Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1096: MENYEBARKAN KEBURUKAN ORANG SOLEH

SEBAR KEBURUKAN SOLEH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah kita hebahkan keburukan orang yang dianggap soleh, tetapi sebenarnya dia itu pembohong tentang banyak perkara.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami bahagikan kepada dua:

Pertama, memang dia orang yang soleh kecuali tergelincir dalam beberapa tindakan, tetapi tampak kesan kebersalahan, kesesalan dan ingin bertaubatnya kepada Allah SWT. Maka dalam hal ini, kami katakan dia termasuk dalam umum hadis Nabi SAW:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”

Riwayat Ibn Majah (4251), al-Tirmizi (2499) dan
al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5/420)

Keduanya, sikap kita adalah mengasihi dan mendoakan untuknya kerana ia termasuk dalam hadis:

أَقِيلُوا ذَوِى الْهَيْئَاتِ عَثَرَاتِهِمْ

Maksudnya: “Maafkanlah ketergelinciran dzawil hai’ah (orang-orang yang baik namanya).”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (465), Abu Daud
(4377) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17089).

Adapun, sekiranya memang beliau banyak melakukan kesilapan dan berterusan, sebenarnya mereka bukanlah orang yang soleh. Ini kerana, makna soleh adalah melakukan amalan yang baik dan orang yang soleh adalah orang yang baik dan beriman serta mengamalkan ajaran islam dengan sebaik mungkin.

Boleh jadi dalam kalangan mereka, ada yang petah berkata-kata dan menyampaikan ucapan di depan khalayak ramai tetapi perbuatan buruknya amat jelas. Maka kami nyatakan di sini hadis Nabi SAW:

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي كُلُّ مُنَافِقٍ عَلِيمِ اللِّسَانِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setakut-takut apa yang aku takuti ke atas umatku adalah setiap munafiq yang pandai berkata-kata.”

Riwayat Ahmad (143), Ibn Hibban (80), al-Tabarani dalam al-Kabir
(18/227) dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (1641)

Al-Munawi dalam mensyarahkan makna “عَلِيمِ اللِّسَانِ”, berkata: Mereka yang petah berbicara memberi maksud mereka yang mengetahui dan alim serta bijak dalam berbicara pada hujung lidah tetapi hatinya penuh kejahilan, rosak akidahnya, dan mampu memperdayakan manusia dengan lidahnya tersebut. Ini menyebabkan ia dapat mempengaruhi manusia dan mengumpul pengikut yang ramai sedangkan mereka telah tergelincir. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/221)

Kami juga berpendapat apabila nasihat yang diberikan - sehingga membawa kepada perubahan ke arah kebaikan dan merasa dosa yang dilakukan itu boleh membawa kekesalan dan kehinaan untuk kembali kepada Allah - maka ia menjadi penyebab ke arah kebaikan. Benarlah kata Ibn Atha’illah al-Sakandari:

مَعْصِيَةٌ أَوْرَثَتْ ذُلًّا وَافْتِقَارًا خَيْرٌ مِنْ طَاعَةٍ أَوْرَثَتْ عِزًّا وَاسْتِكْبَارًا

Maksudnya: “Sesuatu maksiat yang menyebabkan rasa hina rendah diri (kepada Allah SWT) dan keberhajatan (kepada rahmat-Nya) adalah lebih baik daripada sesuatu amalan taat yang menyebabkan rasa mulia, sombong, ujub dan besar diri.”

Dalam kemelut seperti ini, perlu adanya golongan penasihat yang penuh hikmah menarik kembali mereka yang rebah dengan maksiat dan dosa untuk kembali bangun menjadi hamba Allah yang soleh. Inilah yang selalu dilakukan oleh salafus soleh kerana mereka mengamalkan ayat akhir daripada surah al-Asr:

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-Asr: 3)

Imam al-Tabari berkata: Saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam KitabNya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.

Saling berpesan dengan kesabaran pula bermaksud: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah” (Rujuk Tafsir al-Tabari, 24/590)

Sayyid Qutb berkata dari kata-kata saling berpesan itu, nampaklah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan. Islam mahukan mereka menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Lihat Tafsir Fi Zilalil Quran, 17/521 )

Al-Maraghi berkata: Seluruh manusia ini berada dalam kerugian kecuali mereka yang memiliki empat sifat berikut iaitu beriman, mengerjakan amal soleh, saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran. Setelah itu, mereka mengamalkan kebaikan itu dan menyerukan agar ia diamalkan. Mereka tidak menguzurkan diri untuk meneruskan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan meskipun terpaksa menghadapi kesulitan dan bala bencana. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 15/7698)

Semoga Allah kurniakan kepada kita kekuatan dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar dengan penuh hikmah dan kebenaran.