Soalan:
Seorang wanita didiagnos dengan kehamilan ektopik, yakni kehamilan di luar rahim. Sekiranya anak tersebut dilahirkan atau gugur, apakah darah yang keluar itu dianggap sebagai darah nifas juga?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menurut Ensiklopedia Britannica, ectopic pregnancy didefinisikan sebagai:
“Ectopic pregnancy, also called extrauterine pregnancy, condition in which the fertilized ovum (egg) has become imbedded outside the uterine cavity. The site of implantation most commonly is a fallopian tube; however, implantation can occur in the abdomen, the ovary, or the uterine cervix. Ectopic pregnancy occurs in an estimated 1 to 2 percent of women worldwide and is a major cause of sickness and death among women in the first trimester (first 12 weeks) of pregnancy.”[1]
Ertinya, ectopic pregnancy ialah kehamilan di luar rahim apabila ovum yang telah disenyawakan telah melekat di luar kawasan uterin. Biasanya ia berlaku di tiub fallopio, walaupun kadang-kadang berlaku juga pada kawasan abdomen, ovari, dan servik uterin.
Sekiranya darah yang keluar selepas kelahiran atau keguguran itu, datangnya daripada rahim maka darah itu adalah darah nifas, jika keluar selepas kelahiran dan tidak lewat sehingga 15 hari. Ada pun jika darah tersebut bukan keluar daripada rahim, maka darah itu tidak dianggap sebagai darah nifas, mahupun darah haid, tetapi darah istihadah.
Rujuk Tuhfah al-A`izza’ (hal.936)
Ini kerana darah tersebut tidak termasuk dalam definisi darah haid, sedangkan darah nifas ialah darah haid yang terkumpul. Mengikut para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/77) :
دم جبلة ـ أي خلقة وطبيعة ـ تقتضيه الطباع السليمة يخرج من أقصى رحم المرأة بعد بلوغها على سبيل الصحة، في أوقات معلومة
Maksudnya: “Darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.”
Maka apabila darah yang keluar bukan daripada rahim maka ia bukan nifas mahupun haid, bahkan istihadah. Sebaliknya jika daripada rahim jua, maka adalah nifas. Wallahua'lam.
[1] https://www.britannica.com/science/ectopic-pregnancy