Soalan:
Rumah saya bersebelahan dengan masjid, dan setiap kali khutbah Jumaat, ia boleh didengari dari rumah saya. Soalan saya, apakah hukum jika saya mendengar khutbah dari rumah sahaja, dan hanya pergi ke masjid apabila tiba waktu solat?
Jawapan:
Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.
Khutbah Jumaat merupakan syarat sah solat Jumaat, dan ia tidak sah tanpanya. Menurut Imam Ibn Qudamah, ia merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama kecuali al-Hasan al-Basri. (Rujuk Al-Mughni, 2/74)
Adapun menurut persoalan yang dikemukakan, maka kami menjawabnya dengan firman Allah SWT:
يأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Surah al-Jumu’ah (9)
Menurut Syeikh al-Sa’di, ayat ini mengajar kita bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat sejurus azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang terutama. (Rujuk Tafsir al-Sa’di, 1/863)
Sementara Imam al-Kasani memberi dua pandangan tentang frasa zikrullah dalam ayat di atas, iaitu solat Jumaat atau khutbah Jumaat, dan kedua-dua pandangan ini adalah benar. (Rujuk Bada’ie al-Sana’ie, 1/247 dan 262)
Menurut Imam Syaukani pula, melalui ayat ini Allah SWT memerintahkan agar kita bersegera ke arah zikrullah, dan khutbah merupakan salah satu jenis zikrullah. (Rujuk Al-Sail al-Jarrar, hal. 182)
Aus bin Aus R.A pula meriwayatkan, bahawa Baginda SAW bersabda:
مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَغَسَّلَ وَبَكَّرَ وَابْتَكَرَ وَدَنَا وَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ كَانَ لَهُ بِكُلِّ خَطْوَةٍ يَخْطُوهَا أَجْرُ سَنَةٍ صِيَامُهَا وَقِيَامُهَا
Maksudnya: Barangsiapa yang mandi dengan sempurna pada hari Jumaat, pergi awal ke masjid dan tiba awal, dan berjalan kaki serta tidak menunggang ke masjid, duduk berhampiran dengan Imam, mendengar khutbah dan tidak berkata-kata yang sia-sia; maka setiap langkahnya ke masjid akan diberi ganjaran pahala setahun berpuasa dan solat malam.
Sunan Tirmizi (496), Sunan Abi Daud (345) dan Sunan Ibn Majah (1140)
Jelas daripada ayat al-Qur’an dan hadith ini akan suruhan untuk bersegera ke masjid sejurus setelah azan Jumaat dikumandangkan, bahkan datang awal sebelum azan. Inilah juga fatwa yang dikemukakan oleh Al-Lajnah al-Da’imah dan Syeikh Salih ibn ‘Uthaimin. (Rujuk Fatawa al-Lajnah al-Da’imah 3/324 dan Fatawa Nur ‘ala al-Darb 15/188)
Kesimpulan
Tuntasnya, kami berpandangan setiap Muslim wajib bersegera menuju ke masjid untuk solat Jumaat setelah azan pertama dilaungkan, dan disunatkan untuk hadir awal ke masjid sebelum azan dilaungkan, kecuali bagi mereka yang mempunyai hajat, keperluan atau keuzuran.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang disebutkan di atas, selain mengambil kira besarnya ganjaran iktikaf di masjid dan memperbanyakkan ibadat pada hari Jumaat.
Wallahu a’lam.