Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

1229

SOALAN

Assalamualaikum Tuan Mufti. Nabi SAW merupakan contoh teladan buat manusia dalam semua perkara. Mengikut kefahaman saya, Baginda SAW mempunyai lebih daripada satu isteri pada masa yang sama setelah kewafatan isteri Baginda SAW, Saidatina Khadijah RA. Soalan saya, bagaimana Baginda SAW mencari nafkah untuk kesemua isterinya untuk dicontohi? Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Para ulama telah menetapkan bahawa pemberian nafkah adalah wajib ke atas golongan tertentu yang berada di dalam tanggungannya seperti isteri, anak, hamba dan ibu bapa yang fakir. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.

(Surah al-Baqarah, 2:233)

Berkenaan ini, Rasulullah SAW menyatakan bahawa harta yang paling baik dinafkahkan ialah kepada ahli keluarga. Daripada Tsauban RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَفْضَلُ دِينَارٍ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ دِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى عِيَالِهِ وَدِينَارٌ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ عَلَى دَابَّتِهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَدِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى أَصْحَابِهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya, dan dinar yang dinafkahkan untuk ternakan tunggangannya (kenderaan) yang digunakan di jalan Allah dan dinar yang dinafkahkan untuk para sahabatnya yang berjuang di jalan Allah.

Hadith Riwayat Muslim: 994

Islam telah menetapkan bahawa kadar nafkah itu hendaklah diberi dengan cukup (kifayah) dan baik (ma’ruf). Kadar kifayah dan ma’ruf itu berdasarkan kepada kemampuan si suami dan bapa untuk menanggungnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Hindun RA apabila dia mengadu kepada Nabi SAW bahawa suaminya tidak memberikan nafkah kepadanya. Rasulullah SAW bersabda:

خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَبَنِيكِ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Ambillah (daripada harta Abu Sufyan) apa yang mencukupkan kamu dan anak kamu secara baik.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada dibawah tanggungannya itu ialah seperti:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja). (Rujuk Mughni Muhtaj, 4:542)

Rasulullah SAW merupakan contoh teladan yang baik dalam semua perkara, termasuklah juga dalam hal ini. Baginda SAW bersabda dalam hadith yang diriwayat oleh Ibn ‘Abbas:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

Maksudnya: Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya.

Hadith riwayat Ibn Majah, 9:2053

Rasulullah SAW memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada ahli keluarganya mengikut kemampuan Baginda SAW. Rasulullah SAW menyediakan untuk isteri-isteri Baginda SAW tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan dengan mencukupi dengan tidak berlebihan. Ini bersesuaian dengan kehidupan Rasulullah SAW yang memilih zuhud dan tidak bermewah-mewah. Dalam pemberian nafkah, Rasulullah SAW memberikan 20 wasaq gandum dan 80 wasaq kurma kepada isteri-isterinya pada setiap tahun. (Rujuk Nail al-Awthar, 5:221)

Rasulullah SAW mempunyai sumber pendapatan yang pelbagai untuk memberi nafkah kepada isteri-isteri dan ahli keluarga Baginda SAW. Antara sumber pendapatan Nabi Muhammad SAW ialah:

     1) Harta fay'i, iaitu harta yang didapati daripada golongan-golongan musyrik yang menentang Islam tanpa melalui peperangan. Ini seperti yang Rasulullah SAW dan para Sahabat RA dapati daripada Peperangan Bani Nadir dan Fadak. Firman Allah SWT:

مَّا أَفَاءَ اللَّـهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّـهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Maksudnya: Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan).

(Surah al-Hasyr: 7)

Diriwayatkan dari Umar Ibn al-Khattab RA bahawa beliau berkata: Sesungguhnya Allah telah memberikan harta Bani Nadhir kepada Rasulullah SAW dan harta itu adalah khusus untuk beliau. Harta itu beliau nafkahkan kepada keluarganya untuk keperluan satu tahun. Selebihnya dibahagikan untuk membiayai kuda dan persenjataan sebagai persiapan peperangan.

Hadith riwayat Bukhari: 4033 dan Muslim: 1757

     2) Ghanimah, iaitu harta rampasan perang yang didapatkan dari perang antara kaum muslimin bersama dengan musuh-musuhnya. Al-Imam al-Thabari menyebutkan dalam tafsirnya, “Perang Badar adalah perang yang untuk kali pertama (dalam Islam). Dalam Islam, Rasululah SAW akan mendapatkan bahagian satu perlima daripada harta ghanimah tersebut. Dalam perang itu, Nabi SAW mengambil bahagiannya, sementara bagian empat seperlima diberikan kepada sahabat-sahabatnya. (Rujuk Tafsir al-Thabari, 6:250).

     3) Hadiah yang diterima oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak menerima sedekah tetapi hanya menerima hadiah daripada pelbagai pihak, antaranya raja-raja, para Sahabat RA dan lain-lain.

Disamping itu, sifat-sifat mulia pada ummahat al-mukminin yang memilih akhirat yang kekal abadi berbanding harta dunia yang sementara juga perlu dijadikan teladan. Ketika para isteri-isteri Nabi SAW diberi pilihan untuk samada harta perhiasan dunia atau mereka menginginkan bersama Rasulullah SAW dan mendapat ganjaran di akhirat, mereka memilih Rasulullah SAW dan ganjaran di akhirat. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا وَإِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. "Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar.

(Surah al-Ahzab: 28-29)

Imam al-Sa'adiy dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa isteri-isteri Nabi SAW telah berkumpul dan menuntut nafkah dan pakaian perhiasan tambahan daripada Rasulullah SAW. Mereka meminta sesuatu yang tidak mampu untuk ditunaikan oleh Baginda SAW sampai bila-bila. Lalu kesemua mereka memilih kemuliaan di akhirat dengan memilih Allah SWT dan Rasulullah SAW. (Rujuk Tafsir al-Saadiy, ayat al-Ahzab : 28-29)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa Rasulullah SAW memberikan nafkah dengan kadar yang mencukupi (kifayah) dan baik (ma’ruf) kepada ahli keluarga Baginda SAW daripada segala apa yang diwajibkan dengan tidak kurang dan tidak pula berlebihan kecuali sesetengah waktu. Ini berdasarkan kemampuan dari sumber pendapatan Baginda SAW dan sikap Rasulullah SAW yang memilih kehidupan yang sederhana dan zuhud.

Disamping itu, kita juga perlu juga mengambil iktibar daripada sikap qanaah dan toleransi para isteri-isteri Nabi SAW. Mereka memilih untuk tidak meminta kemewahan dunia yang berlebihan, bahkan memilih Allah SWT dan Rasulullah SAW serta kenikmatan yang abadi di akhirat kelak.

Pada akhirnya, kami akhiri dengan doa yang diajarkan kepada kita di dalam al-Quran al-Karim:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

(Surah al-Furqan: 74)