Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #503: PAKAIAN BERLUBANG SEBESAR JARUM, ADAKAH BATAL SOLAT?

 

SOALAN:

Assalamualaikum wrm wbt,

Ketika saya (seorang lelaki) solat saya memakai pakaian yang ada lubang sebesar jarum di bahagian aurat yakni di bawah pusat, adakah sah solat itu?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Menutup aurat adalah syarat sah bagi solat. Jika seseorang bersolat dalam keadaan tidak menutup aurat maka solatnya tidak sah dan perlu dikerjakan semula. Aurat bagi lelaki ialah bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita ialah seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan, berdasarkan mazhab Syafie. Mereka berdalilkan hadis Nabi riwayat Aisyah R.Anha:

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

Maksudnya: Allah tidak menerima solat orang perempuan yang mengalami haid melainkan dengan memakai khimar (tudung).

Hadis riwayat Abu Daud (641), Ibn Majah (655), dan Al-Tirmidzi (377).

Al-Tirmidzi berkata, “Hadis Aisyah ialah hadis hasan dan diamalkan (sebagai hujah) di sisi ahli ilmu.” Al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai “ha’id” itu ialah wanita yang sudah baligh”. Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki. Rujuk al-Majmu’ (3/166-167).

Kadar penutup atau pakaian yang menutup aurat ialah, seperti kata Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab (125/1), “dan wajib penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna kulit.” Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “(penutupan aurat itu) dengan suatu yang tidak mensifati warna yakni warna kulit (yang boleh dilihat) dalam sebuah majlis percakapan.” Rujuk Fath al-Mu’in (1/86). Kadar yang boleh dilihat dalam sebuah majlis percakapan ini disyarahkan lagi oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati sebagai:

Keadaan itu maksudnya jika seseorang memerhatikan orang yang bersolat sambil mendekatkan diri dengan begitu dekat untuk melihat warna kulitnya, maka hal itu tidak memudaratkan (yakni tidak dianggap terbuka aurat).”

Rujuk I’anah al-Talibin (1/134)

Maksud bagi keterangan di atas ialah syarat sah menutup aurat itu memadai jika salah seorang daripada dua orang yang sedang bercakap melihat kepada teman dan dia tidak nampak warna kulit pada bahagian aurat temannya itu.

Justeru, kami berpendapat bahawa kadar besar jarum itu masih dianggap sangat kecil sehingga kalau terdapat pada baju orang yang bersolat, yakni pada bahagian aurat, tidaklah membatalkan solat.

Wallahua’lam.