Soalan:
Assalamualaikum, bolehkah S.S Mufti menceritakan berkenaan kelebihan solat di saf yang pertama berbanding saf-saf yang lain.
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Solat di saf yang pertama mempunyai begitu banyak kelebihan seperti yang disebutkan oleh banyak riwayat. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا
Maksudnya: Sekiranya manusia mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak mendapati cara untuk mendapatkan ia melainkan dengan mencabut undi, pasti mereka akan mencabut undi.
Riwayat Al-Bukhari (615)
Berdasarkan hadis di atas, sekiranya manusia itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan terhadap besarnya ganjaran dan fadhilat solat di saf yang pertama, sudah pasti mereka akan berebut-rebut mengambil peluang bagi memenuhkan saf pertama. Sehingga jika tiada cara lain, pasti mereka akan menggunakan cara mencabut undi bagi menentukan siapakah yang dapat mengisi saf yang pertama.
Berikut kami kongsikan beberapa kelebihan saf yang pertama serta keutamaan solat di dalamnya.
Pertama: Allah dan Para Malaikat Berselawat Kepada Saf Pertama
Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abd al-Rahman bin ‘Auf beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصَّفِّ الأَوَّلِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas saf yang pertama.
Riwayat Ibn Majah (999)
Imam Al-Munawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Iaitu Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada ahlinya (mereka yang bersolat di saf yang pertama) iaitu dengan beristighfar kepada mereka. Rujuk Faydh Al-Qadir, Al-Munawi.
Kedua: Saf Terbaik Bagi Lelaki Adalah Saf Pertama
Hal ini merujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا
Maksudnya: Sebaik-baik saf orang lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling belakang. Manakala sebaik-baik saf orang perempuan adalah saf yang terakhir manakala seburuk-buruk saf orang perempuan adalah yang paling hadapan.
Riwayat Muslim (440)
Dalam hadis di atas, saf paling baik bagi orang lelaki adalah saf yang pertama. Ini kerana, saf yang pertama menjadikan kita sebagai manusia yang bersegera ke arah kebaikan, hampir kedudukan dengan imam, dapat mendengar dengan baik bacaan imam serta mendapat pengajaran dari bacaan imam, serta lebih sejahtera pemikiran dari melihat orang yang berada di hadapannya.
Yang dimaksudkan dengan seburuk-buruk saf bagi lelaki dan perempuan adalah: Yang paling kurang pahala dan kelebihan serta jauh dari kehendak dan tuntutan syara’. Manakala maksud sebaik-baik saf bagi lelaki dan perempuan pula adalah: Yang paling banyak pahala dan kebaikan serta memenuhi kehendak syarak.
Kami nyatakan di sini, kelebihan saf yang terakhir bagi orang perempuan adalah apabila berlakunya solat berjamaah yang melibatkan orang lelaki dan juga orang perempuan. Namun sekiranya solat berjamaah hanya melibatkan orang perempuan sahaja, maka keadaannya kembali kepada saf terbaik adalah saf pertama manakala saf terburuk adalah saf yang di belakang.
Bagi jemaah perempuan, baiknya saf terakhir dalam solat berjamaah yang melibatkan orang lelaki adalah kerana yang demikian itu menjauhkan jarak mereka dari bercampur dengan orang lelaki, menjauhkan mereka dari memandang ke arah lelaki ajnabi serta mendengar ucapan-ucapan mereka. Lihat Syarah Al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim, Al-Nawawi (4/158).
Penutup
Sebagai kesimpulan, kami mengajak agar kesemua umat Islam sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dengan cara melazimi solat di saf yang pertama. Elakkan saf-saf dari dikosongkan atau lambat dipenuhkan. Ini kerana begitu besar fadhilat dan ganjaran yang ada padanya.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.