Soalan: Bolehkah letak nama anak dengan nama “Al-Faruq”? Ada orang kata maksudnya terlalu gah, tidak sesuai sebagai nama anak dan bunyinya kasar.
Jawapan:
Hukumnya adalah dibolehkan. Al-Faruq bermaksud pembeza antara kebenaran dan kebatilan. Ia adalah gelaran bagi Saidina Umar al-Khattab, gelaran yang baik dan tidak menjadi kesalahan menamakan anak dengannya.
Dalam hal meletakkan nama ini, hendaklah diberi perhatian sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’, 8/ 325-329.
- Disunatkan memberi nama-nama yang elok dan baik.
- Nama yang paling baik/paling elok ialah Abdullah dan Abd al-Rahman.
عن ابن عمر قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إن أحب أسمائكم إلى الله عبد الله وعبد الرحمن
Dari Ibnu ‘Umar ia berkata : Telah bersabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya nama yang paling dicintai oleh Allah adalah ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman”
[Riwayat Muslim no. 2132; Abu Daud no. 4949, Al-Tirmizi no. 2833; Al-Hakim no. 7719; al-Baihaqi dalam al-Kubra 9/309, dan yang lainnya].
- Harus memberi nama sempena nama para Nabi seperti Ibrahim, Hud, Soleh, Muhammad dan sebagainya.
- Menurut mazhab Syafi’ie, harus memberi nama dengan nama-nama Malaikat. Namun demikian, sebahagian ulama’ memakruhkannya. Berkata Qadhi ‘Iyadh; “Telah memakruhkan sebahagian ulama’ memberi nama dengan nama-nama Malaikat dan ia adalah pandangan al-Harith bin Miskin. Imam Malik memakruhkan memberi nama dengan Jibril dan Ya-sin”.[Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim]
- Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang buruk dan nama-nama yang menafikan adat/kebiasaan seseorang. Menurut Imam al-Nawawi, faktor dimakruhkan nama-nama tersebut (dalam hadis) ialah; buruknya jawapan dan juga nama-nama tersebut ada kemungkinan menjatuhkan sebahagian orang ke dalam suatu bentuk perbuatan menilik nasib. [Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim]. Contohnya, apabila ditanya; “Adakah di sana ada Rabah (untung)? Lalu dijawab; ‘Ada’. Apabila orang yang suka menilik nasib dengan suatu keadaan atau kejadian mendengar jawapan ini, maka dia akan membuat andaian bahawa hari tersebut adalah hari yang membawa keuntungan.
- Diharamkan memberi nama dengan nama “Malikul-Amlak” yang bermaksud; ‘Raja bagi segala raja’.
- Hendaklah dijauhi dari nama-nama yang menunjukkan pengabdian/penghambaan kepada selain Allah seperti Abdul-Kaabah (Hamba Kaabah), Abdun-Nabi (Hamba Nabi), Abdul-‘Uzza (Hamba Tuhan ‘Uzza) dan sebagainya. Menurut Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan; memberi nama dengan nama-nama ini hukumnya adalah haram dengan sepakat para ulama’. (Lihat Tarbiyatul-Aulad, 1/ 87)
- Begitu juga, hendaklah dijauhi dari memberi nama dengan nama-nama yang menggambarkan hilang/leburnya jati-diri (sebagai seorang Muslim), meniru-niru (nama orang bukan Islam) dan nama-nama yang menzahirkan cinta-berahi.
- Disunatkan mengubah nama yang buruk atau yang tidak baik.
Sebagai tambahan, tidak digalakkan memberi nama yang panjang sehingga menyukarkan untuk disebut dan nama yang diubahsuai sehingga menghilangkan makna disebalik nama.