Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #767: ADAKAH ADA DOA SELEPAS IQAMAH SEBAGAIMANA DOA SELEPAS AZAN?

Soalan:

Assalamuaaikum SS Datuk Mufti. Saya pernah mendengar seorang ustaz berkata, tidak ada doa selepas iqamah sepertimana doa selepas azan. Adakah kenyataan itu benar?

Sekian, terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Amalan doa selepas azan tsabit dengan hadith Nabi SAW, dimana Jabir bin ‘Abdillah r.a telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Barang siapa yang mendengar azan dan berdoa  Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan, luluslah baginya syafaatku baginya pada hari kiamat.

(Sahih Bukhari: 614)

Berdasarkan hadith ini, para ulama’ bersepakat akan tsabitnya doa selepas azan, namun berbeza pendapat adakah doa yang sama perlu dibaca selepas iqamat ataupun tidak.

Pandangan Fuqaha’

Ulama’ mazhab Syafi’e mensunatkan bacaan doa selepas iqamah sebagaimana azan. Ini merupakan pandangan Imam Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Khatib as-Syarbini. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/122; Tuhfatul Muhtaj, 1/482; Mughni al-Muhtaj, 1/329)

Imam Ibn Qudamah dari mazhab Hanbali mensunatkan untuk berzikir bagi yang mendengar iqamah dengan zikir yang warid sebagaimana yang dilakukan ketika azan. (Rujuk Al-Mughni, 1/310)

Pandangan ini mengisyaratkan bahawa beliau tidak membezakan antara azan dan iqamat. Sebagaimana disunatkan menjawab setiap lafaz iqamah, begitu juga disunatkan untuk berdoa selepas selesai iqamah dengan doa yang dibaca selepas azan.

Namun demikian, Imam Mardawi dari mazhab Hanbali menyebut tidak ada doa yang disunatkan untuk dibaca selepas iqamah dan sebelum takbiratul ihram. (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati ar-Rajih min al-Khilaf, 2/41)

Sebahagian ulama’ turut menambah bahawa disunatkan untuk berdoa apa-apa sahaja yang disukai setelah selesai iqamah, dan ia dilakukan oleh Imam Ahmad yang berdoa sambil menadah kedua-dua tangannya. (Rujuk Mathalib Uli an-Nuha, 1/303)

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpandangan doa selepas iqamah adalah sabit berdasarkan pandangan para ulama’ Syafi’eyyah dan disokong oleh beberapa pandangan dalam mazhab lain.

Wallahu a’lam.