Soalan :
Saya ingin bertanya mengenai anak angkat yang di bin atau binti dengan nama ayah angkat.Bolehkah saya berhubung dengan sahibus samahah mufti atau bagaimana?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Isu ini telah dijelaskan oleh para Ulama melalui firman Allah swt :
مَّا جَعَلَ اللَّـهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ ۚ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ ۚ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَاهِكُمْ ۖ وَاللَّـهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ ﴿٤﴾ ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّـهِ ۚ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ ۚ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٥﴾
Maksudnya: Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-Ahzab: 4-5)
Kata Imam al-Suyuti dan Imam al- Mahalli :
“ Ayat ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibnu Umar. Beliau berkata : Kami memanggil Zaid Bin Harithah dengan panggilan Zaid Bin Muhammad sehinggalah turun ayat yang melarang kami berbuat demikian.”
Rujuk Tafsir al-Jalalain
Kata Imam al-Qurtubi :
“Ayat ‘Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri’ diturunkan kepada perihal Zaid Bin Harithah. Sepertimana kata Ibnu Umar bahawa para sahabat memanggil Zaid bin Harithah dengan Zaid bin Muhammad menjadi dalil bahawa anak angkat telah diamalkan sejak zaman jahiliyyah. Datang Islam meneruskan amalan tersebut dan mendukungnya sehinggalah turun ayat ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِم.Maka Allah menjelaskan hukum tersebut dan melarang untuk menasabkan anak angkat kepada angkat dengan menggunakan perkataan ‘lebih adil’. Yang lebih utama adalah menasabkan anak angkat tersebut kepada bapanya sendiri”
Rujuk al-Jami’ li Ahkam al-Quran (14/119)
Kata Ibnu Kathir :
“Ayat ini diturunkan untuk memutuskan penasaban anak angkat kepada ayah angkat.”
Tafsir al-Quran al-‘Azim (3/564)
Sabda Nabi saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas :
مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ , أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya: ” Sesiapa yang memanggil seseorang dengan selain nama ayahnya atau selain dari maulanya maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya:”
Sunan Ibnu Majah (2609)
Maka jelas perbuatan bin atau binti anak angkat kepada ayah angkat adalah dilarang.Sebaiknya anak tersebut di ‘bin’ atau ‘binti’ dengan ayah kandung mereka supaya mereka tahu tentang asal-usul dan keturunan mereka.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan tentang menggabungkan nama anak angkat dengan bapa angkat dalam sijil Pengangkutan dan Kad Pengenalan.Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkatnya.
Wallahu’alam.