Soalan:
Assalamualaikum. Apakah hukum membunuh haiwan kecil ketika solat tanpa sengaja, seperti tertampar nyamuk yang menghisap darah dan darah itu terkena pada kain?
Jawapan:
Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Telah ijma’ menurut para ulama’ bahawa darah makhluk hidup termasuk manusia adalah najis. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/557) Antara dalil kenajisan darah ialah hadith yang diriwayatkan oleh Asma binti Abu Bakar Radiyallahu ‘anha:
عَنْ أَسْمَاءَ، قَالَتْ جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ إِحْدَانَا يُصِيبُ ثَوْبَهَا مِنْ دَمِ الْحَيْضَةِ كَيْفَ تَصْنَعُ بِهِ قَالَ " تَحُتُّهُ ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالْمَاءِ ثُمَّ تَنْضَحُهُ ثُمَّ تُصَلِّي فِيهِ
Maksudnya: Asmaa’ meriwayatkan bahawa telah datang seorang wanita kepada Nabi s.a.w dan berkata “salah seorang daripada kami terkena darah haid pada pakaiannya, apa patut dia lakukan?” Baginda menjawab ‘Kamu kikis dan gosok dengan air lalu siramlah, kemudian kamu boleh solat dengan pakaian itu.”
(Sahih Bukhari: 307)
Namun timbul persoalan berkenaan darah yang sedikit jika terkena pada seseorang adakah ia membatalkan solat, atau adakah sah suatu pakaian yang terkena darah yang sedikit untuk dilaksanakan solat dengannya?
Menurut Imam Nawawi, apabila seseorang itu membunuh nyamuk dan kutu dan darahnya terkena pada pakaian atau melekat pada celah-celah jari, hukumnya adalah najis jika ia dalam jumlah yang banyak. Adapun jika sedikit, maka ia khilaf dalam kalangan ulama’, dan pendapat yang paling sahih ialah ianya dimaafkan. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/135).
Menurut Imam Khatib Syarbini, antara contoh darah yang dimaafkan dan termasuk di bawah kategori ‘umum al-balwa yang sukar disucikan pula ialah seperti darah nyamuk, lalat, kutu dan lain-lain darah yang tidak mampu dilihat oleh mata. (Rujuk Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/90)
Kaya ukur untuk menentukan najis itu sedikit atau banyak pula tidak disebut secara jelas dalam kitab-kitab, dan ia ditentukan oleh ‘uruf kebiasaan.
Pendapat ini turut disokong oleh mazhab Hanafi. Kata Imam al-Kasani, najis yang sedikit tidak mungkin atau teramat sukar untuk dielakkan dan dibuang. Jika najis yang sedikit itu tidak dimaafkan, manusia akan ditimpa dengan kesulitan dan kesukaran. (Bada’ie as-Sona’ie, 1/79-80)
Pandangan ini bertepatan dengan prinsip dan kaedah universal syari’at Islam iaitu: Islam merupakan satu agama yang mudah dan memudahkan (taysir wa raf’ul haraj). Firman Allah SWT dalam al-Qur’an al-Karim:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
(Surah al-Baqarah: 185)
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: ...dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama...
(Surah al-Hajj: 78)
Kesimpulannya, darah yang sedikit samada darah gigitan nyamuk, pacat atau lain-lain jika terkena pada seorang yang sedang solat, solatnya tidak batal kerana najis yang sedikit termasuk dalam perkara yang dimaafkan oleh syara’.
Wallahu a’lam.