Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1312: ADAKAH MENYENTUH KEMALUAN ANAK KECIL MEMBATALKAN WUDHU'?

Soalan

Assalamualaikum, saya nak bertanya pendapat S.S. Datuk Seri Mufti. Adakah terbatal wudhu' jika tersentuh kemaluan anak kecil ketika memakaikan seluarnya?

Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Wudhu’ diambil dari perkataan (الوضاءة) iaitu kebersihan dan kesegaran. Dari segi syarak: wudhu’ merupakan penggunaan air bagi membasuh anggota-anggota yang dikhususkan. Dinamakan wudhu’ kerana menyucikan dan menyegarkan. Terdapat juga syarat, fardhu serta sunatnya yang harus disempurnakan. (Lihat Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafie, 1/69)

Pensyariatan wudhu’

Perintah Allah S.W.T di dalam Al-Quran

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhu’lah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali

(Surah Al-Maidah: 6)

Perkara-perkara yang membatalkan wudhu’

Dalam menyimpulkan permasalahan ini di dalam kitab Al-Taqrirat Al-Sadidah menyatakan perkara yang membatalkan wudhu’ ada empat iaitu:

  • Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan keluar mani. Ini kerana keluarnya mani diwajibkan mandi dan ia merupakan perkara yang lebih utama dilakukannya dahulu.
  • Hilang akal sama ada dengan tidur atau selainnya. Melainkan (tidak membatalkan wudhu’) sekiranya tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.
  • Bersentuhan (kulit) di antara lelaki dan wanita ajnabi (boleh berkahwin) secara langsung iaitu tanpa berlapik.
  • Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan

(Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah, hlm. 103)

Antara perkara yang membatalkan wudhu’ adalah menyentuh kemaluan dengan telapak tangan. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Busrah binti Sofwan R.anha, beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu’lah”

Riwayat Abu Dawud (181), al-Nasaie (163), Ibn Majah (479)

Syeikh Abd al-Muhsin al-'Abbad mengatakan dalam syarahnya bagi Sunan Abu Dawud: "Imam Abu Dawud menyatakan 'Bab berwudhu' bagi sesiapa yang menyentuh zakarnya (kemaluannya)', iaitu adakah membatalkan wudhu' ataupun tidak. Dalam terjemahan bagi hadith-hadith yang dinyatakannya adalah menyentuh tanpa lapik, manakala jika disentuh dengan berlapik, maka sentuhan tersebut tidak memberi kesan wudhu’nya. Beliau menyatakan hadith Busrah binti Sofwan R.anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda, 'Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu'lah'. Hal ini menunjukkan bahawa menyentuh kemaluan membatalkan wudhu' dan dia mestilah mengambil wudhu' semula, sama ada dia memegangnya dengan syahwat ataupun tidak, kerana sabda baginda SAW bersifat mutlak, dan hal ini menunjukkan menyentuh kemaluan membatalkan wudhu'. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 30/14)

Menjawab persoalan diatas, Ulama' berbeza pandangan adakah menyentuh kemaluan anak kecil membatalkan wudhu' ataupun tidak:

Pertama: Sebahagian ulama' mengatakan bahawa hukum menyentuh kemaluan anak kecil membatalkan wudhu' sebagaimana menyentuh kemaluan orang dewasa.

Ibn Qudamah mengatakan,"Berdasarkan riwayat yang membatalkan wudhu' iaitu menyentuh kemaluan, tidak ada beza antara kemaluannya ataupun kemaluan orang lain, tidak ada perbezaan antara kemaluan anak kecil ataupun orang dewasa". (Lihat al-Mughni, 1/118)

Fatwa Lajnah Daimah pernah ditanya, adakah menyentuh kemaluan anak kecil ketika menukarkan pakaiannya membatalkan wudhu’? Pihak Lajnah menjawab: "Menyentuh kemaluan tanpa lapik membatalkan wudhu' sama ada kemaluan yang disentuh itu anak kecil atau orang dewasa, berdasarkan hadith yang thabit daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu’lah”. Kemaluan yang disentuh sama seperti kemaluan yang menyentuh. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 5/265).

Kedua: Wudhu' tidak terbatal dengan bersentuh dengan kemaluan anak kecil. Ibn Qudamah menukilkan pandangan al-Zuhri dan al-Auza'ie: Tidak perlu mengulangi wudhu' bagi sesiapa yang menyentuh kemaluan anak kecil, kerana harus baginya menyentuh kemaluan anak kecil tersebut dan memegangnya." (Lihat al-Mughni, 1/118)

Sebahagian ulama’ yang mengatakan ianya tidak membatalkan wudhu’ adalah jika tidak disertai syahwat, iaitu dengan menggabungkan antara hadith yang diriwayatkan daripada Talq bin Ali RA dan hadith yang diriwayatkan daripada Busrah binti Sofwan R.anha. Hadith yang diriwayatkan daripada Talq bin Ali RA, beliau berkata:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، سُئِلَ عَنْ مَسِّ الذَّكَرِ، فَقَالَ: لَيْسَ فِيهِ وُضُوءٌ، إِنَّمَا هُوَ مِنْكَ

Maksudnya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW ditanya mengenai menyentuh zakar, maka baginda berkata: Tidak perlu mengambil wudhu’, sesungguhnya ianya adalah sebahagian daripada kamu.

