Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI 457: HUKUM MELAKNAT PELAKU MAKSIAT

Soalan:

Apakah patut dan boleh kita melaknat individu yang melakukan maksiat ? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Menurut Ibn Manzhur, laknat bererti jauh dan tercampak dari sebarang kebaikan. Pendapat lain menyebut bahawa laknat bermaksud: Ditolak dan dijauhkan dari rahmat Allah. Manakala jika laknat itu datang dari manusia maka ia bermaksud: Celaan dan doa ke atasnya.

Perkataan Laknat Di Dalam Al-Quran & Al-Hadis Di dalam al-Quran terdapat banyak tempat Allah melaknat Iblis dan juga Syaitan. Di antaranya adalah firman Allah S.W.T:

وَإِنَّ عَلَيْكَ اللَّعْنَةَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ

Maksudnya: Sesungguhnya ke atasmu (Iblis) laknat sehingga ke hari kiamat.

Surah Al-Hijr (35)

Firman Allah S.W.T:

لَعَنَهُ اللهُ وَقَالَ لَأتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَفْرُوضا

Maksudnya: (Dia Iblis) yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku).

Surah Al-Nisa (118)

Kata Imam al-Qurthubi Rahimahullah ketika menafsirkan ayat di atas. Asal bagi perkataan laknat adalah menjauhkan. Manakala dari sudut uruf pula laknat bererti: Menjauhkan yang disertai dengan penghinaan dan kemurkaan. Maka melaknat Iblis secara ta’yin adalah harus dan demikian juga ke atas setiap golongan kafir yang telah mati seperti Firaun, Haman, dan Abu Jahal. Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (5/331).

Manakala di dalam hadis pula, terdapat sebuah riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi S.A.W juga pernah melaknat Syaitan. Ini sebagaimana kata Abu Darda’ R.anh yang berkata:

قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَمِعْنَاهُ يَقُولُ ‏‏ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ ‏ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏‏أَلْعَنُكَ بِلَعْنَةِ اللَّهِ ‏ ‏.‏ ثَلاَثًا ‏.‏ وَبَسَطَ يَدَهُ كَأَنَّهُ يَتَنَاوَلُ شَيْئًا فَلَمَّا فَرَغَ مِنَ الصَّلاَةِ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ سَمِعْنَاكَ تَقُولُ فِي الصَّلاَةِ شَيْئًا لَمْ نَسْمَعْكَ تَقُولُهُ قَبْلَ ذَلِكَ وَرَأَيْنَاكَ بَسَطْتَ يَدَكَ ‏.‏ قَالَ ‏ إِنَّ عَدُوَّ اللَّهِ إِبْلِيسَ جَاءَ بِشِهَابٍ مِنْ نَارٍ لِيَجْعَلَهُ فِي وَجْهِي فَقُلْتُ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ ‏.‏ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ قُلْتُ أَلْعَنُكَ بِلَعْنَةِ اللَّهِ التَّامَّةِ فَلَمْ يَسْتَأْخِرْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ أَرَدْتُ أَخْذَهُ وَاللَّهِ لَوْلاَ دَعْوَةُ أَخِينَا سُلَيْمَانَ لأَصْبَحَ مُوثَقًا يَلْعَبُ بِهِ وِلْدَانُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W berdiri (untuk menunaikan solat) maka kami mendengar baginda mengatakan: Aku mohon perlindungan Allah dari mu. Kemudian kami mendengar baginda menyebut: Aku melaknat kamu dengan laknat Allah sebanyak tiga kali. Lalu baginda membentangkan tangannya seperti dia sedang mengambil sesuatu. Maka sebaik sahaja selesai solat kami katakan: Wahai Rasulullah, kami telah mendengar kamu menyebut di dalam solat sesuatu perkataan yang tidak pernah kami dengarinya sebelum ini dan kami melihat kamu bentangkan tanganmu. Maka Rasulullah S.A.W berkata: Sesungguhnya musuh Allah Iblis telah datang dengan api dari neraka untuk dia campakkan ke wajahku. Maka aku katakan: Aku mohon perlindungan Allah dari kamu sebanyak tiga kali. Kemudian aku katakan: Aku melaknat kamu dengan laknat Allah yang sepenuhnya. Maka sedikit pun ia tidak berpaling. Demi Allah sekiranya tidak disebabkan doa saudara kami Sulaiman, nescaya ia sudah menjadi bahan mainan kanak-kanak di Madinah.

