Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #826 : HUKUM MEMBERI ZAKAT KEPADA ANAK SAUDARA


SOALAN

Persoalan saya ialah, bolehkah saya membayar zakat pendapatan saya kepada anak saudara saya yang baru beberapa bulan melanjutkan pelajaran ke IPTA memandangkan saya dimaklumkan beliau memerlukan kewangan yang mencukupi untuk pelajaran beliau kerana ibubapanya telah berpisah. Mohon penjelasan.

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Pemberian zakat wajib diberikan kepada asnaf-asnaf yang telah dinyatakan oleh Allah SWT. Allah SWT telah berfirman seperti berikut:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.”

(Surah al-Taubah : 60)

Orang yang menuntut ilmu adalah termasuk dalam golongan fisabilillah. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan berikut:

Daripada Anas bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ خَرَجَ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ حَتَّى يَرْجِعَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang keluar untuk mencari ilmu, maka dia adalah fisabilillah sehingga dia kembali”

Riwayat al-Tarmizi (2647)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, seseorang muslim tidak boleh memberikan zakat kepada mereka yang di bawah tanggungannya. Ini bermakna, anak atau isteri tidak boleh mendapatkan harta zakat daripada bapa atau suaminya. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/41) Namun begitu, pemilik zakat harus untuk memberikan zakatnya kepada saudara mara yang bukan di bawah tanggungannya, seperti adik-beradik lelaki atau perempuan, bapa dan ibu saudara pihak bapa, bapa dan ibu saudara pihak ibu, anak-anak mereka dan lain-lain sekiranya mereka fakir, miskin dan golongan yang berhak menerima zakat. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/42)

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir R.A, Nabi SAW telah bersabda:

‏الصَّدَقَة عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةْ، وَعَلَى ذِي الْرحم ثنتان‏:‏ صَدَقَةْ وَصِلَةْ

Maksudnya:Zakat kepada orang miskin adalah dikira zakat, dan kepada saudara mara dikira dua kelebihan, iaitu zakat dan silaturrahim.”

Riwayat al-Nasai’e (2582) dan Ibn Majah (1844)

Berdasarkan kepada hadis di atas, memberi zakat atau sedekah kepada kaum keluarga yang bukan di bawah tanggungan kita adalah lebih afdhal dan lebih perlu diutamakan berbanding kepada yang lain.

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa harus dan dibolehkan untuk memberikan zakat kepada anak saudara atau ahli keluarga yang memerlukan. Hal ini kerana, membantu ahli keluarga sendiri adalah lebih afdhal dan diutamakan berbanding yang lain. Dalam satu hadis juga, Nabi SAW bersabda juga seperti berikut:

وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Saling bertukar hadiah, kamu akan akan saling mencintai”

Riwayat Imam Malik (16) dalam Muwatta’

Walaupun begitu, suka kami tegaskan bahawa zakat hendaklah dibayar kepada amil yang dilantik seperti PPZ Wilayah Persekutuan. Di sana ada bahagian yang boleh dituntut untuk pengagihan sendiri. Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.