Riwayat Ibn Majah (483)

Syeikh Muhammad bin Abd al-Hadi al-Sindi dalam mensyarahkan hadith ini mengatakan: “Hadith ‘Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu’lah’ boleh ditakwil dengan menjadikan kinayah kepada buang air kecil, kerana kebiasaannya yang dimaksudkan batal adalah keluar hadas maka anggapannya adalah sebagaimana anggapan datangnya hadas tersebut daripada tempat buang air besar sebagaimana yang dimaksudkan pada firman Allah SWT, "Atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air" (Surah al-Nisa':43). Aku berkata:...Tidak batal wudhu' dengan menyentuh zakar dengan 'illah Dzatiah iaitu, kerana zakar merupakan sebahagian daripada tubuh badan manusia. Namun, pada zahirnya, kekal hukum dengan kekal illahnya. Dakwaan mengatakan hadith Talq RA mansuh tidak ada alasan disebaliknya. Ditambah pula dengan penulis (Sunan Ibn Majah) menamakan bab keringanan dalam hal ini (iaitu tidak membatalkan wudhu') sebagai isyarat bahawa pengamalan yang awal (membatalkan wudhu') tidak dikecualikan (iaitu tidak dimansuhkan, tetapi diberi keringanan).” (Lihat Hasyiah al-Sindi 'ala Sunan Ibn Majah, 1/177)

Hasil daripada penggabungan kedua hadith ini, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Busrah R.anha dan hadith yang diriwayatkan daripada Talq RA, sekiranya seseorang yang memegang kemaluan itu menimbulkan syahwat, maka dia wajib berwudhu'. Namun, jika tidak menimbulkan syahwat maka dia tidak perlu mengulangi wudhu'nya. Justeru, mereka berpandangan menyentuh kemaluan jikalau tidak disertai syahwat tidak membatalkan wudhu', apatah lagi jika membasuh kemaluan anak kecil, sudah pasti ianya tidak disertai dengan syahwat.

Dr. Husam al-Din 'Affanah dalam kitabnya Fatawa Yas'alunak: "Jika seseorang memandikan anaknya yang kecil, lelaki dan perempuan dan dia menyentuh kemaluan anak lelakinya ataupun anak perempuannya yang kecil, ianya tidak membatalkan wudhu' dan dia harus membasuh tangannya sahaja, sebagaimana kata Imam al-Auzaie, 'Tidak perlu berwudhu' bagi sesiapa yang menyentuh kemaluan anak kecil kerana harus untuk menyentuhnya dan melihatnya'. Seorang perempuan apabila dia memandikan anaknya yang kecil, sudah pasti apabila dia memegang kemaluan anak kecil tersebut, tidak akan terdetik perasaan syahwat pada dirinya, maka tidak ada kesan ke atasnya dan wudhu'nya kekal serta tidak batal disebabkan oleh hal tersebut.” (Lihat Fatawa Yas'alunak, 2/243)

Namun begitu, berdasarkan mazhab Syafi'e, hukum melihat dan menyentuh kemaluan anak kecil tidak dibolehkan kecuali bagi ibunya ataupun sesiapa terlibat dalam menguruskannya, menjaganya, mendidiknya dan membesarkannya.

Ibn Hajar al-Haithami menyebut: “Yang paling tepat adalah: halal melihat kepada anak kecil dalam keadaan tidak mendatangkan syahwat...kecuali kemaluannya, maka haram... tetapi harus bagi orang seperti ibunya atau seumpamanya melihat dan menyentuh kemaluannya ketika mana anak kecil itu berada pada tempoh penyusuan serta dibesarkan, dan boleh melihat dan menyentuh kemaluannya ketika dharurat dan keperluan." (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 7/195)

Dr. Muhammad al-Zuhaili pula menyebut di dalam kitabnya mengenai perkara membatalkan wudhu’: “Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan dan jari tanpa lapik membatalkan wudhu' sama ada dia memegang kemaluannya ataupun kemaluan orang lain, ataupun kemaluan orang dewasa ataupun anak kecil, sama ada qubul ataupun dubur (kemaluan depan ataupun kemaluan belakang), sama ada dengan sengaja ataupun terlupa, sebagaimana diriwayatkan daripada Busrah binti Sofwan R.anha: bahawa Nabi SAW bersabda, 'Jika salah seorang daripada kamu menyentuh zakarnya (dalam riwayat lain menyebut, farajnya) maka berwudhu'lah' dan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila seseorang dalam kalangan kamu menyentuh kemaluannya dengan cara memegangnya, tidak ada antara keduanya sesuatu, maka berwudhu'lah dia sebagaimana wudhu' untuk solat'. Memegang tidak akan terjadi kecuali dengan telapak tangan”. (Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/87-88)

Tarjih

Berdasarkan nas dan hujah yang dinyatakan, kami nyatakan bahawa hukum menyentuh kemaluan anak kecil dengan telapak tangan secara umumnya adalah membatalkan wudhu’. Namun dalam beberapa keadaan kami berpandangan bahawa ianya tidak membatalkan wudhu' jika seseorang itu berada dalam keadaan dharurat seperti seorang ibu apabila dia memegang kemaluan anak kecilnya, wudhu’nya tidak terbatal sebagai mengambil kaedah Umum Balwa yang dimaafkan. Hal ini kerana seorang ibu akan sentiasa menjaga dan menyucikan najis anaknya dan sudah pasti dia akan memegang kemaluan anak kecilnya. Hal ini sekiranya dia mengambil pandangan terbatalnya wudhu’ akan menyebabkan terbatal wudhu'nya secara kerap apabila dia kerap kali menyucikan najis anaknya yang masih kecil.

Namun kami nasihatkan supaya tetaplah berwudhu’ sebagai langkah keluar daripada khilaf. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh yang berbunyi:

الخُرُوج مِنَ الْخِلَاف مُسْتَحَبْ

Maksudnya: Keluar dari khilaf itu amat dituntut.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama agar kita dapat beramal sesuai dengan kehendak Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

Wallahua’lam.