Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1254: TERLUPA BERWUDHU’ KETIKA MENUNAIKAN SOLAT

new-5c-20piktoc_33615531 (3).jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum…YBhg Dato’ Seri... Satu persoalan berkenaan solat..saya pernah melakukan solat, tetapi saya terlupa untuk mengambil wudhu’. Saya menyedari bahawa saya tidak berwudhu’ selepas melakukan solat. Adakah solat saya sah atau tidak? Jika saya menyedari ketika tengah mendirikan solat, adakah saya perlu memberhentikan solat? Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Syarat sah seseorang dalam melakukan solat adalah perlu bersuci dan bersih anggota badannya daripada hadas besar dan kecil. Bersuci atau berwuduk untuk melakukan solat merupakan perintah dari Allah SWT sebagaimana firmanNya:

 

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اِذَا قُمْتُمْ اِلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوْا وُجُوْهَكمْ وَاَيْدِيَكُمْ اِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوْا بِرُؤُوْسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ اِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu akan mendirikan solat maka basuhlah muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga siku-siku kamu dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke kedua mata kaki”.

 (Surah Al-Maidah, 6)

 

Begitu juga hadith, Rasulullah SAW bersabda:

 

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ

Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna”

Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)

 

Maka jelas jika dilihat melalui hadis tersebut, sesorang yang ingin menunaikan solat adalah wajib untuk bersuci dari segala hadas.

Manjawab kepada soalan yang diajukan, perbincangan berkenaan isu ini telah banyak dibahaskan oleh para ulama’ terdahulu bahkan ia telah bersepakat mengharamkan mereka yang berhadas menunaikan solat.

 

أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الصَّلَاةِ عَلَى الْمُحْدِثِ وَأَجْمَعُوا عَلَى أَنَّهَا لَا تَصِحُّ مِنْهُ

Maksudnya: “Kaum muslimin bersepakat bahawa haramnya solat bagi orang yang berhadas

(Majmu’ Syarah Muhazzab, m/s 79)

 

Mengikut amalan dan pandangan disisi mazhab syafie dan Hanafi, mereka menyatakan bahawa kedudukan seseorang yang solat tanpa berwudhu’ terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu tidak sengaja (terlupa) atau sengaja.

إنْ كَانَ عَالِمًا بِحَدَثِهِ أَوْ جَاهِلًا أَوْ نَاسِيًا لَكِنَّهُ إنْ صَلَّى جَاهِلًا أَوْ نَاسِيًا فَلَا إثْمَ عَلَيْهِ وَإِنْ كَانَ عَالِمًا بِالْحَدَثِ وَتَحْرِيمِ الصَّلَاةِ مَعَ الْحَدَثِ فَقَدْ ارْتَكَبَ مَعْصِيَةً عَظِيمَةً وَلَا يَكْفُرُ عِنْدَنَا بِذَلِكَ إلَّا أَنْ يَسْتَحِلَّهُ ، وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ : يَكْفُرُ لِاسْتِهْزَائِهِ

Maksudnya: “Sama ada dia mengetahui hadasnya atau jahil (tidak tahu) atau terlupa tetapi jika dia menunaikan solat kerana dia tidak tahu dia berada di dalam keadaan berhadas, maka tidak ada dosa baginya. Sebaliknya, jika dia mengetahui bahawa dia berada di dalam keadaan hadas dan mengetahui larangan solat dalam keadaan berhadas, maka dia telah melakukan dosa besar tetapi tidak sampai tahap orang yang kafir menurut pandangan kami (mazhab syafie), kecuali jika dia menyatakan bahawa hal itu diperbolehkan. Abu Hanifah menyatakan bahawa dia telah kufur kerana mempermainkan agama”.

(Majmu’ Syarah Muhazzab, m/s 79)

 

Kesimpulannya, kami bersepakat dan bersependapat bahawa jika seseorang itu terlupa berwudhu’ lalu melakukan solat, status solatnya tidak sah dan perlu diulang semula. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ

Maksudnya: Allah SWT tidak menerima solat mereka yang berhadas sehingga dia berwudhu’.

(Hadis riwayat Imam Bukahari, No. 6954)

 

Begitu juga hadis Nabi SAW menyatakan:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لاَ وُضُوْءَ لَهُ

Maksudnya: Tidak ada solat bagi mereka yang tidak berwudhu’

(Hadis riwayat Abi Daud, No.101)

 

Adapun, seseorang yang mengetahui bahawa dirinya dalam keadaan hadas dan mengetahui bahawa larangan untuk menunaikan solat dalam keadaan berhadas tetapi tetap melaksanakan solat, maka dia telah melakukan dosa besar tetapi tidak sampai tahap seperti dosa orang yang murtad. Maka ini adalah pandangan muktamad ulama’ syafie. Jika disedari bahawa ketika menunaikan solat, diri berada di dalam keadaan berhadas atau terlupa untuk berwudhu’, maka perlu diberhentikan solat tersebut dengan serta-merta.

WallahuA’lam.