Riwayat Muslim (542)

Hukum Melaknat Individu

Laknat ke atas individu berlaku dalam dua bentuk:

Pertama: Melaknat ke atas golongan kafir ataupun pelaku-pelaku maksiat dalam bentuk umum. Seperti ucapan: Laknat Allah ke atas golongan Yahudi dan Nasrani. Ataupun ucapan seperti: Laknat Allah ke atas golongan kafir, orang fasiq, atau orang-orang zalim. Begitu juga seperti melaknat ke atas peminum arak atau para pencuri. Maka semua perkataan laknat yang ditujukan kepada umum sebegini adalah dibolehkan. Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Muflih Rahimahullah: Dan dibolehkan untuk melaknat golongan kafir secara umum. Rujuk Al-Adab al-Syar’iyyah, Ibn Muflih (1/203).

Kedua: Melaknat dalam bentuk ta’yin (menentukan) kepada individu yang dilaknat. Seperti melaknat orang kafir atau fasiq dengan ucapan: Laknat Allah ke atas si fulan. Iaitu dengan menyebutkan nama orang tersebut. Maka dalam isu ini ada dua keadaan:

  1. Sekiranya yang dilaknat itu telah disebutkan di dalam nas al-Quran ataupun hadis yang dirinya dilaknat, ataupun namanya disebutkan di dalam al-Quran sebagai mati dalam kekufuran, maka dalam kes ini boleh untuk dilaknat secara ta’yin. Mereka itu seperti Iblis, Fir’aun, Abu Lahab, dan juga Abu Jahal. Kata Imam Ibn Muflih: Dan diharuskan untuk melaknat sesiapa yang telah terdapatnya nas yang menunjukkan dirinya dilaknat. Manakala sesiapa yang tidak melaknat mereka ini tidaklah dianggap berdosa. Lihat Al-Adab Al-Syar’iyyah (1/214).
  2. Melaknat orang kafir atau fasiq secara ta’yin iaitu dengan menyebutkan namanya sedangkan tidak terdapat nas yang menunjukkan orang tersebut dilaknat maka dalam hal ini para ulama terbahagi kepada tiga pendapat:
  3. Ianya tidak dibenarkan.
  4. Dibolehkan untuk orang kafir sahaja manakala untuk orang fasiq, tidak dibolehkan untuk melaknat secara ta’yin.

 iii. Dibolehkan melaknat secara mutlak. Rujuk Al-Adab al-Syar’iyyah, Ibn Muflih (1/303).

 

Melaknat Orang Fasiq Secara Ta’yin

Kami nyatakan beberapa pendapat para fuqaha mengikut mazhab yang empat berkenaan hukum melaknat golongan pelaku maksiat ataupun orang-orang fasiq secara ta’yin seperti berikut:

Mazhab Hanafi

Kata Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi: Tidak dibolehkan untuk melaknat secara mu’ayyan (ditentukan individu) yang kita tidak tahu matinya di dalam kekufuran sekalipun dia merupakan seorang fasiq. Rujuk Hasyiah Ibn ‘Abidin (3/416).

Mazhab Maliki

Imam Ibn Al-‘Arabi al-Maliki berkata: Adapun orang yang melakukan maksiat maka secara ta’yinnya tidak boleh untuk melaknatnya secara sepakat para ulama. Lihat Ahkam al-Quran, Abu Bakr Ibn al-Arabi (1/50).

