Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #785 : TUKANG AZAN ATAU IMAM: MANA LEBIH BAIK?

Soalan

Mana lebih baik menjadi tukang azan atau menjadi imam?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan takrif azan dan iqamah.

Azan merupakan zikir yang khusus. Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat.

Manakala iqamah pula sama seperti azan dengan beberapa perbezaan berikut, antaranya lafaz azan dua kali berturut-turut, manakala lafaz iqamah sekali sahaja. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/349)

 

Mana Lebih Utama dan Baik?

Masalah ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama’.

Pertama: Menurut pendapat yang sahih daripada ulama’ Syafi’e dan Hanbali, azan beserta iqamah adalah lebih baik daripada menjadi imam. Ini disebabkan Allah SWT berfirman:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh…”

(Surah al-Fussilat: 33)

‘Aisyah R.Anha berkata, “Mereka yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah tukang azan.”

Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan melakukan azan. Antaranya sabda Nabi SAW:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا

Maksudnya: Kalaulah orang ramai tahu tentang kelebihan azan, dan berada di saf pertama kemudian tiada ruang bagi mereka kecuali melalui mengundi nescaya mereka sanggup mengundi.

Riwayat al-Bukhari (615)

Rasulullah SAW juga bersabda:

فَإِذَا كُنْتَ فِي غَنَمِكَ أَوْ بَادِيَتِكَ فَأَذَّنْتَ بِالصَّلَاةِ فَارْفَعْ صَوْتَكَ بِالنِّدَاءِ فَإِنَّهُ لَا يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ وَلَا شَيْءٌ إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu, dan engkau berazan untuk sembahyang, hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.

Riwayat al-Bukhari (609)

Hadis lain pula menyatakan:

الإِمَامُ ضَامِنٌ وَالْمُؤَذِّنُ مُؤْتَمَنٌ ، اللَّهُمَّ أَرْشِدِ الأَئِمَّةَ وَاغْفِرْ لِلْمُؤَذِّنِينَ.

Maksudnya: Imam adalah bertanggungjawab (damin), tukang azan adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imam-imam dan ampunilah tukang azan.

Riwayat Abu Daud (517)

Amanah lebih tinggi daripada daman dan keampunan adalah lebih tinggi daripada petunjuk. Nabi Muhammad SAW dan para khalifah tidak melakukan tugas azan ini kerana mereka tidak mempunyai banyak masa.

Kedua: Menurut pendapat ulama’ Hanafi, iqamah dan menjadi imam adalah lebih baik daripada azan kerana Nabi Muhammad SAW dan para khalifah menjalankan tugas imam, tetapi mereka tidak menjalankan tugas menjadi tukang azan.[1]

 

Tarjih

Kami berpendapat seperti pendapat jumhur dan juga Mazhab Syafi’e kerana zahir Nas hadis. Begitu juga dengan terlalu banyaknya fadilat azan dan iqamah ini. Walaupun begitu, tanpa kita nafikan kelebihan imam sebagai ketua dalam acara ibadat solat berjemaah.

Semoga kita semua mendapat kebaikan sama ada menjadi imam atau menjadi muazzin bahkan menjadi makmum. Ameen.

 

Nota hujung

[1] Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/549-550.