Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1264: MELETAKKAN JENAZAH DI DALAM RUMAH

jenazah dalam rumah222.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Salah seorang ahli keluarga saya telah meninggal dunia. Persoalannya, bagaimana cara kami meletakkan jenazahnya ketika masih di dalam rumah?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pertamanya, kami sarankan agar kesabaran menghiasi diri anda dan keluarga. Hal ini adalah bertepatan dengan nas Ilahi. Begitu juga, hendaklah bersikap redha dengan takdir serta qadha’ Ilahi di samping mengucapkan istirja’. Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.

Surah al-Baqarah (155-156)

Juga boleh memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) kemudian istirja’. Ini berdasarkan hadith di mana Allah SWT bertanya kepada Malaikat yang mengambil nyawa anak kesayangan hamba-Nya:

مَاذَا قَالَ عَبْدِي فَيَقُوْلُوْنَ حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ

Maksudnya: Apa yang disebut oleh hambaKu. Maka jawab para Malaikat: Ia memuji-Mu dan beristirja’.

Riwayat al-Tirmizi (1021)

Begitu juga, hendaklah bersabar dalam menerima berita. Ini kerana ganjaran pahala yang besar diberi kepada orang yang bersabar. Seterusnya berdoa seperti yang diajar oleh Baginda SAW:

اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.”

   Riwayat Muslim (918)

Menjawab persoalan di atas, para ulama’ telah khilaf kepada dua pendapat:

Pertama, dilentangkan dengan meninggikan sedikit kepalanya dan kedua kakinya ke arah kiblat.

Kedua, mengiring atas lambung kanan dengan menghadap kiblat seperti di dalam liang lahad. Inilah pendapat ulama’ Iraq dan ditashihkan oleh kebanyakan ulama’. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/160)

Kami tarjihkan pendapat yang kedua iaitu dengan cara mengiringkan atas lambung kanan dengan menghadap kiblat.

Berkenaan menghadap kiblat, terdapat nas Nabawi menyebut berkenaannya serta ia juga adalah amalan salafus soleh. Daripada Abi Hurairah R.A, secara marfu’:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ سَيِّدًا، وَإِنَّ سَيِّدَ الْمَجَالِسِ قُبَالَةَ الْقِبْلَةِ

Maksudnya: “Segala sesuatu itu ada pemimpinnya, dan pemimpin majlis adalah yang menghadap kiblat.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2375)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ شَرَفًا وَإِنَّ أَشْرَفَ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu ada kemuliaannya, dan semulia-mulia majlis adalah yang menghadap kiblat.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (7706)

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (4/76) menyebut: Para fuqaha’ telah mentaqrirkan bahawa arah kiblat ialah semulia-mulia arah. Justeru disunatkan memelihara ke arahnya ketika duduk. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

إِنَّ سَيِّدَ الْمَجَالِسِ قُبَالَةَ الْقِبْلَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pemimpin majlis adalah yang menghadap kiblat.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2375)

Para salafus soleh juga memerintahkan keluarga atau muridnya supaya menghadap kiblat termasuklah mereka dari kalangan para sahabat. Antaranya:

  • Daripada Abi Qatadah, daripada datuknya bahawa Nabi SAW tatkala tiba di kota Madinah, beliau bertanya tentang sahabatnya bernama al-Bara' bin Ma'rur. Lantas mereka menjawab, beliau telah meninggal dunia dan mewasiatkan sepertiga hartanya untuk Baginda dan mewasiatkan untuk dihadapkannya ke arah kiblat apabila berada dalam sakaratul maut. Lantas Rasulullah SAW bersabda:

أَصَابَ الْفِطْرَةَ وَقَدْ رَدَدْتُ ثُلُثَهُ عَلَى وَلَدِهِ

Maksudnya: Dia telah menepati fitrah. Dan aku telah mengembalikan sepertiga hartanya kepada anaknya.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (6843)

  • Huzaifah R.A ketika hampir meninggal dunia berkata: “Hadapkanlah aku ke arah kiblat.”
  • Daripada Umair bin Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda berkenaan Bait al-Haram:

قِبْلَتِكُمْ أَحْيَاءً وَأَمْوَاتًا

Maksudnya: “Ia adalah kiblat kamu sama ada ketika hidup atau mati”

Riwayat Abu Daud (2874)

Semoga Allah jadikan kita sentiasa dipandukan dengan syariat dan mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.