Mazhab Al-Syafi’e

Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah berkata: Tidak ada satu pun tujuan kita yang bersifat syar’ie yang membenarkan kita untuk melaknat muslim pada asalnya. Kemudian di antara tempat yang diharamkan adalah melaknat secara mu’ayyan. Tidak boleh melaknat secara mu’ayyan sekalipun dia merupakan seorang yang fasiq. Rujuk Al-Zawajir, Ibn Hajar al-Haitami (2/60).

Mazhab Hanbali

Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah berkata: Adapun apa yang dinukilkan daripada Imam Ahmad maka berdasarkan nas-nas yang sabit daripada anaknya Soleh apabila ditanyakan kepada Imam Ahmad: Adakah kamu tidak melaknat Yazid ? Maka kata Imam Ahmad: Sejak bila pula kamu pernah melihat bahawa bapa mu ini melaknat seseorang ? Demikian juga Imam Ahmad apabila disebutkan berkenaan Hajjaj dan juga beberapa orang zalim maka Imam Ahmad berkata: Ketahuilah, laknat Allah ke atas orang-orang zalim. Beliau tidak suka untuk melaknat secara mu’ayyan. Rujuk Minhaj al-Sunnah, Ibn Taimiyyah (4/573).

 

Dalil Larangan Melaknat Orang Fasiq

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar bin al-Khattab R.A beliau berkata:

أَنَّ رَجُلاً، عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم كَانَ اسْمُهُ عَبْدَ اللَّهِ، وَكَانَ يُلَقَّبُ حِمَارًا، وَكَانَ يُضْحِكُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، وَكَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم قَدْ جَلَدَهُ فِي الشَّرَابِ، فَأُتِيَ بِهِ يَوْمًا فَأَمَرَ بِهِ فَجُلِدَ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ اللَّهُمَّ الْعَنْهُ مَا أَكْثَرَ مَا يُؤْتَى بِهِ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ لاَ تَلْعَنُوهُ، فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ أَنَّهُ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi S.A.W yang bernama Abdullah. Dia digelar sebagai himar dan menyebabkan Rasulullah S.A.W ketawa. Nabi S.A.W pernah menyebatnya disebabkan dia peminum arak. Maka suatu hari dia dihadapkan ke hadapan Nabi lalu baginda memerintahkan supaya dia disebat. Seorang lelaki pun berkata: Ya Allah, laknatlah dia. Berulangkali dia melakukan hal yang sama. Maka Nabi S.A.W berkata: Janganlah kalian melaknatnya. Demi Allah tidak aku ketahui melainkan dia ini mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Riwayat Al-Bukhari (678)

Berdasarkan hadis di atas, sekalipun lelaki tersebut merupakan seorang yang melakukan maksiat secara berulangkali yang menyebabkan dia boleh tergolong dalam kalangan orang fasiq, pun begitu Rasulullah S.A.W tetap melarang orang ramai melaknat lelalaki tersebut. Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah ketika mengulas berkenaan hadis ini berkata: Nabi S.A.W melarang lelaki ini dilaknat secara ta’yin yang mana dia merupakan seorang yang banyak meminum arak disebabkan lelaki itu mencintai Allah dan Rasul. Dalam keadaan baginda melaknat peminum arak secara mutlak. Maka hal ini menunjukkan keharusan melaknat peminum arak secara mutlak manakala tidak boleh untuk dilaknat secara ta’yin kepada orang yang mencintai Allah dan Rasul. Rujuk Minhaj al-Sunnah, Ibn Taimiyyah (4/569).

Kesimpulan

Kami nyatakan di sini bahawa perbuatan melaknat kepada pelaku maksiat adalah tidak digalakkan. Ini kerana, sifat banyak melaknat bukanlah ciri orang-orang soleh. Mengikut sunnah Nabi digalakkan untuk sentiasa perbanyakkan doa kebaikan kepada pelaku-pelaku maksiat supaya mereka berhenti dari melakukan maksiat dan tidak mengulanginya kembali. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam beragama. Ameen.