Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1284: HUKUM MEMBACA BISMILLAH SEBELUM MENGADAKAN HUBUNGAN SUAMI ISTERI

baca bismillah sebelum hubungan.JPG

Soalan:

Assalamualaikum Tuan Mufti, apakah hukum seseorang itu membaca lafaz basmalah sebelum mengadakan hubungan suami isteri?

 

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pembacaan lafaz basmalah dalam melakukan sesuatu perkara adalah antara perkara yang penting dalam ajaran agama Islam. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كُلُّ كَلَامٍ أَوْ أَمْرٍ ذِي بَالٍ لَا يُفْتَحُ بِذِكْرِ اللهِ فَهُوَ أَبْتَرُ - أَوْ قَالَ : أَقْطَعُ

Maksudnya: Semua ucapan atau perkara yang ada tujuan (ia dilakukan) yang tidak dimulakan dengan zikrullah maka ia terputus (dari keberkatan).

Riwayat Ahmad (14/329)

Berkenaan dengan hadis ini, terdapat beberapa riwayat yang datang dengan lafaz-lafaz yang sedikit berbeza. Yang mana secara umumnya, hadis-hadis ini menjelaskan bahawa sekiranya seseorang itu melakukan sesuatu perkara tanpa menyebut nama Allah S.W.T terlebih dahulu, maka perkara tersebut tidak mendapat keberkatan dari Allah ataupun kurang berkat padanya.

Demikian juga dituntut oleh seorang suami itu untuk membaca basmalah meskipun dalam mengadakan hubungan intim dengan isterinya. Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا فَقُضِيَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ، لَمْ يَضُرَّهُ

Maksudnya: Sekiranya salah seorang dari kamu mendatangi isterinya lalu dia berkata: ‘’Bismillah, ya Allah jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang telah kau rezekikan kepada kami’’. Maka apabila ditetapkan buat mereka berdua lahirnya seorang anak, maka syaitan tidak akan memberi kemudaratan kepadanya.

Riwayat Al-Bukhari (141)

Kata Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani: ‘’Antara faedah yang terdapat pada hadis ini adalah anjuran membaca tasmiah (bismillah), berdoa, dan menjaga hal tersebut dalam perkara-perkara yang melazatkan seperti hubungan suami isteri’’. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (9/136).

Beliau juga menukilkan sebuah riwayat lain yang menyebut:

إذا أتى الرجل أهله فليقل بسم الله اللهم بارك لنا فيما رزقتنا ولا تجعل للشيطان نصيبا فيما رزقتنا ، فكان يرجى إن حملت أن يكون ولدا صالحا

Maksudnya: Apabila seseorang lelaki itu mendatangi isterinya lalu dia membaca: ‘’Bismillah, ya Allah berkatilah kami pada apa yang kau telah rezekikan kepada kami, dan janganlah kau jadikan bagi syaitan itu bahagian dari rezeki kami ini’’, maka diharapkan sekiranya isteri tersebut mengandung, kandungannya akan menjadi seorang anak yang soleh.

Hadis-hadis sebegini memberikan isyarat bahawa syaitan itu sentiasa melazimi anak-anak Adam dan tidak akan berpaling dari mereka melainkan apabila dibacanya zikrullah. Serta menunjukkan tuntutan untuk seseorang itu sentiasa memohon perlindungan dengan Allah S.W.T dari segala bentuk kejahatan dalam urusan dunianya dan juga urusan akhirat. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (9/136).

 

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa pasangan suami isteri disunatkan untuk membaca lafaz basmalah dan juga doa sebelum mengadakan hubungan intim bersama. Ini bagi mendapat keberkatan dalam amalan halal yang dilakukan serta bertujuan mendapatkan zuriat yang sentiasa dalam kebaikan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama.