Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1282: ADAKAH I’TIDAL DIANGGAP RUKUN PANJANG?

iktidal rkun pnjang.JPG


SOALAN

Assalamualaikum, saya nak bertanya pendapat S.S. Datuk Seri Mufti. Adakah iktidal di dalam solat dianggap sebagai rukun panjang?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

I’tidal merupakan perbuatan berdiri di antara ruku’ dan sujud. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha ketika menceritakan cara bersolat Rasulullah SAW, katanya:

كَانَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ لَمْ يَسْجُدْ حَتَّى يَسْتَوِىَ قَائِمًا

Maksudnya: Apabila mengangkat kepalanya daripada ruku’, Baginda tidak sujud sehingga telah berdiri tegak.

Riwayat Muslim (498)

Hadith seterusnya, Rasulullah SAW bersabda ketika mengajarkan cara-cara bersolat kepada seorang lelaki yang tidak melakukannya:

ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا

Maksudnya: Kemudian bangunlah hingga engkau berdiri tegak.

Riwayat al-Bukhari (724) dan Muslim (397)

Berdasarkan mazhab Syafi’e, syarat-syarat sah i’tidal adalah seperti berikut:

  • Tidak bertujuan lain selain daripada ibadat.
  • Tetap seketika sekadar masa sekali tasbih.
  • Tidak berdiri terlalu lama hingga melebih kadar bacaan fatihah. Hal Ini kerana i’tidal merupakan rukun yang pendek dan tidak harus dipanjangkan.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e, 1/134-135)

Namun, para ulama’ berbeza pandangan adakah dibolehkan untuk memanjangkan I’tidal. Sebahagian ulama’ mengatakan ianya dibolehkan, hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA, beliau berkata:

مَا صَلَّيْتُ خَلْفَ أَحَدٍ أَوْجَزَ صَلَاةً مِنْ صَلَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي تَمَامٍ كَانَتْ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَقَارِبَةً وَكَانَتْ صَلَاةُ أَبِي بَكْرٍ مُتَقَارِبَةً فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مَدَّ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ قَامَ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَوْهَمَ ثُمَّ يَسْجُدُ وَيَقْعُدُ بَيْنَ السَّجْدَتَيْنِ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَوْهَمَ

Maksudnya: "Belum pernah aku solat di belakang seseorang yang lebih ringkas solatnya daripada solat Rasulullah SAW dengan kesempurnaannya. Solat baginda adalah hampir sama (antara satu rukun dengan rukun lainnya), dan solat Abu Bakar adalah saling berdekatan (antara satu rukun dengan rukun lainnya). Lalu ketika Umar mengimami, maka dia memanjangkan dalam solat Subuh. Rasulullah SAW pernah apabila mengucapkan, (سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ), maka baginda berdiri hingga kami mengatakan bahawa baginda telah lupa, kemudian baginda sujud dan duduk di antara dua sujud hingga kami mengatakan bahawa baginda telah lupa'."

Riwayat Muslim (473) , dan Abu Dawud (853)

Syeikh Syaraf al-Haq al-‘Azim Abadi dalam syarahnya menyebut: "Hadith ini menunjukkan secara zahir untuk memanjangkan I’tidal dan duduk di antara dua sujud”. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 3/64)

Imam al-Syaukani mengatakan dalam kitab Nail al-Autar: “Hadith ini menjadi dalil kepada bolehnya memanjangkan i'tidal daripada ruku' dan duduk antara dua sujud. Sebahagian ulama' Syafi'iyyah mengatakan batal solat orang yang memanjangkan i'tidal dan duduk antara dua sujud dengan hujjah ianya menafikan sifat al-Muwalat (berturut-turut) dalam solat.

Beliau kemudian menukilkan kalam Ibn Daqiq al-'Eid."Hadith ini menunjukkan bahawa i'tidal merupakan rukun yang panjang dan hadith Anas menunjukkan dengan jelas mengenai perkara itu dan ianya merupakan dalil baginya.” (Lihat Nail al-Autar, 2/304)

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA, beliau berkata:

فَكَانَ رُكُوعُهُ نَحْوًا مِنْ قِيَامِهِ، ثُمَّ قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، ثُمَّ قَامَ طَوِيلًا قَرِيبًا مِمَّا رَكَعَ، ثُمَّ سَجَدَ، فَقَالَ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى، فَكَانَ سُجُودُهُ قَرِيبًا مِنْ قِيَامِهِ

Maksudnya: Ruku’ baginda SAW panjangnya hampir sama dengan berdiri baginda, kemudian baginda berkata, (سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ), kemudian baginda berdiri lama hampir sama dengan ruku’ baginda, kemudian baginda sujud dan baginda berkata, (سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى). Sujud baginda hampir sama tempohnya dengan berdirinya baginda.

