namun, jika yang dimaksudkan ialah menghimpun dua orang isteri bagi tujuan persetubuhan suami dalam satu bilik, maka yang demikian adalah haram berdasarkan hadis.

Perkara ini secara jelas membawa kepada pendedahan aurat yang berat antara kedua isteri lantaran Syariat tetap meletakkan batas aurat antara wanita-wanita yang bermadu, sekalipun suaminya sama, namun perkahwinan yang diiktiraf di dalam Islam hanyalah antara lelaki dan perempuan. Maka wanita-wanita yang bermadu tiada hubungan apa-apa yang boleh menghalalkan aurat dilihat antara satu sama lain.

Daripada Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: Janganlah seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki (yang lain), dan jangan juga seorang wanita melihat aurat wanita (yang lain).

Hadis riwayat Imam Muslim (no. 338)

Imam Nawawi menyebutkan: “Dalam hadis ini menunjukkan haramnya bagi seorang lelaki melihat aurat lelaki lain dan juga haram bagi seorang wanita melihat aurat wanita lain dan ini tiada perbezaan pandangan padanya.” Beliau juga menyebut bahawa aurat antara wanita dan wanita yang Muslim adalah antara pusat dan lutut. Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (4/30-31).

Tambahan lagi, perbuatan ini membawa kepada dosa musahaqah, seperti yang dilakukan oleh golongan lesbian pada zaman ini. Diriwayatkan daripada Wathilah bahawa Rasululllah SAW melarang sihaq:

السِّحَاقُ بَيْنَ النِّسَاءِ زِنًا بَيْنَهُنَّ

Maksudnya: Perbuatan sihaq antara wanita-wanita itu dikira berzina dalam kalangan mereka.

Hadis riwayat al-Tabarani (no. 153) dalam Mu’jam al-Kabir. Abu Ya’la dan al-Suyuti menghasankan hadis ini.

Ibn Qudamah juga menyebut:

“Sekalipun kedua isteri itu reda suami itu tidur bersama kedua mereka dalam satu selimut, dan reda seorang daripada mereka berjimak sedangkan yang satu lagi melihatnya, itu tidak dibenarkan. Ini kerana hal demikian merupakan lambang rendah akhlak, kehinaan, dan menjatuhkan maruah, maka tidak boleh sekalipun dengan redha keduanya. Namun jika dalam rumah yang sama tetapi bilik berbeza maka dibolehkan dengan syarat saiz bilik itu sama.”

Merujuk kitab Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (24/251), para penulisnya menyebut: “Tiada perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha bahawa perbuatan lesbianism adalah dilarang berdasarkan sabda Rasulullah SAW bahawa sihaq itu adalah zina dalam kalangan wanita. Dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengiranya sebagai dosa besar.” Rujuk juga al-Zawajir an Iqtiraf al-Kabair (2/119).

Lantaran keburukan perbuatan ini, sewajarnya seseorang itu, sama ada suami atau isteri itu, malu daripada berfikir mahupun melakukan perkara ini sekalipun jika hubungan seksual itu berlaku antara suami dan salah seorang isterinya, namun isteri yang lain mendengar dan melihat berlakunya persetubuhan itu. Itu adalah perkara yang amat memalukan. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: Iman itu enam puluh lebih cabang, dan sifat malu itu salah satu cabang daripada Iman.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 9) dan Imam Muslim (no. 35)

Ertinya, hendaklah suami dan isteri berasa malu untuk melakukan perkara yang buruk dalam hubungan seksual sekalipun antara isteri-isteri dan suami itu mereka saling meredai.

Semoga Allah memelihara kita daripada melibatkan diri daripada perkara fahisyah.