Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1250: BOLEHKAH MEMBUANG SARANG BURUNG

 Screen Shot 2019 05 08 at 2.11.39 PM

SOALAN

Diluar rumah saya ada sebuah gazebo yang saya bina untuk santai bersama keluarga. Sekarang ada kumpulan burung membuat sarang pada kipas di gazebo.

Apakah hukumnya jika saya membuang sarang tersebut?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Islam adalah agama yang mengangkat nilai kasih-sayang kepada setiap makhluk yang ada. Nilai kasih-sayang itu tidak terbatas hanya kepada yang beragama Islam, manusia atau makhluk yang mempunyai akal sahaja, tetapi merangkumi semua di alam ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ 

Maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

 

(Surah al-Anbiya’: 107)

Begitu juga daripada hadith-hadith yang banyak mempamerkan keindahan akhlak Nabi SAW terhadap binatang. Antaranya kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي سَفَرٍ فَانْطَلَقَ لِحَاجَتِهِ فَرَأَيْنَا حُمَّرَةً مَعَهَا فَرْخَانِ فَأَخَذْنَا فَرْخَيْهَا فَجَاءَتِ الْحُمَّرَةُ فَجَعَلَتْ تَفْرُشُ فَجَاءَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏"‏ مَنْ فَجَعَ هَذِهِ بِوَلَدِهَا رُدُّوا وَلَدَهَا إِلَيْهَا ‏"‏.‏ وَرَأَى قَرْيَةَ نَمْلٍ قَدْ حَرَّقْنَاهَا فَقَالَ ‏"‏ مَنْ حَرَّقَ هَذِهِ ‏"‏‏.‏ قُلْنَا نَحْنُ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ إِنَّهُ لاَ يَنْبَغِي أَنْ يُعَذِّبَ بِالنَّارِ إِلاَّ رَبُّ النَّارِ ‏"‏ ‏.‏

Maksudnya: Ketikamana kami bersama dengan Rasulullah SAW dalam permusafiran, Baginda pergi untuk menunaikan hajat. Maka (ketika itu) kami terlihat seekor hummarah (burung yang berwarna merah) yang bersama dua ekor anaknya. Maka kami pun mengambil salah seekor daripada anaknya. Maka Hummarah itu datang mengibas sayapnya (kerana marah anaknya diambil). Kemudian datanglah Nabi SAW, (melihat keadaan itu) Baginda SAW bersabda: Siapa yang menganggu anak burung ini? Kembalikan kamu semua anaknya kepadanya. Kemudian Baginda terlihat sarang semut yang telah kami bakar, Baginda SAW bersabda: Siapa yang membakar ini? Kami menjawab: Kami. Baginda bersabda: Tidaklah dibenarkan untuk menyiksakan dengan api melainkan pemilik api neraka”

Riwayat Abu Daud (2675)

 

Selain itu, Baginda SAW turut menceritakan sebuah kisah kepada para sahabat tentang kasih-sayang terhadap binatang, Baginda SAW bersabda:

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ، فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ، فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ فَقَالَ الرَّجُلُ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي كَانَ بَلَغَ بِي، فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلأَ خُفَّهُ، ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ، فَسَقَى الْكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ

Maksudnya: ketika seorang lelaki sedang berjalan, dia berasa sangat dahaga, lalu terjumpa sebuah perigi. Dia pun turun ke dalamnya lalu minum. Ketika dia keluar dari perigi tersebut, dia ternampak seekor anjing yang menjelirkan lidahnya, memakan tanah kerana kehausan. Lelaki itu berkata: anjing ini tentu sangat dahaga sebagaimana dahaga yang menimpaku sebentar tadi. Lalu dia pun turun semula ke dalam perigi, dan memenuhkan kasutnya dengan air, kemudian dia memegang kasutnya dengan mulutnya hingga dia berjaya memanjat sampai ke atas semula, lalu memberi anjing itu minum. Anjing itu bersyukur kepada Allah atas bantuan lelaki itu, lalu Allah mengampunkannya

 

Riwayat Bukhari (6009) 

Jelaslah, betapa tinggi nilai kasih-sayang diterapkan kepada umat Islam sehinggakan di asingkan permasalah anjing yang tergolong sebagai najis yang berat, dengan masalah rahmat kepada binatang. Selain daripada kisah yang memaparkan keindahan rahmat Nabi kepada binatang, terdapat juga hadis yang mencela orang yang menzalimi binatang, sepertimana hadis yang masyhur tentang kisah wanita yang menzalimi kucing seperti yang diriwayatkan Abdullah Ibn Umar R.Anhuma:

‏ عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya: “Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dia kurung sampai mati. Maka dimasukkan dia ke dalam neraka”

Riwayat al-Bukhari (2365) dan Muslim (2242)

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas di atas, kami tegaskan bahawa menyayangi binatang adalah suatu tuntutan di dalam Islam. Manakala menzalimi adalah haram dan berdosa sepertimana nas yang menyebut balasan azab buat mereka yang menzalimi binatang.

Maka, menjawab persoalan ini, kami katakan sarang burung tersebut hendaklah dipindahkan ke tempat lain yang tinggi sebagai tanda kita merahmatinya serta bimbang sekiranya kita membuang dikira sebagai suatu kezaliman di sisi Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami dan mempraktikkan agama-Nya. Amin.