Riwayat Muslim (772)

Imam al-Nawawi mengatakan: "Pada hadith ini menunjukkan dengan jelas bahawa harus memanjangkan i'tidal dengan zikir”. (Lihat al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 4/127)

Pandangan utama dalam mazhab Syafi’e pula mengatakan bahawa memanjangkan rukun yang pendek di dalam solat merupakan di antara perkara yang membatalkan solat. Antara rukun pendek adalah I’tidal (bangun daripada ruku’). Disyaratkan agar orang yang solat tidak memanjangkan I’tidalnya selepas daripada ruku’ dengan pemanjangan yang ketara iaitu tidak melebihi kadar bacaan al-Fatihah. Ini kerana, I’tidal merupakan rukun yang pendek, maka tidak dibolehkan untuk memanjangkannya melainkan pada qunut dan solat Tasbih. [Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 273/1]

Imam al-Nawawi juga menukilkan pandangan ashab al-Khurasan bahawa I’tidal daripada ruku’ merupakan rukun yang pendek serta dituntut agar diringankan (dipendekkan) rukun tersebut. Jika dia memanjangkan dengan sengaja seperti diam (diam yang panjang), membaca qunut yang tidak disyariatkan (tidak warid daripada Nabi SAW) atau dengan zikir yang lain, maka ketiga wajah ini yang paling sahihnya di sisi Imam al-Haramain dan ia juga diputuskan oleh al-Baghawi bahawa perbuatan ini membatalkan solatnya melainkan apa yang warid (datang) dalam syariat. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 126/4]

 

BACAAN YANG WARID DI DALAM I’TIDAL

Terdapat hadith sahih daripada Nabi SAW mengenai zikir yang dibaca ketika i'tidal yang diriwayatkan oleh Rifa'ah bin Rafi' RA, beliau berkata:

كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ "، قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قَالَ: مَنِ المُتَكَلِّمُ، قَالَ: أَنَا، قَالَ: رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلاَثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ

Maksudnya: Kami pernah solat bersama Rasulullah SAW, saat bangun dari ruku’ ia membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ. Tiba-tiba ada seorang sahabat yang membaca, رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ (Wahai Rabb kami, bagi-Mu segala puji, aku memuji-Mu dengan pujian yang banyak, yang baik dan penuh dengan barakah). Selepas selesai solat, Rasulullah SAW bertanya, ‘Siapa yang mengucapkan kalimah itu?’ Sahabat itu berkata, ‘Saya’. Kemudian Rasulullah SAW bersabda, ‘Aku melihat lebih tiga puluh malaikat berebut untuk menjadi yang pertama kali mencatatnya (pahalanya),’”

Riwayat al-Bukhari (799), al-Nasaie (1062), dan Ahmad (18996)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata di dalam syarahnya: “Secara zahirnya, para malaikat tersebut bukan malaikat penjaga, kerana terdapat di dalam kitab Sahihain (al-Bukhari dan Muslim), hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, marfu' kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang mengelilingi jalan-jalan mencari ahli zikir”. Hal ini juga menjadi dalil bahawa sebahagian daripada amalan ketaatan ditulis oleh malaikat yang bukan tugasnya menjaga catatan amalan." (Lihat Fath al-Bari, 2/286)

Ibn Rejab al-Hanbali pula di dalam kitab syarahnya menyebut: "Hadith ini menunjukkan kelebihan zikir ini di dalam solat, dan makmum boleh menambah tahmid dan pujian kepada Allah, sebagaimana pandangan mazhab al-Syafie dan riwayat daripada mazhab imam Ahmad. Contoh bagi zikir adalah baik dilakukan di dalam i'tidal daripada ruku' ketika solat fardhu, kerana para sahabat R.anhum kebiasaannya solat di belakang Nabi SAW pada solat fardhu, serta mereka tidak banyak solat sunat dibelakang baginda SAW. Dalam hadith ini juga menjadi dalil bahawa tidak makruh makmum menjaharkan (mengangkat suara) sekali sekala sebahagian daripada zikirnya di belakang imam, sebagaimana tidak makruh imam kadang-kadang menjaharkan sebahagian daripada bacaannya pada solat di siang hari.” (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab, 7/202-203)

Selain itu, terdapat juga hadith di dalam Sahih Muslim yang menyebutkan bacaan lain di dalam I’tidal sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Aufa RA dan juga Abu Sa’id al-Khudhri RA.

