Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #814: BENARKAH FADHILAT MENCIUM ISTERI DAPAT 10 GANJARAN PAHALA

 

Soalan:

Benarkah kenyataan yang menyebut bahawa menyentuh tangan isteri mendapat 1 pahala dihapus 1 dosa dan diangkat darjatnya satu tingkat. Begitu juga mencium isteri mendapat 10 pahala, dihapus 10 dosa dan diangkat darjatnya 10 tingkat ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, Islam amat menitikberatkan hubungan yang penuh kasih sayang antara pasangan suami isteri. Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa nas-nas syarak dari Al-Quran dan juga al-Hadis. Antaranya adalah firman Allah S.W.T:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.

Surah Al-Nisa’ (19)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T telah menujukan khitab perintah kepada golongan lelaki agar mereka melakukan mu’asyarah iaitu bergaul dan berurusan dengan orang perempuan melalui cara yang ma’ruf. Justeru, arahan tersebut secara asasnya membawa kepada hukum wajib berbuat ma’ruf kepada orang perempuan dalam urusan kehidupan.

Imam al-Qurthubi Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. Rujuk Al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (5/84).

Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W:

‏ خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

Maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku.

Riwayat Ibn Majah (1977)

Hadis di atas merupakan di antara bukti keagungan dan keindahan ajaran Islam yang menganjurkan orang lelaki khususnya para suami untuk berbuat baik kepada ahli keluarga yang meliputi isteri, anak-anak, kaum kerabat, dan selainnya.

Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).

Isu Persoalan

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami tidak menjumpai sebarang sokongan dan sandaran daripada al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi S.A.W yang menyebutkan tentang hal tersebut. Dalam isu menyatakan tentang fadhilat-fadhilat dan ganjaran terhadap sesuatu amalan, ia mestilah disandarkan kepada riwayat yang sahih. Ini kerana agama ini adalah milik Allah S.W.T yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. kepada umatnya. Justeru, apabila diletakkan ganjaran ke atas amalan tertentu, tanpa mempunyai sandaran yang tsabit dari al-Quran dan juga al-Sunnah, ia ditakuti termasuk dalam perbuatan ‘’Berkata ke atas Allah tanpa ilmu’’ yang jelas dilarang syarak.

 

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa kenyataan tersebut sekiranya dianggap sebagai sebuah hadis maka ia adalah tidak sahih. Ini kerana tidak terdapatnya riwayat yang sahih menyatakan kepada perkara-perkara tersebut.

Namun kami tidak menafikan dari sudut mafhum kenyataan tersebut, ada antaranya yang boleh diperincikan dengan hadis-hadis yang lain. Sebagai contohnya, Nabi S.A.W ada menyebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zarr al-Ghifari R.A:

وَبُضْعُ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، قِيلَ‏:‏ فِي شَهْوَتِهِ صَدَقَةٌ‏؟‏ قَالَ‏:‏ لَوْ وُضِعَ فِي الْحَرَامِ، أَلَيْسَ كَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ‏؟‏ ذَلِكَ إِنْ وَضَعَهَا فِي الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: Dan kemaluan salah seorang kamu juga ada sedekah. Ditanyakan: Pada syahwat seseorang juga terdapat sedekah ? Baginda menjawab: Kalau diletakkan syahwat pada tempat yang haram (berzina) tidakkah seseorang itu mendapat dosa ? Begitulah juga apabila syahwat diletakkan di tempat yang halal (persetubuhan suami isteri) maka dia mendapat pahala.

Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad (227)

Hadis ini boleh juga dikaitkan dengan makna kenyataan dalam persoalan tersebut secara umum. Sekiranya seseorang menyentuh perempuan yang bukan mahram dan tidak halal baginya, maka dia dikira berdosa. Justeru apabila dia menyentuh isteri yang halal baginya maka mudah-mudahan dia diberikan ganjaran pahala.

Manakala berkenaan mencium isteri mendapat 10 ganjaran pahala, kita boleh kaitkan ia dengan keumuman firman Allah S.W.T:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

Maksudnya: Sesiapa yang membawa satu kebaikan, maka dia mendapat sepuluh ganjaran pahala.

Surah Al-An’aam (160)

Maka boleh dikatakan bahawa perbuatan seorang suami mencium isterinya dengan penuh perasaan mawaddah dan rahmah dianggap sebagai suatu kebaikan di sisi Tuhan dan setiap kebaikan itu mendapat 10 ganjaran pahala.

Berkenaan dihapuskan 10 dosa pula, yang lebih tepat adalah seperti yang dinyatakan oleh firman Allah S.W.T:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya: Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghilangkan (menghapuskan) kejahatan-kejahatan yang telah dilakukan.

Surah Hud (114)

Ayat ini secara umumnya menunjukkan apabila seseorang itu melakukan amal soleh dan kebajikan, dalam masa yang sama amalan tersebut akan memadamkan dosa-dosa kecil yang telah seseorang itu lakukan. Namun tidak ditetapkan kadar bilangan dosa yang terhapus, sebaliknya ia hanya dikhabarkan dalam bentuk yang umum.

Akhir kalam, kami menyatakan bahawa memadailah untuk kita berpegang dengan nas-nas yang sahih daripada syarak yang menjelaskan tentang perintah berbuat baik dengan isteri dan keluarga. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.