Soalan
Apakah hukum memasang kamera cctv di surau wanita, yang diawasi oleh pengawal keselamatan lelaki?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam buat Rasulullah SAW, juga ahli keluarga baginda, isteri-isteri dan seterusnya mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari kiamat.
Dalam isu ini, kami berpendapat bahawa isu ini perlu dilihat kepada maqasid atau tujuan kepada pemasangan CCTV. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut:
الوسائل لها أحكام المقاصد
Maksudnya: Wasilah (sesuatu yang membawa kepada tujuan) mengikut hukum tujuan.
Sekiranya tujuan memasang CCTV ini adalah sebagai langkah untuk menjaga keselamatan wanita yang menunaikan solat dari kecurian atau kes-kes yang lebih besar, maka di haruskan berdasarkan kaedah di atas.
Ini bertetapan dengan prinsip maqasid al-shariah, untuk menjaga harta, maruah dan nyawa.
Adab-Adab Hisbah dalam Islam
Hisbah atau pengawasan dalam Islam berasaskan kepada Amr bil ma’ruf wa nahy an munkar iaitu menyeru kepada kebaikan dan menghalang kepada kemungkaran. Imam al-Syirazi mengatakan bahawa hendaklah orang yang melakukan kerja pengawasan itu, tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang dicegahnya. Lihat al-Rutbah fi Talabi al-Hisbah (213).
Di dalam hal ini, tidak boleh pengawal keselamatan menyebarkan rakaman yang memperlihatkan aurat wanita kerana penyebaran tersebut juga merupakan suatu jenayah sedangkan tujuan asal adalah untuk mencegah jenayah yang berlaku.
Sesungguhnya Islam sangat tegas, dalam melarang penyebaran aib manusia. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ سَتَرَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ سَتَرَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمَنْ كَشَفَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ كَشَفَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ حَتَّى يَفْضَحَهُ بِهَا فِي بَيْتِهِ
Maksudnya: "Barang siapa yang menutupi aib saudaranya muslim, Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat, dan barang siapa membukakan aib saudaranya muslim, maka Allah akan membukakan aibnya hingga terbukalah kejelekannya di dalam rumahnya."
Riwayat Ibn Majah (2546)
Pendapat Kami, Cadangan Dan Tindakan
Kami berpendapat setelah mengamati masalah ini, maka kami memutuskan seperti berikut:
- Pemasangan CCTV ini hendaklah terhad di kawasan dewan solat sahaja dan tidak boleh meliputi tempat wudhuk wanita
- Pengawal CCTV ini hendaklah terdiri daripada pengawal yang beramanah
- Rakaman CCTV ini hanyalah boleh dilihat dan digunakan untuk tujuan pihak keselamatan sahaja, sebarang aktiviti penyebaran adalah haram kerana akan mengaibkan dan mendedahkan maruah serta aurat wanita
- Hendaklah di letakkan di pintu utama surau atau tempat yang boleh dilihat secara jelas bahawa surau tersebut dibawah pemerhatian CCTV, supaya Jemaah muslimah menyedari kewujudan CCTV
- Hendaklah disediakan suatu ruang khas yang tertutup bagi Jemaah muslimah menukar pakaian solat
Semoga Allah memberi hidayah kepada kita untuk mengamalkan syariatnya. Amin