  • Daripada Abu Aufa RA, beliau bekata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا رَفَعَ ظَهْرَهُ مِنَ الرُّكُوعِ، قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، اللهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءُ السَّمَاوَاتِ، وَمِلْءُ الْأَرْضِ وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْد

Maksudnya:Rasulullah SAW jika mengangkat kepalanya dari ruku’ beliau mengucapkan: Allah mendengar bagi sesiapa yang memujiNya, Ya Allah, Tuhan kami bagi-Mu pujian sepenuh langit dan bumi, sepenuh apa yang Engkau mahukan lebih daripada itu”

Riwayat Muslim (476)

  • Daripada Abu Sa’id al-Khudhri RA, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ قَالَ : رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ مِلْءُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ، أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ، أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ، اللهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ "

Maksudnya:Rasulullah SAW jika mengangkat kepalanya dari ruku’ beliau mengucapkan: Tuhan kami bagi-Mu pujian sepenuh langit dan bumi, sepenuh apa yang Engkau mahukan lebih daripada itu, yang memiliki semua pujian dan kebaikan, yang paling berhak diucapkan oleh setiap hamba, dan setiap daripada kami adalah hambaMu. Ya Allah tidak ada yang boleh menghalang apa yang Engkau berikan. Dan tidak ada yang boleh memberikan apa yang Engkau halang. Dan segala daya upaya tidak bermanfaat kecuali dengan izinMu, seluruh kekuatan hanya milikMu).”

Riwayat Muslim (477)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan bab ini menyebut: “Pada hadith ini mempunyai faedah yang banyak. Antaranya, sunat untuk mengucapkan zikir ini, serta wajib beri'tidal dan bertenang padanya." (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 4/193)

Antara perkara yang juga warid di dalam I’tidal adalah doa qunut. Doa qunut ini disunatkan dibaca di dalam solat sunat witir dan juga solat fardhu subuh berdasarkan mazhab Syafi’e. Bacaan di dalam qunut ini warid daripada Nabi SAW sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh al-Hasan bin Ali R.anhuma, beliau berkata:

عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي قُنُوتِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengajarkan kepadaku kalimah-kalimah yang aku baca dalam qunut witir: Ya Allah, berikan petunjuk kepada ku sebagaimana orang-orang yang telah Kau berikan hidayah. Berikan aku keselamatan sebagaimana orang-orang yang telah Kau berikan keselamatan. Jadikan aku sebagai wali sebagaimana mereka yang telah Kau jadikan wali. Berkati untuk aku apa yang telah Kau berikan kepada ku, selamatkan ku daripada keburukan yang telah Kau takdirkan. Sesungguhnya Kau yang mentakdirkan dan tiada sesiapa mentakdirkan ke atas Mu. Tidak akan dizalimi orang yang Kau jadikan wali. Tiada kekuatan untuk sesiapa yang engkau Musuhi. Tuhan kami, Kau yang penuh keberkatan dan maha tinggi.”

Riwayat Abu Dawud (1425), al-Tirmidzi (464), al-Nasaie (1745), dan Ahmad (1718)

Syeikh Syaraf al-Haq al-‘Azim Abadi dalam syarahnya menyebut: “Dalam riwayat mengatakan qunut witir, dan secara zahirnya, ianya mutlaq dalam semua jenis sunnah sebagaimana pandangan mazhab Hanafi. Manakala mazhab Syafi'e mengkhususkan qunut witir di separuh akhir Ramadhan sebagaimana mazhab kebanyakan daripada para sahabat. (Lihat 'Aun al-Ma'bud Syarh Sunan Abi Dawud, 4/211)

Dibolehkan juga untuk berdoa selain dengan doa yang masyhur dalam qunut ini sebagaimana yang dilakukan pada zaman Umar RA berdasarkan hadith mauquf daripada Umar RA yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin Abd al-Qari:

…فَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ، وَكَانُوا يَلْعَنُونَ الْكَفَرَةَ فِي النِّصْفِ: اللَّهُمَّ قَاتِلِ الْكَفَرَةَ الَّذِينَ يَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِكَ وَيُكَذِّبُونَ رُسُلَكَ، وَلَا يُؤْمِنُونَ بِوَعْدِكَ، وَخَالِفْ بَيْنَ كَلِمَتِهِمْ، وَأَلْقِ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَ، وَأَلْقِ عَلَيْهِمْ رِجْزَكَ وَعَذَابَكَ، إِلَهَ الْحَقِّ، ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَدْعُو لِلْمُسْلِمِينَ بِمَا اسْتَطَاعَ مِنْ خَيْرٍ، ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِينَ قَالَ: وَكَانَ يَقُولُ إِذَا فَرَغَ مِنْ لَعْنَةِ الْكَفَرَةِ، وَصَلَاتِهِ عَلَى النَّبِيِّ، وَاسْتِغْفَارِهِ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، وَمَسْأَلَتِهِ: اللَّهُمَّ إِيَّاكَ نَعْبُدُ، وَلَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُدُ، وَإِلَيْكَ نَسْعَى وَنَحْفِدُ، وَنَرْجُو رَحْمَتَكَ رَبَّنَا، وَنَخَافُ عَذَابَكَ الْجِدَّ، إِنَّ عَذَابَكَ لِمَنْ عَادَيْتَ مُلْحِقٌ، ثُمَّ يُكَبِّرُ وَيَهْوِي سَاجِدً.

