Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh ceritakan kepada kami tentang Abu Lahab dan bagaimana kisah kematiannya?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza bin Abdul Muthalib (Abdul Uzza dengan makna hamba kepada berhala Uzza). Nasabnya adalah seperti berikut: Abdul Uzza bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Qushay bin Kilab. Lebih dikenal dengan nama Kun-yah: Abu Lahab berbanding nama sebenarnya. Lahab bermaksud menyala-nyala. Ada yang mengatakan bahawa yang memberi gelaran Abu Lahab adalah ayahnya, Abdul Muthalib, kerana Abu Lahab wajahnya sangat cerah dan kemerah-merahan.
Beliau terkenal dengan sifat memusuhi agama Allah. Cukuplah kalimah beliau mencelakan Nabi SAW, maka Allah SWT menurunkan Surah al-Masad:
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ ﴿١﴾ مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ ﴿٢﴾ سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ ﴿٣﴾ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ ﴿٤﴾ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ
Maksudnya: Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. - Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.
(Surah al-Masad: 1-5)
Al-Maraghi berkata dalam mentafsirkan ayat di atas: Dia kelak akan menderita bakaran panas api neraka dan akan diseksa dengan nyalaan api itu. Kesimpulannya, Abu Lahab dalam kerugian, amalnya tersia-sia, usahanya yang ditempuh untuk menentang agama Allah SWT menjadi gagal, harta yang dibanggakannya tidak dapat menolongnya dan tidak pula dapat menolong dirinya.
Ini disebabkan Allah SWT mengangkat seruan rasul-Nya, menyebarkan dakwah-Nya, menyiarkan penyebutannya dan Abu Lahab akan diseksa di hari Kiamat dengan api yang bergejolak lagi menyala-nyala, pembakaran yang keras, disediakan oleh Allah SWT bagi orang kafir, melebihi penyeksaannya di dunia dengan pembatalan usahanya dan tertolak amalnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7735)
Dikatakan Abu Lahab tidak hadir dalam peperangan Badar kerana usianya sudah tua tetapi apabila mendengar berita tersebut, beliau amat berdukacita.
Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menceritakan kisah yang berlaku selepas perang Badar di Kota Mekah:
Abu Rafi’ ialah seorang hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW. Beliau berkata: Dahulu aku adalah hamba milik al-Abbas. Ketika itu Islam telah sampai kepada seluruh Ahli Bait. Al-Abbas masuk Islam, kemudian aku dan Ummu Fadhl juga masuk Islam. Namun al-Abbas menyembunyikan keislamannya. Pada waktu peperangan Badar, Abu Lahab tidak ikut berangkat. Tatkala berita kekalahan Quraisy sampai kepadanya, Allah memalukan dan menghinakannya. Sedangkan kami memperoleh sedikit kekuatan di dalam diri kami.
Ketika itu aku seorang yang lemah. Aku bekerja membuat anak panah. Aku merautnya di dalam sebuah bilik yang berhampiran telaga zamzam. Demi Allah, ketika aku sedang duduk meraut anak panahku di sana, sementara Ummu Fadhl duduk berhampiran denganku dan kami sedang bergembira kerana berita kemenangan tentera Islam yang sampai kepada kami, tiba-tiba Abu Lahab datang dengan menyeret kedua-dua kakinya, sehingga dia duduk tepat di hadapan kain penutup bilik dan belakangnya bersandar pada belakangku. Ketika dia sedang duduk, orang ramai berkata, “Inilah Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Muttalib. Dia datang.”
Maka Abu Lahab berkata: “Ke marilah! Dekatilah aku! Engkau pasti membawa banyak berita.” Abu Sufyan lantas duduk berhampiran dengannya, sementara orang ramai berdiri di hadapannya. Abu Lahab bertanya, “Hai anak saudaraku, beritakanlah kepadaku apa yang terjadi.”
Abu Sufyan menceritakan, “Tiada lain kecuali pasukan mereka berhadapan dengan kami, lalu kami menyerahkan belakang kami kepada mereka. Mereka membunuh orang-orang kita semahu mereka. Mereka juga menawan orang-orang kita sesuka hati mereka. Demi Allah, walaupun begitu, aku tidak mengancam siapa pun, sebab kami berhadapan dengan orang-orang yang berpakaian putih yang turun memakai kuda belang di antara langit dan bumi. Demi Allah, kuda-kuda itu tidak meninggalkan jejak sedikit pun dan tidak berpijak pada apa-apa pun.”
Abu Rafi’ meneruskan, “Kubuka kain penutup bilik dengan kedua-dua tanganku, lalu aku berkata, “Demi Allah, itu malaikat.”
Mendadak Abu Lahab mengangkat tangan, lalu memukul wajahku dengan kuat. Aku menerkamnya, tetapi dia mengangkat tubuhku, lalu membalingku di tanah. Kemudian dia berlutut di atas tubuhku sambil memukulku. Waktu itu aku orang yang lemah sehingga Ummu Fadhl mengambil salah satu tiang penyangga bilik, lalu digunakannya untuk memukul Abu Lahab sehingga kepalanya luka parah. Ummu Fadhl berkata, “Kau berani menyeksa orang ini semasa tuannya tidak ada?”
Abu Lahab beranjak pergi dengan kepala tertunduk. Demi Allah, dia hanya hidup tujuh hari selepas itu, sehingga Allah menimpakan pada lukanya bernanah yang biasanya membuatkan orang ramai Arab berasa jijik, lalu kesan itu membunuhnya. Tidak ada saudaranya yang mahu mengurusnya, sehingga mayatnya dibiarkan begitu sahaja selama tiga hari tanpa dikuburkan. Disebabkan khuatir akan dicemuh kerana membiarkan mayatnya, maka barulah mereka menggalikan liang kubur untuknya. Kemudian mereka menolak mayatnya ke dalam lubang tersebut dengan sebatang kayu, lalu melemparnya dengan batu-batu dari jauh sehingga jasadnya tertimbun. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 335-336)
Begitulah pengakhiran hidup Abu Lahab, orang yang kuat memusuhi Islam dan menentang dakwah Rasulullah SAW semasa hidupnya.
Semoga Allah mengurniakan kepada kita untuk mengikut Rasulullah SAW dan istiqamah sehingga ke akhir hayat. Amin.