Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1319: ASAL USUL AZAN DAN LAFAZNYA

ASLA USUL AZAN.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Dari manakah asal usul azan serta benarkah lafaz azan diketahui melalui mimpi sahabat Nabi SAW?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/338) menyebut: Azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar RA katanya: Ketika orang Islam sampai di Madinah mereka berkumpul dan menantikan waktu bersolat. Tidak ada cara yang diserukan bagi solat tersebut. Suatu hari mereka berbincang tentang perkara itu. Sebahagian daripada mereka mencadangkan loceng digunakan sepertimana loceng orang Nasrani, dan sebahagian yang lain pula mengatakan serunai digunakan seperti terompet tanduk yang digunakan oleh orang Yahudi. Umar RA pula berkata: Kenapakah kamu tidak menyuruh seseorang menyerukan solat? Lalu Rasulullah SAW bersabda:

يَا بِلَالُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلَاةِ

Maksudnya: Wahai Bilal, berdirilah dan serukan solat.”

Riwayat al-Bukhari (579) dan Muslim (377)

Manakala berkenaan asal usul lafaz azan, terdapat dua orang sahabat yang telah mendapat mimpi yang sama tentang azan ini, iaitu Abdullah bin Zaid R.A dan Umar bin al-Khattab R.A. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan dalam satu hadis yang panjang, daripada Abdullah bin Zaid R.A katanya:

لَمَّا أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِالنَّاقُوسِ يُعْمَلُ لِيُضْرَبَ بِهِ لِلنَّاسِ لِجَمْعِ الصَّلاَةِ طَافَ بِي وَأَنَا نَائِمٌ رَجُلٌ يَحْمِلُ نَاقُوسًا فِي يَدِهِ ، فَقُلْتُ : يَا عَبْدَ اللهِ أَتَبِيعُ النَّاقُوسَ ؟ قَالَ : وَمَا تَصْنَعُ بِهِ ؟ فَقُلْتُ : نَدْعُو بِهِ إِلَى الصَّلاَةِ ، قَالَ : أَفَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ مِنْ ذَلِكَ ؟ فَقُلْتُ لَهُ: بَلَى ، قَالَ : فَقَالَ : تَقُولُ : اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ...رُ

قَالَ : ثُمَّ اسْتَأْخَرَ عَنِّي غَيْرَ بَعِيدٍ ، ثُمَّ ، قَالَ : وَتَقُولُ : إِذَا أَقَمْتَ الصَّلاَةَ ، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ...رُ

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW meminta loceng supaya orang boleh memukulnya bagi menghimpunkan (orang ramai) untuk solat, tiba-tiba saya teringat ketika sedang tidur, seorang lelaki mengelilingi saya (dalam mimpi) dengan memegang loceng di tangannya. Lalu saya berkata: “Wahai hamba Allah, adakah kamu mahu menjual loceng tersebut? Katanya: “Apakah kamu hendak lakukan?” Saya menjawab: “Untuk menyeru orang ramai supaya menunaikan solat.” Dia berkata kembali: “Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan cara yang lebih baik?” Saya jawab: “Sudah tentu.” Katanya: “Sebutkanlah ‘: اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ’……. (sehingga akhir azan).

Tidak lama selepas itu, dia berkata lagi: “Ketika kamu berdiri untuk mengerjakan solat, sebutkan ‘، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ’ …. (hingga akhir iqamat).

Riwayat Abu Daud (449)

Setelah terjaga, saya segera menemui Rasulullah SAW dan menceritakan mimpi ini. Lalu Baginda SAW bersabda:

إِنَّهَا لَرُؤْيَا حَقٌّ إِنْ شَاءَ اللَّهُ ، فَقُمْ مَعَ بِلاَلٍ فَأَلْقِ عَلَيْهِ مَا رَأَيْتَ ، فَلْيُؤَذِّنْ بِهِ ، فَإِنَّهُ أَنْدَى صَوْتًا مِنْكَ فَقُمْتُ مَعَ بِلاَلٍ ، فَجَعَلْتُ أُلْقِيهِ عَلَيْهِ ، وَيُؤَذِّنُ بِهِ ، قَالَ : فَسَمِعَ ذَلِكَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ ، وَهُوَ فِي بَيْتِهِ فَخَرَجَ يَجُرُّ رِدَاءَهُ ، وَيَقُولُ : وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ يَا رَسُولَ اللهِ ، لَقَدْ رَأَيْتُ مِثْلَ مَا رَأَى ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : فَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Maksudnya: Dengan izin Allah, ia adalah mimpi yang benar. Berdirilah bersama bilal dan sampaikan kepadanya apa yang kamu lihat supaya dia boleh melaungkan azan kerana suaranya lebih baik daripada kamu. Lalu saya bangun bersama Bilal dan menyampaikan kepadanya. Lantas dia pun melaungkan azan. Umar al-Khattab yang berada di rumahnya mendengar laungan azan tersebut, lalu keluar sambil menarik jubahnya. Katanya: “Demi Tuhan yang mengutus engkau dengan kebenaran wahai Rasulullah, saya juga melihat seperti apa yang dilihatnya (Abdullah). Baginda menjawab: “Segala puji bagi Allah.”

Riwayat Abu Daud (449)

Kesimpulan

Pensyariatan azan walaupun daripada mimpi para sahabat mengikut sebahagian riwayat tetapi ianya tidak bercanggah dengan riwayat yang lain. Ini kerana apabila diberitakan kepada Rasulullah SAW makanya, Baginda SAW mengiyakannya. Dan ikrar Rasulullah SAW termasuk dalam hadith Nabi SAW sementelahan lagi telah dibentangkannya kepada Baginda SAW.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang baik dalam agama Islam yang kita cintai ini mengikut petunjuk Nabi-Nya SAW. Amin.