Maksudnya: (Paza zaman Umar RA), manusia mendirikan malam yang awalnya, dan mereka melaknat orang-orang kafir pada separuh Ramadhan yang awal: “Ya Allah, binasakanlah orang-orang kafir yang menghalangi manusia dari jalan-Mu, mereka mendustakan para rasul-Mu, dan tidak beriman dengan janji-Mu. Pisahkanlah kesatuan mereka dan timpakanlah rasa takut di hati mereka, serta timpakanlah seksaan dan azab-Mu pada mereka, wahai sembahan yang haq.” Kemudian imam berselawat kepada Nabi SAW dan berdoa kebaikan untuk kaum muslimin mengikut kemampuan, kemudian beristighfar untuk mereka. Dia (Abd al-Rahman bin Abd al-Qari) berkata: Kemudian imam berdoa setelah habis daripada mendoakan laknat untuk orang-orang kafir, dengan berselawat ke atas Nabi SAW, serta mendoakan keampunan untuk kaum muslimin dan muslimat, dan berdoa: Ya Allah, kami menyembah hanya kepada-Mu, hanya kepada-Mu kami solat dan sujud, hanya untuk-Mu kami berusaha dan beramal, dan kami memohon rahmat-Mu, wahai Rabb kami. Kami takut kepada azab-Mu yang pedih. Sesungguhnya azab-Mu ditimpakan kepada orang yang Engkau musuhi. Kemudian dia bertakbir dan bersujud.

Riwayat Ibn Khuzaimah (1100)

Doa qunut yang dibaca selepas daripada bangun daripada ruku’ pada rakaat terakhir Witir tidak disyaratkan untuk membaca doa-doa tertentu, bahkan adalah lebih baik jika seseorang itu membaca doa sepertimana yang terdapat di dalam sunnah Nabi SAW. Kata Imam al-Mawardi: “Doa yang diriwayatkan daripada Nabi SAW lebih kami suka berbanding doa yang lain, dan setiap doa yang dibaca dalam qunut sama ada yang ma'thur atau selainnya, diterima qunutnya." (Lihat al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Madzhab al-Imam al-Syafi’e , 2/153)

Imam Burhan al-Din Ibn Muflih menukilkan pandangan Ibn ‘Aqil al-Hanbali di dalam kitabnya, bahawa doa yang ma'thur harus didahulukan dan mengikut susunan, manakala tambahan daripada doa yang ma'thur merupakan bab yang diberikan rukhsah (keringanan). Kata Ibn ‘Aqil: “Yang paling kami sukai, apa yang diriwayatkan daripada al-Hasan bin 'Ali R.anhuma, daripada Rasulullah SAW: اللَّهُمَّ اهدني "Ya Allah, berikanlah hidayah kepada kami". Hadith ini masyhur. Sekiranya ditambah dengan doa yang diriwayatkan daripada Umar RA,اللَّهُمَّ إِنَّا نستعينك "Ya Allah kami meminta pertolongan daripadamu" sehingga akhir, maka tidak menjadi masalah." (Lihat al-Nukat wa al-Fawaid al-Sunniyah 'ala Musykil al-Muharrar, 1/89)

 

Penutup

Kesimpulannya, berdasarkan nas dan hujah di atas, kami menyatakan bahawa pandangan mazhab Syafi’e mengatakan rukun i’tidal termasuk dalam rukun yang pendek.

Namun, kami cenderung mengatakan bahawa harus untuk memanjangkan I’tidal sekiranya bacaan yang dibaca di dalamnya merupakan bacaan yang warid daripada Nabi SAW serta tidak membebankan makmum sekiranya dia menjadi imam. Berkenaan isu qunut yang panjang dalam witir, kami sudah menjawabnya di dalam siri al-Kafi li al-Fatawi siri ke 755: Hukum Memanjangkan Qunut Di Dalam Witir.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama agar kita dapat beramal sesuai dengan kehendak Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

Wallahua’lam