Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1228 ADAKAH DENGAN PERASAAN KASIHAN KEPADA HAIWAN YANG INGIN DISEMBELIH HARAM UNTUK DIMAKAN

ak1228

Soalan

Assalammualaikum wbt ustaz. Pertanyaan saya, adakah benar jika seseorang yang mengasihani haiwan yang ingin disembelih haram baginya untuk memakan haiwan tersebut? Walaupun cukup syarat-syarat sembelihan. Kekeliruan ini sering kali saya dengar dikalangan masyarakat kita dari dahulu lagi. Semoga mendapat penjelasan daripada Ustaz. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Hukum dan Pensyariatan Sembelihan

Islam sangat menitik berat tentang pemakanan dari segi halal dan haram. Oleh itu, Allah SWT telah menjelaskan tentang hal ini di dalam firmanNya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.

(Surah al-Maidah: 3)

Syarat-syarat Sembelihan

Untuk menjadikan haiwan itu halal untuk dimakan, maka Allah SWT memerintahkan supaya ianya disembelih. Para ulama menggariskan panduan untuk penyembelihan binatang dan meletak syarat-syarat ke atasnya iaitu:

  1. Penyembelih itu mestilah berakal. Sama ada lelaki, perempuan, baligh atau mumaiyyiz dan ini merupakan pendapat jumhur.
  2. Penyembelih itu mestilah Orang Islam atau Ahli Kitab. Begitu juga tidak sah sembelihan orang yang murtad. Ini kerana sembelihan mereka itu bukanlah bertujuan kerana Allah SWT. Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 seperti yang di atas. Dan ulama meletakkan syarat ke atas Ahli kitab di antaranya mestilah beriman dan menyebut nama Allah SWT ketika sembelih.
  3. Binatang buruan yang halal dan bukan daripada jenis binatang buas dan ganas ini seperti firman Allah SWT:

أُحِل لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ الْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا

Maksudnya: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan

(Surah al-Maidah: 96)

Dan selain daripada kategori binatang buas diharuskan untuk sembelih dan memakannya. Begitu juga binatang buas tidak termasuk binatang ternakan dan binatang korban.

  1. Disyaratkan menyebut nama Allah SWT ketika sembelih sama ada dari kalangan orang Islam atau ahli kitab. Sekiranya ia terlupa atau bisu dibolehkan untuk memakannya. Ini seperti firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa)

(surah al-An’am: 121)

  1. Tidak mencampur adukkan di antara membesarkan nama Allah SWT dengan selainnya. Sama ada dengan menyebut secara jelas ataupun tidak.
  2. Mestilah dengan memutuskan Halkum dan urat Marih untuk mempercepatkan kematiannya.
  3. Selain itu, syarat peralatan sembelihan ialah dengan menggunakan peralatan yang tajam dan bukan diperbuat daripada tulang, kuku dan gigi.

(Lihat: al-Mausuah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah: 21/184)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan di atas, rasa belas kasihan terhadap haiwan yang disembelih tidak mempengaruhi halal dan haram sekiranya ia cukup syarat sah sembelihan seperti yang didatangkan di atas.

Sifat belas kasihan terhadap haiwan merupakan fitrah manusia. Oleh itu, kita digalakkan mengikut adab-adab dan sunat-sunat ketika penyembelihan. Dengan tujuan memudahkan dan mengurangkan kesakitan haiwan sembelihan. Ini seperti yang di ajar Baginda SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Ya’la bin A’us RA, sabda Nabi SAW:

فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ

Maksudnya: Apabila kamu membunuh maka bunuhlah dengan baik, dan apabila kamu menyembelih maka sembelihlah dengan baik.

Hadis Riwayat Muslim (1955)

Oleh itu kita dapat mengaplikasikan hadis ini dalam kehidupan. Hadis ini juga merupakan salah satu daripada prinsip penting dalam islam kerana ia merupakan seruan kemuliaan daripada Nabi SAW supaya berihsan dalam setiap amalan. Cukuplah dibuktikan hal ini dalam banyak tindakan Rasullullah SAW sama ada perkara kecil atau besar. (Lihat: al-Kafi Syarah Hadis 40 oleh Dr. ZulkifliMohamad al-Bakri, hlm 175)

Wallahualam