Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #741 : ADAKAH INDELIBLE INK (DAKWAT KEKAL) DALAM PILIHAN RAYA UMUM KE-14 TELAP AIR?

 

 

Soalan:

Assalamualaikum. Diharap pihak Mufti dapat memberi penjelasan kepada rakyat umum berkenaan dengan dakwat pada jari yang digunakan semasa pilihanraya. Nampak macam air tak boleh sampai sebab ia tebal dan berkepingan. Jadi ramai umat Islam yang was was adakah ia boleh dibawa solat Semoga dapat membantu. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kami pernah memberikan panduan bahan kosmetik yang telap air di dalam Bayan Linnas Siri Ke- 88: Isu Kosmetik Mesra Wuduk (https://goo.gl/yXBuhE). Justeru, kami anjurkan agar pihak yang bertanya membaca artikel tersebut untuk melihat perbincangan yang lebih tuntas.

Namun begitu kami berikan kesimpulannya, bukan semua bahan yang melekat pada kulit itu menghalang air daripada sampai ke anggota wudhu’.

Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmu’ (1/467-468):

وَلَوْ بَقِيَ عَلَى الْيَدِ وَغَيْرِهَا أَثَرُ الْحِنَّاءِ وَلَوْنُهُ دُونَ عَيْنِهِ أَوْ أثر دُهْنٍ مَائِعٍ بِحَيْثُ يَمَسُّ الْمَاءُ بَشَرَةَ الْعُضْوِ وَيَجْرِي عَلَيْهَا لَكِنْ لَا يَثْبُتُ صَحَّتْ طَهَارَتُهُ

Maksudnya: “Sekiranya berbaki pada tangan kesan inai dan warnanya tanpa ain fizikalnya, atau kesan minyak cair yang jika air menyentuh dan lalu atas organ itu nescaya tidak akan melekat; sahlah taharahnya.”

Dalam Hasyiah al-Syarwani atas Tuhfah al-Muhtaj oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh al-Syarwani menyebut kesimpulan hukum daripada kitab al-Majmu dan Raudhah al-Talibin oleh Imam al-Nawawi:

وَلَوْ كَانَ عَلَى أَعْضَائِهِ أَثَرُ دُهْنٍ مَائِعٍ فَتَوَضَّأَ وَأَمَسَّ الْمَاءَ الْبَشَرَةَ وَجَرَى عَلَيْهَا وَلَمْ يَثْبُتْ صَحَّ وُضُوءُهُ؛ لِأَنَّ ثُبُوتَ الْمَاءِ لَيْسَ بِشَرْطٍ

Maksudnya: “Sekiranya pada anggotanya terdapat kesan minyak yang cair (tidak pejal) lalu dia berwudhuk kemudian air wudhuk itu menyentuh dan lalu di atas kawasan anggota yang berminyak itu, sekalipun tidak melekat (kerana sifat minyak yang tidak bercampur dengan air), sah wudhuknya. Ini kerana melekatnya air bukanlah syarat sah wudhuk.”

Rujuk Hasyiah al-Syarwani `ala al-Tuhfah (1/187)

Dalam Taqrirat al-Sadidah (hal.95) , disebut bahawa antara syarat sah wudhu’ adalah anggota wudhu’ bersih dari sebarang sesuatu yang menghalang sampainya air ke kulit. Fakta ini dihuraikan sebagai hendaklah tiada jirim yang menghalang sampainya air kepada kulit.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia dan telah memutuskan:

“bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa bahawa Indelible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan. Oleh itu penggunaan Indelible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam. Walau bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Indelible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja..”

Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum MKI (hal.215)

Mengikut sumber yang diperolehi, indelible ink (dakwat kekal) digunakan semasa pilihan raya untuk mengelakkan penipuan pilihan raya. Dakwat ini terdiri daripada sebatian yang mengandungi nitrat perak yang apabila terkena pada kulit akan diserap ke dalam lapisan tisu mati dan tisu kulit. Kemudian, nitrat perak ini akan bertindak balas dengan garam daripada kulit dan kuku, yang apabila terdedah dengan sinaran ultraviolet yang secukupnya, seperti sinaran matahari, akan meninggalkan warna yang mustahil dibuang pada kulit dan kuku. Kesan warna ini hanya akan hilang apabila sel-sel kulit itu mati dan diperbaharui dengan sel baharu. [1] Isu timbul apabila dakwat kekal yang digunakan pada PRU’14 bertahan lebih lama berbanding PRU’13. Ini berikutan penambahbaikan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya setelah mengambil kira kritikan orang ramai bahawa dakwat tersebut tidak kekal, dengan menambah kandungan nitrat perak dalam dakwat tersebut.[2]

Berdasarkan pemerhatian kami, kesan dakwat kekal ini tidaklah tebal sehingga menghalang sampainya air kepada kulit. Warna perang gelap yang dilihat itu adalah warna kulit atau kuku itu sendiri yang telah bertindakbalas dengan kehadiran dakwat tersebut dan bukannya jirim yang terasing. Justeru, kami berpendapat bahawa kesan dakwat hitam yang digunakan semasa pilihan raya adalah telap air dan sah taharah seseorang itu apabila berwudhu’ dan mandi wajib jika masing ada kesan tersebut pada badannya.

 

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Election_ink

[2] http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/prk-nitrat-perak-dakwat-ditambah-1.181613