Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #730 : BERSAMA SUAMI SELEPAS HAID, SEBELUM MANDI WAJIB

Soalan

Assalamualaikum Ustaz, saya nak bertanya jika kita di hujung haid, terus bersama. Saya tidak ingat dan tidak pasti sama ada sudah mandi wajib atau belum. Sebab sudah 3 minggu berlalu. Ibu saya suruh mandi wajib semula dan solat sunat taubat. Mohon pencerahan ustaz.

 

Jawapan

Pertama sekali, kami ucapkan terima kasih kerana bertanya kepada kami dan sifat orang Islam yang tidak mengetahui akan bertanya kepada para asatizah dan guru-guru untuk mencapat pencerahan serta kefahaman yang sebenar. Benarlah firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

(Surah al-Nahl: 43)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan beberapa noktah:

Pertama: Akhir haid dikira dengan habisnya darah. Begitu juga jika habisnya tempoh sebanyak-banyak haid, iaitu 15 hari. Selepas itu dikira suci dan jika darah masih ada maka dikira sebagai darah istihadah.

Kedua: Apabila sudah kering haid tetapi belum mandi, adakah dikira suci atau masih lagi dikira haid. Hal ini khilaf di kalangan ulama’ berdasarkan nas Ilahi:

وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّـهُ

Maksudnya: Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.

(Surah al-Baqarah: 222)

Mengikut Syeikh al-Maraghi: “Apabila perempuan telah mandi (suci daripada haid), maka datangilah mereka pada tempat yang dikehendaki yang telah diberitahu oleh Sunnatullah untuk memeliharanya, iaitu tempat keturunan (peranakan).” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/470)

Justeru, pendapat yang terpilih adalah hendaklah mandi wajib dahulu sebelum bersama bagi pasangan suami isteri.

Ketiga: Berkenaan dengan ‘tidak ingat’, atau ‘tidak pasti’, maka perlulah diselidiki dahulu sama ada sudah mandi atau belum. Walaupun pada asalnya belum mandi, tetapi perlulah disemak dan diingati dahulu. Selepas itu, barulah dapat dibuat satu keputusan. Jika sekiranya sudah mandi, maka selesailah masalah. Sebaliknya jika belum mandi, maka nasihat ibu adalah diterima pakai. Ini kerana, mandi wajib memerlukan niat berbanding dengan mandi biasa. Justeru, ia termasuk dalam ibadat yang terangkat atau terpakai dengan sebab niat.

Keempat: Berkenaan dengan bertaubat, jika sekiranya seseorang bersetubuh dalam keadaan haid, maka ia menyalahi perintah Allah SWT sepertimana ayat di atas.

Berkenaan dengan bertaubat ini, para ulama’ sepakat bahawa perlunya pasangan tersebut bertaubat.

Kelima: Membayar fidyah atau kafarah dengan sebab melakukan persetubuhan itu telah diperselisihkan oleh para ulama’.

  • Jumhur ulama’ di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’ie dan satu pendapat daripada Imam Ahmad bahawa tiada dikenakan sebarang kafarah.
  • Imam Ahmad dalam satu riwayat dan inilah yang paling rajih bahawa hendaklah dia membayar kafarah dengan satu dinar atau setengah dinar.

Daripada Ibn Abbas, daripada Nabi SAW menjawab berkenaan dengan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya dalam keadaan haid:

يَتَصَدَّقُ بِدِينَارٍ ، أَوْ بِنِصْفِ دِينَارٍ

Maksudnya: Hendaklah dia bersedekah satu dinar atau setengah dinar.”

Riwayat Ahmad (2032), Abu Daud (2168),
Nasa’ie (278) dan Ibn Majah (640)

Kami cenderung kepada pendapat, tiada dikenakan bayaran kerana asal sesuatu itu adalah bara’ah al-zimmah melainkan datang dalil yang sahih.  Dalam hal ini, adalah lebih baik untuk seseorang juga infaq dengan niat kaffarah berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas di atas.

Keenam: Kami cadangkan kepada setiap pasangan suami isteri, sebelum perkahwinan lagi dan juga selepasnya sentiasa mengkaji dan mempelajari ilmu di masjid-masjid, di surau dan di mana sahaja terdapatnya majlis ilmu. Ini supaya sebarang bentuk tindakan kita sentiasa menepati syariat Islamiah sementelahan lagi, kita sebagai seorang Islam yang inginkan mencapai mardhatillah.

Akhir sekali, semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita dalam melayari bahtera kehidupan berdasarkan agama-Nya. Ameen.