Soalan:
Assalamualaikum. Apakah hukum berpaling ke kiri dan kanan bagi bilal sewaktu melaungkan ‘hayya ala solah’ dan ‘hayya alal falah’ di dalam azan? Adakah Bilal bin Rabah melakukan yang demikian untuk memastikan suaranya dapat didengari ke setiap pelusuk, dan memandangkan azan sekarang menggunakan mikrofon, maka ia sudah tidak perlu lagi?
Jazakallah SS Datuk Mufti.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berpaling ke kanan sewaktu melaungkan hayya alas solah dan berpaling ke kiri sewaktu melaungkan hayya alal falah adalah tsabit melalui perbuatan Bilal bin Rabah sendiri. Dalilnya ialah riwayat daripada Abu Juhaifah r.a yang menyaksikan Bilal mengumandangkan azan:
…فَجَعَلْتُ أَتَتَبَّعُ فَاهُ هَا هُنَا وَهَا هُنَا - يَقُولُ يَمِينًا وَشِمَالاً - يَقُولُ حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ…
Maksudnya: ..aku mengikut gerak mulut beliau tatkala dia berpaling ke kanan dan ke kiri sewaktu menyebut ‘hayya ala as-solah’ dan ‘hayya alal falah’...
(Sahih Bukhari: 503)
Berkenaan perkara ini, para fuqaha’ empat mazhab terbahagi kepada dua pandangan, iaitu yang menganggapnya sunat dan yang tidak menganggapnya sebagai sunat:
- Disunatkan disisi mazhab Hanafi. (Al-Bahru ar-Ra’iq Syarh Kanzu ad-Daqa’iq, 1/272)
- Imam Malik dan Ibn Sirin memakruhkan perbuatan yang demikian, kecuali dengan tujuan supaya orang ramai mendengar dengan lebih jelas azan yang dikumandangan. (Rujuk ‘Umdatul Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 5/215)
- Mazhab Syafi’e mensunatkan perbuatan yang demikian, dan itu juga pendapat An-Nakhai’e, Tsauri, al-Auza’ie dan Abu Tsur. Imam Nawawi turut menyebut bahawa tujuan ia dilakukan adalah supaya azan didengari oleh lebih ramai orang. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/106-107)
- Disunatkan juga perbuatan demikian menurut mazhab Hanbali. (Rujuk Al-Mughniy, 1/309)
(Untuk perbahasan lebih ringkas, rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 6/10)
Ini adalah satu permasalahan baharu yang tidak kita dapati dalam kitab-kitab terdahulu memandangkan mikrofon dan pembesar suara merupakan ciptaan moden.
Persoalan yang harus difahami ialah adakah berpaling ke kiri dan kanan itu merupakan satu sunat mutlaq yang bersifat ta’abbudi, ataupun ia bergantung kepada ‘illah iaitu untuk memperjelaskan laungan azan semampu mungkin.
Jika ia bersifat ta’abbudi, maka hukumnya kekal sunat. Namun jika ia bergantung kepada ‘illah, maka ia tertakluk kepada kaedah fiqh:
الحكم يدور مع علّته وجوداً وعدماً
Maksudnya: Sesuatu hukum itu tertakluk kepada kewujudan atau ketiadaan ‘illahnya.
Azan menggunakan pembesar suara secara automatik akan lebih meluas capaiannya. Bahkan jika berpaling ke kiri dan kanan, akan menjejaskan kekuatan suara azan, dan ini bercanggah dengan tujuan azan itu sendiri.
Atas dasar inilah sebahagian ulama’ kontemporari berfatwa bahawa tidak disunatkan berpaling ke kiri dan kanan sewaktu azan jika menggunakan pembesar suara, antaranya ialah fatwa daripada Lajnah Fatwa ad-Da’imah.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kami berpandangan hal ini termasuk dalam perkara khilaf yang mu’tabar dan setiap pandangan mempunyai dalil dan hujah tersendiri.
Sesiapa yang berpegang bahawa perbuatan tersebut adalah sunat mutlaq, maka lakukanlah dan inshaAllah mendapat ganjaran pahala disisi Allah SWT dan mereka telah beramal dengan nas. Boleh jadi di sana terdapat hikmah dan rahsia di sebalik perbuatan tersebut yang tidak kelihatan secara zahir.
Manakala sesiapa yang berpegang bahawa perbuatan tersebut bergantung kepada ‘illah iaitu untuk memperjelaskan laungan azan dan tiada keperluan jika menggunakan mikrofon, maka tiada masalah untuk dia meninggalkan perbuatan tersebut, kerana ianya hanya sunat menurut jumhur ulama’ dan tidak menjejaskan kesahihan azan yang dilaungkan.
Wallahu a’lam.