Soalan:
Salam. Saya ada terbaca tentang hukum membela burung dalam sangkar. Jawapan yang diberikan adalah boleh, soalan saya, sangkar tu perlu besar mana? Adakah memadai dengan sangkar kecil?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Berkenaan hukum membela burung di dalam sangkar, maka kami cenderung kepada hukum ianya dibolehkan, sekalipun terdapat khilaf dalam kalangan ulama. Rujuk al-Kafi li al-Fatawi #52 : Hukum Pelihara Burung(https://goo.gl/xcDJCr).
Ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik RA:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ - قَالَ: أَحْسِبُهُ - فَطِيمًا، وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْر؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ialah manusia yang paling baik akhlaknya. Aku (yakni Anas) memiliki seorang adik lelaki, yang Nabi memanggilnya “Abu `Umair”. Umurnya kira-kira baru tamat menyusu. Jika Rasulullah datang, maka Baginda akan bertanya kepadanya: “Wahai Abu `Umair, apa yang Si Nughair buat?” (al-Nughair itu adalah) sejenis burung nughar (yang sedap dan bagus suaranya) yang Abu Umair biasa bermain dengannya.”
Hadis riwayat al-Bukhari (6203)
Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah berkata: “Pada hadis ini (dalil) keharusan memberikan kunyah (sejenis gelaran) kepada orang yang tidak ada anak lagi, keharusan memberi anak bermain dengan burung, keharusan bagi ibu bapa membiarkan anak bermain dengan suatu yang diharuskan syarak, keharusan menggunakan harta mendapatkan barang permainan yang dibenarkan syarak bagi anak, dan keharusan meletakkan burung di dalam sangkar atau seumpama dengannya.”
Rujuk Fath al-Bari (10/584)
Bahkan, sekiranya seseorang itu membuka pintu sangkar milik orang lain yang terdapat burung di dalamnya, lalu burung itu terbang lari, maka dhaman (liabiliti) terhadap kerugian kerana kehilangan burung itu menjadi tanggungan orang yang membuka itu. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (14/289).
Keharusan itu tertakluk kepada tanggungjawab pemilik burung menyediakan nafkah kepada binatang peliharaan tersebut.
Imam Abu Syuja mengungkap dalam dalam Matan al-Ghayah wa al-Taqrib:
وَنَفَقَة الرَّقِيق والبهائم وَاجِبَة
Maksudnya: “Dan bermula nafkah kepada hamba dan bahimah (haiwan ternakan) itu adalah wajib.”
Imam al-Khatib al-Syirbini menukilkan bahawa haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Azraie. Menjadi kewajiban bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan. Rujuk al-Iqna` (2/482)
Jika dia gagal memberikan nafkah yang cukup sehingga mati haiwan peliharaan tersebut, dia menanggung dosa dan akan menanggung perbuatan tersebut di akhirat nanti. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa diberikan makan, dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.”
Hadis riwayat al-Bukhari (3318) dan Muslim (2619)
Justeru, berhubung dengan saiz sangkar burung itu, kami berpendapat mestilah mengikut kadar maslahat burung tersebut. Kami mencadangkan sebaiknya sangkar burung itu tidaklah terlalu kecil sehingga menyebabkan kecederaan kepada diri burung tersebut apabila ia mengepak dan terbang. Saiz sangkar secara terperinci boleh merujuk kepada uruf dan adat seperti bertanya kepada doktor haiwan atau pengusaha kedai binatang peliharaan yang berpengalaman.
Wallahua’lam.