Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #835: HUKUM MEMBACA QURAN TANPA MENUTUP AURAT

Soalan:

Assalamualaikum SS Datuk Seri Mufti. Apakah hukum membaca al-Qur’an dalam keadaan tidak menutup aurat, contohnya tidak mengenakan hijab bagi wanita, atau memakai seluar pendek bagi lelaki?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Hukum asal membaca al-Qur’an dalam keadaan tidak menutup aurat ialah harus. Hal ini kerana tidak terdapat mana-mana ayat al-Qur’an ataupun hadith yang menyatakan hal yang demikian.

Namun demikian, kami tegaskan bahawa antara adab membaca al-Qur’an ialah menutup aurat secara sempurna sebagaimana yang ditegaskan oleh para ulama’, antaranya Dr. Nuh ‘Ali Salman, ahli Lajnah Darul Iftaa’ Mesir. [1]

Bacaan al-Qur’an dalam keadaan dan cara yang paling baik merupakan salah satu cara kita mengagungkan syi’ar Allah SWT, dan itu merupakan bukti ketaqwaan kita kepada-Nya sebagaimana firman-Nya dalam al-Qur’an:

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: Barangsiapa yang mengagungkan syiar Allah, maka itu termasuk (bukti) ketaqwaan dalam hatinya”

Surah Al Hajj (32)

Al-Hakim Al-Tirmidzi menyebut dalam kitab Nawadir al-Usul, bahawa antara cara kita menghormati dan mengagungkan al-Qur’an adalah dengan cara:

أَن تتلبس لَهُ كَمَا تتلبس للدخول على الْأَمِير لِأَنَّك مناج

Maksudnya: Hendaklah kamu berpakaian seperti mana kamu berpakaian ketika ingin bertemu seorang raja untuk meminta sesuatu permintaan.

Beliau menyebut lagi:

وكان أبو العالية إذا قرأ اعتم ولبس وارتدى واستقبل القبلة

Maksudnya: Diceritakan bahawa Abul ‘Aliyah sewaktu ingin membaca al-Quran, beliau akan mengenakan serban dan pakaian yang indah dan akan menghadap kiblat.

(Rujuk Al-Hakim al-Tirmizi, Nawadir al-Usul fi Ahadith al-Rasul, 3/253)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami ulangi bahawa hukum membaca al-Qur’an dalam keadaan tidak menutup aurat ialah harus, namun atas dasar adab dengan al-Qur’an sebagai sebuah kitab agung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada sekalian manusia, maka seharusnya kita membacanya dalam keadaan menutup aurat secara sempurna sebagaimana yang ditegaskan dan diamalkan oleh sekalian ramai salafussoleh dan para ulama.

Wallahu a’lam.

 

[1] Rujuk pada pautan laman web rasmi Darul Iftaa’ Mesir: http://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=485#.W6ow59czbIU