Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1033: HUKUM PENGLIBATAN MUSLIM DALAM PEMBINAAN RUMAH IBADAT AGAMA LAIN

MUSLIM BINA MASJID.PNG

 

Soalan:

Apakah hukum seorang Muslim terlibat dalam membina atau membaiki rumah ibadat agama lain? Contohnya seorang artikel ditugaskan melukis pelan bangunan gereja? Atau pekerja kontrak terlibat dalam membina bangunan kuil? Adakah ia dikira sebagai satu bentuk pengagungan terhadap syi’ar agama lain, atau boleh dianggap sebagai bekerjasama dalam urusan kemaksiatan dan kesyirikan kepada Allah SWT?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Para ulama terbahagi kepada dua pandangan:

  1. Sebahagian ulama mazhab Hanafi mengharuskan kaum Muslimin terlibat dalam membina dan bekerja di gereja.
  2. Ibn ‘Abidin menyebut akan keharusan seorang Muslim bekerja di gereja dan terlibat dalam proses pembinaan, kerana pekerjaan itu sendiri bukanlah satu maksiat. (Rujuk Hasyiyah Ibn ‘Abidin 6/391)
  3. Ibn Nujaim pula menyatakan keharusan orang Islam menerima upah membina gereja dan upah itu halal baginya. (Rujuk Al-Bahr ar-Ra’iq Syarh Kanz ad-Daqa’iq, 8/23)
  1. Majoriti ulama mazhab Maliki dan Syafie menyatakan pengharaman keterlibatan orang Islam dalam pembinaan gereja.
  2. Imam Malik Muhammad Hattab menyatakan bahawa seorang Muslim tidak boleh terlibat dalam pembinaan gereja, penternakan babi atau kilang arak, dan dihukum bagi Muslim yang terlibat dengan hal yang demikian. (Lihat Mawahib al-Jalil Syarh Mukhtasar al-Khalil, 5/424)
  3. Diriwayatkan bahawa Imam Malik mengharamkan bekerja dalam pembinaan gereja, kerana ia termasuk dalam perkara yang diharamkan Allah SWT. Pengharaman ini juga kata Imam Malik termasuk menyewakan dan menjual rumah atau bangunan untuk dijadikan gereja. (Lihat Al-Mudawwanah al-Kubra, 3/435)

iii. Diriwayatkan bahawa Al-Imam as-Syafi’e berkata bahawa beliau membenci seorang Muslim yang bekerja sebagai tukang bina gereja atau pekerjaan yang berkaitan dengan rumah ibadat orang-orang kafir. (Lihat Al-Umm, 4/213)

  1. Syeikh Qalyubi pula menyatakan pengharaman terlibat dengan membina gereja seperti menyumbang harta bagi tujuan tersebut, kecuali dalam hal-hal darurat. Urusan pembinaan gereja ini disamakan dengan pengajian kitab Taurat dan Injil serta melukis gambar-gambar haiwan yang dilarang penglibatan padanya. (Rujuk Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala al-Minhaj, 3/71)
  2. Ibn Hajar al-Haitami pula menyatakan bahawa jika seorang Muslim berwakaf pada perkara yang maksiat seperti membina gereja, maka wakaf itu terbatal dan tidak sah. (Rujuk Tuhfatul Muhtaj, 6/246)
  3. Imam Ibnul Qayyim mengharamkan menyewa bilik atau bangunan untuk dijadikan gereja atau rumah sembahan api kaum Majusi. (Lihat Ahkam Ahl az-Dzimmah, hal. 582)

 

Tarjih Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi

Dr. Yusof al-Qaradhawi telah berfatwa akan keharusan bagi kaum Muslimin untuk terlibat dalam pembinaan gereja. Beliau telah ditanya akan hukum bagi kaum Muslimin yang terlibat dalam proses bidaan / menerima tender pembinaan rumah ibadat non-Muslim dan hukum mengambil manfaat dari keuntungan projek tersebut.

Setelah mengemukakan pandangan-pandangan para ulama (sebahagiannya telah kami nukilkan di atas), beliau mentarjihkan pandangan sebahagian ulama mazhab Hanafi yang mengharuskan keterlibatan Muslim dalam pembinaan gereja dan rumah ibadat lain, walaupun beliau turut memperingatkan bahawa terdapat ramai ulama yang mengharamkan hal yang demikian berbanding yang mengharuskannya.[1]

Menurut beliau, ulama yang mengharamkan keterlibatan Muslim dalam pembinaan gereja berdalilkan ayat al-Qur’an:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Ma’idah: 2)

Menurut mereka, terlibat dalam pembinaan gereja bererti membantu perlakuan kufur mereka dan mengagungkan syiar-syiar bathil mereka. Ia juga satu akad yang melibatkan manfaat yang diharamkan (manfa’ah muharramah) yang wajib dijauhi dan dihapuskan.

Kesimpulan

Setelah meneliti pandangan para ulama dan dalil-dalil yang dikemukakan, kami mentarjihkan pandangan yang mengharamkan keterlibatan orang Islam dalam pembinaan gereja atau rumah ibadat agama lain, sebagaimana yang dipegang oleh majoriti ulama.

Hal ini berdasarkan kaedah yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

MaksudnyaBerhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

MaksudnyaBarangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang. 

Kami juga berpesan agar kita sama-sama mengingati pesan Nabi SAW berkenaan rezeki yang halal:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal dan haram itu jelas, manakala antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubhah, yang tidak jelas hukumnya.

Sunan Abi Daud (3329)

Walau bagaimanapun, Islam sebagai agama yang luwes, fleksibel dan meraikan keperluan-keperluan manusia ada memberikan beberapa pengecualian dalam situasi-situasi tertentu.

Contohnya jika seseorang itu telah memenangi sebuah tender untuk projek pembinaan atau baik pulih rumah ibadat agama lain, wajib ke atasnya menolak tender tersebut. Namun jika terpaksa membayar denda atau pampasan atas perbuatan tersebut, dan bayaran tersebut mahal dan membebankan, pada masa itu dia boleh bertaqlid kepada mazhab Hanafi dan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang mengharuskannya, atas dasar maslahah.

Jika sekiranya seseorang itu bekerja di bawah syarikat yang terlibat dalam pembinaan rumah ibadat bukan Islam, hendaklah dia berunding dengan majikan untuk memberikan pengecualian kepadanya daripada terlibat dengan kerja-kerja seumpamanya. Namun jika tidak mampu, dan dibimbangi akan dibuang kerja jika ingkar kepada arahan majika, dia juga boleh bertaqlid kepada mazhab yang mengharuskannya, atas dasar darurat.

Wallahu a’lam.

[1] Artikel asal fatwa Dr. Yusuf al-Qaradhawi ini boleh di akses di laman web:

  1. https://archive.islamonline.net/?p=387https://archive.islamonline.net/?p=387
  2. https://www.al-qaradawi.net/node/4225