Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1246: UJIAN TIDAK DIKURNIAKAN ZURIAT

ak 1246

Soalan

Assalamualaikum. Jika perkahwinan saya telah ditakdirkan oleh Allah swt tidak mempunyai zuriat,bagaimanakah caranya untuk kami memperoleh doa dari anak yang soleh setelah meninggal dunia. Siapakah yang akan menunggu kami di pintu syurga jika di dunia kami tidak dikurniakan anak? Mohon penjelasan untuk kami yang diuji oleh Allah swt dengan masih tidak dikurniakan zuriat, terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Anak merupakan anugerah Allah SWT kepada pasangan yang berkahwin. Oleh itu Allah SWT berhak untuk menentukan segala. Ini seperti firmanNya di dalam al-Quran”

لِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثاً وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ. أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَاناً وَإِنَاثاً وَيَجْعَلُ مَن يَشَاءُ عَقِيماً إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Maksudnya: Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. 

(Surah ash-Shura, 49-50)

Syeikh Tantawi dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan: “Dalam hal ini Allah SWT ingin membaritahu bahawa kekuasaannya dalam menentukan rezeki kepada manusia. Allah SWT yang menentukan sama ada diberikan anak lelaki atau perempuan atau pun kedua-duanya sekali. Dan Allah SWT juga berhak tidak memberikannya.” (Lihat: al-Tafsir al-Wasit li Tantawi, 13/49)

Imam Ibnu Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: “Di datangkan kepada manusia dalam empat keadaan: ada diantaranya mendapat anak perempuan dan ada yang mendapat anak lelaki dan ada daripadanya mendapat kedua-duanya dan ada daripadanya tidak mendapat anak. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT berhak menentukannya agar manusia beriman dan bergantung harap kepadanya” (Lihat: Tafsir Ibnu Kathir, 7/198)

Ujian Allah SWT Kepada Hambanya

Setiap manusia akan diuji oleh Allah SWT mengikut kadar keimanan dan kemampuan mereka agar mereka sentiasa mengingati Allah SWT seperti firmanNya:

وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan

(Surah al_Anbiya, 35)

Di dalam sebuah hadis, Rasullullah SAW menceritakan kepada mereka yang diuji dengan tidak diberikan anak kepadanya, dan Allah SWT akan memberikan apa yang dikehendakinya di syurga nanti. Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Said al-Khudri RAnhu, Sabda Nabi SAW:

الْمُؤْمِنُ إِذَا اشْتَهَى الْوَلَدَ فِي الْجَنَّةِ كَانَ حَمْلُهُ وَوَضْعُهُ فِي سَاعَةٍ وَاحِدَةٍ كَمَا يَشْتَهِي

Maksudnya: Seseorang Mukmin sekiranya ia ingin memiliki anak (namun tidak mendapatkannya) di syurga sesungguhnya ia akan mengandungnya, menyusuinya dan membesarkannya mengikut apa yang dikehendakinya

(Hadis riwayat Ibnu Majah no. 4338)

Imam Tirmizi dalam mensyarahkan hadis di atas menyatakan bahawa ahli ilmu berbeza pendapat berkenaan dengannya, ada di antara mereka yang berpendapat tidak ada yang melahirkan anak di syurga. Dan mengikut pendapat kebanyakan ahli ilmu, Allah SWT akan memberikan apa yang dihajatkannya di dalam syurga. (Lihat: al-Tanwir Syarah alJami’ al-Soghir, 1-/458)

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنْفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ وَأَنْتُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: Dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): "Kamu adalah tetap kekal di dalamnya

(Surah al-Zukhruf, 71)

Ujian dan dugaan yang dihadapi diiringi dengan tawakkal dan bersangka baik kepada Allah SWT. Berkemungkinan sesuatu perkara yang baik di sisi manusia boleh jadi perkara itu buruk di sisi Allah begitu juga sebaliknya ini seperti firman Allah SWT:

وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-Baqarah, 216)

Imam Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan: “Sesuatu perkara yang mungkin tidak disukai oleh kita berkemungkinan disukai Allah SWT dan begitu juga sebaliknya. Mungkin terdapat hikmah dan mengajar erti kesabaran dan ketaatan kita di dunia. Dan sesungguhnya pengetahuan Allah SWT tidak dapat dibatasi manusia”. (lihat Tafsir al-Maraghi, 2/133)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan di atas dapat kami simpulkan berdasarkan dalil-dalil yang diberikan seperti berikut:

  • Allah SWT menguji hambaNya agar sentiasa mengingati dan bergantung harap kepadaNya. Oleh itu haruslah bersabar menghadi segala ujiannya agar mendapat ganjaran yang besar di akhirat kelak.
  • Memperbanyakkan berdoa agar dipermudahkan segala urusan dan tidak berputus asa serta berusaha dan yakin kepada Allah SWT. Ini seperti firmanNya:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul

(Surah al-Baqarah, 186)

Dalam mentafsirkan ayat di atas Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “yang dimaksudkan dengan hampirnya Allah SWT, adalah Allah SWT sentiasa mendengar dan melihat perbuatan dan permintaan hambanya. Dan setiap amalan yang dilakukan dengan penuh kusyuk dan keihklasan maka Allah SWT akan membuka hijab dan memakbulkan doanya” (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 2/75)

  • Digalakkan untuk memperbanyakkan sedekah dan sumbangan kepada pihak yang memerlukan, agar dipermudahkan dan dimurahkan rezeki. Ini seperti fiman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.

(Surah Saba’ 39)

Di dalam Tafsir al-Mannar mentafsirkan bahawa “Ini merupakan Sunnah Allah SWT untuk menggantikan kepada sesepiaya yang bersedekah dan memberi infaq kepada agama. Selain itu Allah SWT juga memberi ketenangan jiwa, melahirkan rasa pemurah dan memberikan kebaikan di dunia dan akhirat.” (Lihat Tafsir al-Mannar, 3/63)

Selain itu, kita juga boleh beramal dengan doa Nabi Zakaria AS seperti yang terkandung di dalam al-Quran seperti mana firman Allah SWT:

رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖإِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Maksudnya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.

(Surah Ali-Imran: 38)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menyatakan “bahawa ini merupakan doa Nabi Zakaria AS supaya diberikan rezeki anak yang soleh dan berakhlak mulia. Supaya dapat disempurnakan nikmat dunia dan juga akhirat. Maka Allah SWT telah memakbulkan doanya kerana sifat ikhlas dan bersungguh-sungguh baginda AS” (Lihat: Tafsir al-Sa’di: 1/129)

Wallahualam