Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1238: ADAKAH TERDAPAT HADIS KELEBIHAN MEMOTONG KUKU PADA HARI TERTENTU?

HADIS POTONG KUKU.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah terdapat nas hadis sahih berkenaan memotong kuku pada hari tertentu dan kelebihan jika melakukannya pada hari tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan nas hadis yang menyebut bahawa perbuatan memotong kuku adalah salah satu daripada perkara fitrah yang dianjurkan oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: “Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.”

       Riwayat al-Bukhari (5550) dan Muslim (257)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa bilangan (lima perkara) yang disebutkan itu tidak terbatas sebanyak itu sahaja, kerana datang dalam hadis lain bilangan yang lain. (Lihat Fath al-Bari, 10/337)

Menjawab persoalan di atas, secara khususnya, tidak ada nas hadith sahih yang khas menyebut berkenaan dengan memotong kuku pada hari tertentu dan kelebihan-kelebihannya yang khusus.

Adapun berkenaan hadith-hadith yang menetapkan hari-hari tertentu dan kelebihan-kelebihan yang diperolehi sekiranya memotong pada hari tersebut, ia sebenarnya adalah tidak sahih. Imam al-Sakhawi menjelaskan: “Tidak ada satu pun hadis yang sahih daripada Nabi SAW yang menerangkan tentang tatacara dan penetapan hari-hari tertentu untuk memotong kuku.” (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 489)

Walaupun begitu, terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi’in yang menunjukkan mereka memiliki kebiasaan memotong kuku pada hari Jumaat. Antaranya:

  • Ibnu Umar R.Anhuma biasanya memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat. (Lihat al-Sunan Al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/244)
  • Daripada Ibrahim bahawa beliau menceritakan, “Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 2/65)
  • Muhammad bin Ibrahim al-Taimi (salah seorang tabi’in) berkata, “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya.” (Lihat al-Musannaf oleh Abd al-Razzaq, 3/197)

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, para ulama fiqh dari kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah, menyebut galakan dan anjuran memotong kuku pada setiap hari Jumaat. Imam Nawawi berkata: “Al-Syafi’e dan ashabnya dengan tegas (secara nas) menyebut anjuran memotong kuku pada hari Jumaat.” (Lihat al-Majmu’, 1/340)

Oleh itu, perbuatan memotong kuku sangat digalakkan untuk dilakukan pada hari Jumaat. Islam sangat menganjurkan penganutnya supaya merapikan diri antaranya dengan memotong kuku kerana agama Islam sentiasa mengutamakan kebersihan. Tambahan pula hari Jumaat merupakan hari bagi kaum muslimin berkumpul di masjid untuk mendengar khutbah. Disebabkan itulah, sebahagian sahabat Nabi SAW dan sebahagian tabi’in memotong kuku mereka pada hari Jumaat. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 8/104)

Namun, sekiranya tidak sempat, seseorang boleh melakukannya pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai. Akan tetapi, ia hendaklah tidak dibiarkan sehingga melebihi 40 hari. Hal ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik R.A, kata beliau:

وُقِّتَ لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَصَّ الشَّارِبِ ، وَتَقْلِيمَ الأَظْفَارِ ، وَحَلْقَ الْعَانَةِ ، وَنَتْفَ الْإِبْطِ ، لاَ يُتْرَكُ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ يَوْمًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW memberikan batasan waktu kepada kami untuk memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, dan mencukur bulu kemaluan, agar tidak dibiarkan lebih dari empat puluh hari.”

Riwayat Muslim (520), al-Tirmizi (2759) dan al-Nasa’ie (15)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini memberi penjelasan berkenaan para sahabat tidak pernah melewatkan untuk melakukan perkara-perkara ini apabila sampai masanya, dan kalaupun melewatkannya, tidak pernah sampai melebihi 40 hari. Ia juga bukan dengan maksud Nabi memberi keizinan untuk melewatkan sehingga 40 hari secara mutlak. (Lihat al-Majmu’, 1/287)

Semoga kita diberikan ilmu dan kefahaman yang tepat dalam melaksanakan setiap apa yang diperintahkan oleh-Nya. Amin.