Soalan :
Bolehkah makmum menggunakan tenaga elektrik di masjid untuk mengecas gajet persendirian?
Jawapan :
Pada asalnya, harta yang dimiliki oleh masjid adalah bersifat wakaf hasil daripada sumbangan umat Islam. Oleh yang demikian, kegunaan harta masjid termasuk penggunaan elektrik hendaklah berdasarkan niat para pewakaf.
Kaedah fiqah menyebut:
كل متصرف عن الغير فعليه أن يتصرف بالمصلحة
“Setiap yang bertindak bagi pihak orang lain, maka hendaklah ia bertindak berasaskan maslahah.” (1/310)
Dalam hal ini juga, bekas Mufti Mesir, Dr. Ali Jum’ah menegaskan, secara fiqahnya, setiap perkara yang diwakafkan untuk masjid seperti karpet, lampu, penyapu, air dan lain-lain tidak harus digunakan kecuali untuk keperluan masjid. Ini berdasarkan sikap Rasulullah SAW yang amat memelihara setiap perkara yang dikhususkan untuk masjid, antaranya sebagaimana sabda Baginda SAW:
إِنَّ الْحَصَاةَ لَتُنَاشِدُ الَّذِي يُخْرِجُهَا مِنَ الْمَسْجِدِ
“Sesungguhnya anak-anak batu itu benar-benar berseru (agar tidak dikeluarkan) kepada orang yang mengeluarkannya dari masjid.”
Hadis riwayat Abu Daud, no. 460. (http://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11124&LangID=1&MuftiType=0)
Dalam isu ini, mengecas gajet persendirian atau komputer riba pada asalnya adalah harus jika digunakan untuk perkara yang baik dan berfaedah seperti membaca Al-Quran, pengajian agama, terdesak untuk menghubungi keluarga dan seumpamanya. Namun jika digunakan untuk tujuan kemaksiatan dan kesia-siaan, ia tidak diharuskan kerana bertentangan dengan matlamat asal maslahah harta masjid. Di samping itu, disunatkan bagi mereka yang menggunakan harta masjid untuk memberikan sumbangan kepada tabung masjid sebagai membantu meringankan kos perbelanjaan dan penyelenggaraan masjid demi kemanfaatan bersama. Wallahu a’lam.